Tuesday, July 24, 2012

CUEPACS SYOR SEMAK SEMULA PEKELILING PERKHIDMATAN LAPUK
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di DalamPerkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan supaya menyemak semula pekeliling perkhidmatan awam yang dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, terdapat beberapa pekeliling perkhidmatan awam yang diamalkan sehingga kini tidak melambangkan perkhidmatan awam yang baik dan mendatangkan kesukaran kepada penjawat awam.

"Banyak dasar yang lama dulu dah tak relevan lagi, pekeliling-pekeliling lama dah tak sesuai lagi...perlu dibuat penambahbaikan seperti yang disebut Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa) iaitu merakyatkan  perkhidmatan awam.

"Contohnya, kalau penjawat awam ditawar satu jawatan awam dan dia tidak terima dia kena senarai hitam selama setahun. Ini semua tidak menggambarkan perkhidmatan awam. Ini semua perkara yang sedang kita lihat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini hari ini.

Omar berkata, pekeliling yang ada sekarang seharusnya selaras dengan dasar semasa kerajaan supaya perkhidmatan awam dapat bergerak seiring dengan perkembangan semasa dan tidak ketinggalan.Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan hubungan dengan penjawat awam dalam pelaksanaan sesuatu dasar baharu supaya apa yang diputuskan mendapat persetujuan bersama.

"Tetapi jangan buat sesuatu dasar baharu itu, kita tidak ada perbincangan terus nak laksana, kita pun rasa kurang fahamlah. Kita tak setuju cara begitu.

"Sekarang ini konsep kita nak ada perbincangan, hubungan yang baik supaya sesuatu perkara itu tidak dipertikaikan kemudian. Barulah dasar baharu itu berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata, Cuepacs akan berbincang dengan pihak-pihak tertentu berhubung perkara tersebut supaya sesuatu dasar baharu itu dapat difahami lebih jelas dan dapat disampaikan kepada penjawat awam. - Bernama

KD: Setuju benar. Sesuai dengan dasar Transformasi yang menjadi hala tuju kerajaan.

No comments:

Post a Comment