Tuesday, October 16, 2012

IKLAN DI KEDAH: PAS KEDAH BIDAS DAP

ALOR SETAR - Dewan Ulama Pas Kedah membidas sikap DAP yang selalu tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam khususnya hati' ahli-ahli Pas apabila menentang undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri ini.

Setiausaha dewan itu, Syeikh Zainol Asri Ramli berkata, DAP tidak sepatutnya bertindak demikian kerana terdapat perkara yang Pas boleh berpakat dengan DAP dan ada juga perkara yang tidak boleh, dalam pakatan pembangkang.

"Pada saya, kita (Pas) nak jaga sangat DAP tetapi DAP tidak jaga hati kami. Sebenarnya kerjasama dalam pakatan (pembangkang) bersifat longgar dan fleksibel kerana ada benda yang boleh dan ada benda yang tidak boleh kita berpakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lee Guan Aik semalam yang menegaskan DAP tidak sekali-kali akan membenarkan undang-undang berunsurkan Islam dilaksanakan di negeri ini termasuk pelaksanaan garis panduan papan iklan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). -UtusanOnline
BANGSAMORO vs MILF: KONFLIK 40 TAHUN BERAKHIR

MANILA - Proses penubuhan entiti baru wilayah autonomi Bangsamoro secara rasmi bermula hari ini apabila Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro dimeterai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Istana Malacanang di sini tepat pukul 3 petang ini.

Detik-detik penuh bersejarah itu yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Benigno Aquino III, merupakan tanda persetujuan kedua-dua pihak untuk menamatkan konflik berdarah lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina itu yang telah meragut lebih 120,000 nyawa.

Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro setebal 13 muka surat itu mengandungi sembilan fasal utama iaitu mengenai penubuhan, undang-undang asas, kuasa kedua-dua pihak, hasil dan pembahagian kekayaan; persempadanan wilayah, hak asasi penduduk, peralihan dan pelaksanaan; normalisasi dan lain-lain.

Mengenai penubuhan entiti baru itu, Bangsamoro akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan ia diharap menjadi realiti menjelang 2016, iaitu sebelum penggal pemerintahan Aquino III berakhir.

Berkaitan kuasa kedua-dua pihak, perjanjian itu antara lain mengakui keperluan mengukuhkan Mahkamah Syariah dan membenarkan Bangsamoro menguatkuasakan sistem keadilan Syariah kepada umat Islam di wilayah itu.

Turut menyaksikan upacara itu bagi pihak MILF mewakili penduduk wilayah selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam adalah pengerusinya, Murad Ebrahim.

Perasaan gembira Murad bersama sekumpulan pemimpin dan perwakilan lain MILF yang turut dijemput pada upacara di dalam Dewan Rizal di istana itu dengan sebahagiannya menitiskan air mata kesyukuran, pasti dikongsi penduduk wilayah baru Bangsamoro yang mengimpikan kehidupan lebih selamat, sejahtera dan terbela.

Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Panel Perundingan MILF, Mohagher Iqbal dan rakan sejawatannya daripada pihak kerajaan Filipina, Dean Marvic Leonen. Ia turut ditandatangani sebagai saksi perjanjian oleh fasilitator perundingan dari Malaysia, Datuk Tengku Ab. Ghafar Tengku Mohamed.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet Filipina dan Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu dan Penasihat Presiden bagi Proses Perdamaian, Teresita Quintos-Deles.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapannya menyatakan komitmen Malaysia untuk membantu selatan Filipina khususnya menawarkan latihan dan pendidikan supaya masa depan anak-anak di Bangsamoro lebih terjamin.

Beliau memberi jaminan kepada keseluruhan rakyat Filipina bahawa Malaysia bersama-sama negara ini ke arah merealisasikan pelaksanaan perjanjian yang dimeterai hari ini.

"Hari ini, sesuatu telah berubah. Hari ini kita akan meninggalkan keganasan dan beralih ke arah masa depan yang baru dan lebih cerah," katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh kira-kira 500 tetamu yang hadir termasuk diplomat asing.

Presiden Aquino III dalam ucapannya selepas itu pula mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan usaha perundingan sehingga termeterainya perjanjian tersebut termasuk kerajaan Malaysia yang sentiasa memberi komitmen tinggi. - UtusanOnline


MAS TUKAR WARNA LOGO 


logo baru MAS
Logo Malaysia Airlines (MAS) pada pesawat Airbus A380 yang ditukar kepada warna biru adalah bagi memperingati pelancaran pesawat super jumbo milik MAS itu yang mula beroperasi pada 1 Julai lepas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pesawat-pesawat MAS yang lain masih mengekalkan logo korporat asal dengan warna merah dan biru.

"MAS sedang giat melaksanakan pelan pemulihan syarikat dengan sasaran untuk mencatatkan keuntungan menjelang tahun 2014.

"Antara strateginya adalah untuk menarik semula penumpang melalui penjenamaan semula MAS dan memperkenalkan logo baru eksklusif untuk pesawat Airbus A380 yang merupakan pesawat kemegahan baru," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata MAS bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat mengenai kos penjenamaan semula kerana terikat dengan peruntukan kerahsiaan dalam kontrak berkenaan.

Katanya peruntukan berkenaan merupakan peruntukan standard dalam mana-mana kontrak untuk melindungi kepentingan pihak yang terlibat. - BERNAMA