Thursday, January 31, 2013

SPR LANCAR LAMAN WEB KHAS PRU13

Portal Rasmi PRU 13 SPR portal web rasmi maklumat terkini pru 13 pilihan raya umum
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memperkenalkan laman web khas www.pru13.gov.my yang akan memuatkan segala informasi serta proses berhubung perjalanan pilihan raya umum ke-13.
  
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selain menjadi panduan kepada pengundi yang pertama kali mengundi, laman web itu turut memuatkan peraturan yang baru diperkenalkan pada PRU kali ini.
  
"Antara yang akan dimuatkan dalam laman web berkenaan ialah maklumat terkini proses penamaan calon, tempoh berkempen, proses mengundi, urusan mengundi sehingga pengumuman keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran portal itu di sini hari ini.
  
Beliau berkata laman web berkenaan akan menjadi sumber rujukan utama bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga media terutamanya semasa pilihan raya berlangsung.
  
Katanya ia dapat membantu orang ramai dan media mendapatkan maklumat seperti jumlah atau peratus terkini pengundi yang keluar mengundi tanpa perlu menghubungi SPR.

"Setiap maklumat yang dimasukkan adalah terkini dan pegawai SPR akan memastikan ia sentiasa dikemaskini. Kita juga akan pastikan tahap keselamatan untuk mengelak laman web digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab," kata Abdul Aziz.
  
Beliau berkata antara lain, laman web itu diwujudkan bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat tepat dan sahih kerana sudah menjadi kebiasaan setiap kali pilihan raya diadakan pelbagai khabar angin akan timbul.
  
SPR, katanya, mengalu-alukan sebarang maklum balas.
  
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan sekali lagi SPR sentiasa berusaha memastikan senarai nama pengundi dibersihkan, namun berkata mana mungkin ia dapat dibersihkan seratus peratus.
  
"Sebagai contoh jika hari ini SPR memberi jaminan senarai pemilih bersih mungkin esok ada ada berlaku kematian dan ada yang dilucutkan kewarganegaraan,"
katanya.
  
Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah, beliau berkata empat pegawai SPR sedang dalam senarai menunggu untuk menjadi saksi. - Bernama/Sinar Harian
SAMY VELLU TEKAD TAWAN SEMULA SG SIPUT

Malaysia dapat projek RM10 Billion di BangladeshKUALA LUMPUR - Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bertekad untuk mengembalikan kawasan Parlimen Sungai Siput, Perak ke tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, duta khas ke India dan Asia Selatan Bagi Infrastruktur itu berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung pemilihan calon untuk bertanding di kawasan itu.

Samy dilantik sebagai penyelaras jentera pilihan raya BN di Sungai Siput pada November lepas.

"Saya dilantik oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk mengetuai BN di Sungai Siput. Tugas saya untuk jadikan Parlimen Sungai Siput kawasan BN. Itu saja.

"Tugas yang diberi saya mahu selesaikan. Saya tidak bincang mengenai siapa akan jadi calon atau lain-lain," katanya kepada Bernama selepas rakaman program Hello Malaysia edisi Tamil terbitan Bernama TV hari ini.

Samy Vellu berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau berminat bertanding semula di kawasan yang pernah disandangnya selama lapan penggal itu.

Dalam pilihan raya umum 2008 Samy Vellu kalah kepada Michael Jeyakumar Devaraj yang bertanding atas tiket PKR. – Bernama/Sinar Harian
POLIS EDAR 14 FOTO PESERTA BOLEH BANTU SIASATAN HIMPUNAN #KL112

KUALA LUMPUR - Polis mengedarkan 14 keping gambar peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR KL 112) yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam pelanggaran syarat oleh pengajur perhimpunan pada 12 Januari lalu. 

Foto 14 peserta
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, syarat yang dipercayai dilanggar penganjur itu adalah peserta membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun bersama menyertai perhimpunan.

"Orang ramai yang mengenali mana-mana individu yang gambarnya disiarkan oleh media supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang gambarnya disiarkan dan sedang dikesan itu, boleh hubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat Asisten Superitendent Tonny Lunggan ditalian 014-6225262 atau pejabat 03-90516222 

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama/Sinar Harian
MAJLIS SYURA ULAMA PAS: TIADA PEMIMPIN AKAN DIGUGURKAN

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menafikan dakwaan kemungkinan seorang lagi pemimpin kanan parti itu akan digugurkan keanggotaan dalam Majlis Syura Ulama dan tidak dicalonkan di mana-mana kawasan.

“Tidak ada (pemimpin kanan digugurkan dalam Majlis Syura),” katanya dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas aktivis dan ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail yang mengatakan seorang lagi pemimpin Pas akan menerima nasib sama seperti bekas Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa.

Mustafa berkata, tiada perbincangan dilakukan mengenai pengguguran mana-mana anggota Majlis Syura selepas Nasharudin. – Sinar Harian
ISU KALIMAH ALLAH TIDAK WAJAR TIMBUL - BEKAS KETUA HAKIM NEGARA

KUALA LUMPUR - Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seharusnya tidak timbul kerana ia telah termaktub di bawah undang-undang di 10 negeri yang menetapkan penggunaannya hanya untuk orang Islam sahaja.
  
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata, semua pihak harus menghormati peruntukan undang-undang tersebut dan tidak mempersoal mahupun membangkitkan perkara itu sama sekali.
  
Tegasnya Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan bahawa Islam merupakan agama rasmi negara, justeru semua pihak termasuk bukan Islam perlu memahaminya serta tidak menuntut perkara yang tidak sepatutnya.
  
"Perlembagaan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman damai, namun apa yang berlaku sekarang ada pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah untuk bukan Islam.
 
"Ini bermakna bukan Islam tidak mengamalkan agama mereka secara aman damai dan ini boleh mencetuskan perbalahan...kita juga tidak tahu apa motif mereka (pihak yang menuntut penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat draf asas Memorandum kepada Majlis Raja-Raja berhubung Isu Memepertahankan Kesucian Nama Allah di sini, hari ini.

Sehubungan itu, selaku Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berkaitan Islam, Ahmad Fairuz berkata pihaknya akan menyiapkan satu memorandum untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.
  
Beliau berkata memorandum itu dirangka untuk memohon dan merayu Majlis Raja-Raja yang dianggotai Sultan dan Raja Melayu selaku ketua agama Islam di setiap negeri supaya mengeluarkan satu ketetapan khusus untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan kesucian agama itu.
  
"Memorandum ini juga mengandungi petisyen daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang menolak sama sekali sebarang cubaan untuk mengganggu gugat kesucian Islam dan jika tiada sebarang halangan (memorandum) akan diserahkan kepada pihak Majlis Raja-Raja pada penghujung Februari ini," katanya. - Bernama/Sinar Harian
KAJIAN MAHASISWA: BN DIRAMAL MENANG PRU

Satu kajian mendapati Barisan Nasional (BN) diramal untuk memenangi pilihan raya umum  ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan pada tahun ini.
  
Bertajuk 'Kajian Maklumbalas Pengundi Mahasiswa', kajian itu membabitkan 3,000 responden dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
  
Responden melibatkan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas dari kaum Melayu, Cina dan India yang mana ada di antara mereka yang bakal mengundi untuk kali pertama.
  
Kajian dilakukan pada 9 hingga 12 Dis tahun lepas itu juga mendapati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan seorang pemimpin yang popular, mempunyai prestasi yang baik dan layak menjadi Perdana Menteri.
  
Pengerusi Yayasan Hal Ehwal Siswa Datuk Mohd Radzi Abdul Latif berkata 57 peratus responden, yang mewakili UKM (75 peratus), UPM (67.4 peratus) dan UM (41.4 peratus), mengatakan kepimpinan Perdana Menteri baik dan popular.

"Selain itu 59 peratus dari kesemua responden mengakui Najib pilihan utama sebagai Perdana Menteri.
  
"Kajian juga mendapati pengundi atas pagar (responden dalam golongan tidak pasti) merupakan kunci utama penentu kepada kejayaan sesebuah parti," katanya ketika mengumumkan hasil kajian tersebut dalam sidang akhbar di sini hari ini.
  
Beliau berkata hasil kajian mendapati 68 peratus responden tidak pasti untuk memilih siapa pada PRU-13 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 40 peratus responden tidak pasti untuk memilih siapa bagi kerusi
Parlimen.
  
Menurutnya hampir kesemua responden percaya Facebook merupakan medium paling baik sebagai platform untuk kempen pilihan raya selain Facebook dan Youtube juga merupakan medium pilihan untuk mengakses maklumat politik. - Bernama/Sinar Harian