Showing posts with label Majlis Ulama. Show all posts
Showing posts with label Majlis Ulama. Show all posts

Sunday, March 3, 2013

ISU KALIMAH ALLAH: ANWAR PERLEKEH GOLONGAN ULAMA

KUALA LUMPUR: Tindakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan penglibatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyediakan dan menandatangani kenyataan bersama Pakatan Rakyat yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dilihat sebagai cubaan memperlekeh golongan ulama.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selain memalukan Abdul Hadi, Anwar dalam masa yang sama seolah-olah cuba membunuh peranan ulama dalam parti itu.

“Dia nak tunjuk ulama tak boleh dipakai, tak konsisten. Dia nak tunjuk Abdul Hadi tak ada kredibiliti supaya golongan sekular atau erdogan dalam PAS boleh ambil alih kepimpinan parti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata Anwar tidak selesa dengan golongan ulama yang dilihat menghalang cita-cita pakatan pembangkang untuk memerintah, justeru cuba menghasut anggota PAS bahawa ulama tidak mampu memimpin parti.
Anwar mendedahkan penglibatan Abdul Hadi berhubung perkara itu ketika berceramah di Ketereh, Kota Baharu, Selasa lepas.

Kenyataan bersama yang dirujuk Anwar itu adalah bertentangan dengan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Jan yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Menyifatkan pemecatan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama sebagai kejayaan terbesar Anwar untuk menyingkirkan ulama, Mohd Puad tidak menolak akan berlaku pertembungan antara golongan ulama dan bukan ulama satu hari nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya pula berkata Anwar bukan sahaja tidak menghormati PAS sebagai rakan pakatan, tetapi Abdul Hadi sebagai presiden parti.

Katanya, Anwar turut memperbodoh-bodohkan Majlis Syura Ulama melalui tindakannya itu selain cuba memporak-perandakan PAS.

“Keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama sebagai majlis tertinggi dalam PAS adalah mendahului keputusan mana-mana individu lain dalam parti itu termasuk Presiden sendiri.

“Pandangan Abdul Hadi tidak mewakili PAS secara keseluruhan. Itu pendapat dia, bukan pendapat PAS. Tapi kalau dia (Abdul Hadi) kata itu kenyataan parti, apa yang kita tahu kenyataan PAS adalah tidak sama,” katanya.

Fathul Bari juga sependapat dengan Mohd Puad bahawa tindakan Anwar akan memberi implikasi negatif kepada kerjasama dalam pakatan pembangkang selain menyebabkan pertembungan dalam PAS.

“Ia akan menyebabkan orang ramai malah anggota PAS sendiri hilang rasa hormat kepada Abdul Hadi selaku presiden parti,” katanya.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata Abdul Hadi perlu menarik semula kenyataan awalnya berhubung isu kalimah Allah tersebut demi kemaslahatan ummah.

Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali pula menggesa Abdul Hadi menjelaskan pendiriannya berhubung isu tersebut demi mempertahankan kredibilitinya sebagai seorang ulama.

“Adakah kenyataan Anwar itu menepati apa yang berlaku atau Ustaz Hadi ada versinya yang tersendiri demi mempertahankan kewibawaan PAS sebagai parti politik Islam yang tidak sekali-kali sanggup menyembunyikan kebenaran,” katanya.

“Ustaz Hadi perlu bertanggungjawab penuh di sisi Allah kerana keputusan yang dikatakan dibuat olehnya itu mempunyai implikasi hukumnya yang tersendiri,” katanya.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ruslan Kasim berkata golongan ulama jelas diperalatkan golongan oportunis seperti Anwar.

Beliau berkata Abdul Hadi pula bertindak seolah-olah seperti lalang dan sanggup menggadaikan akidah Islam semata-mata untuk kepentingan politik.

“Ini tindakan terdesak untuk menarik orang PAS yang jelas tidak tahu rahsia yang sebenarnya. Presiden PAS seperti tiada prinsip dan lebih mengutamakan Putrajaya daripada menegakkan akidah Islam,” katanya. – BERNAMA/TheMalaysianTimes

Thursday, January 31, 2013

MAJLIS SYURA ULAMA PAS: TIADA PEMIMPIN AKAN DIGUGURKAN

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menafikan dakwaan kemungkinan seorang lagi pemimpin kanan parti itu akan digugurkan keanggotaan dalam Majlis Syura Ulama dan tidak dicalonkan di mana-mana kawasan.

“Tidak ada (pemimpin kanan digugurkan dalam Majlis Syura),” katanya dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas aktivis dan ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail yang mengatakan seorang lagi pemimpin Pas akan menerima nasib sama seperti bekas Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa.

Mustafa berkata, tiada perbincangan dilakukan mengenai pengguguran mana-mana anggota Majlis Syura selepas Nasharudin. – Sinar Harian

Wednesday, January 30, 2013

ADA LAGI PEMIMPIN KANAN PAS DIJANGKA DIPECAT DARI MAJLIS SYURA ULAMA

KUALA TERENGGANU - Seorang pemimpin kanan Pas dijangka dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu, kata bekas pengikut setia parti itu Zainon Ismail.

Katanya beliau difahamkan antara nama yang disebut-sebut berada dalam senarai pemecatan oleh Majlis Syura Ulama Pas ialah Ketua Dewan Ulama parti itu Datuk Harun Taib.

Beliau berkata tidak mustahil perkara itu berlaku selepas bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa digugurkan sebagai ahli majlis itu pada 13 Januari lalu.

"Majlis Syura Ulama Pas adalah badan tertinggi parti itu dan apabila keputusan dibuat oleh majlis itu, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan," kata Zainon yang juga seorang penulis buku dengan nama penanya, C.N.Al-Afghani.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program diskusi 'Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia' yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu berikutan tindak tanduknya yang didakwa boleh merugikan parti itu. – Bernama/Sinar Harian

Tuesday, January 15, 2013

ISU KALIMAH ALLAH:  PAS HADAPI TEKANAN

KUALA LUMPUR - Keputusan terbaru Majlis Syura Pas yang memutuskan kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu dibuat selepas menerima tekanan pelbagai pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tidak mustahil sekiranya Pas mengekalkan keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam dengan syarat ia tidak disalahgunakan sekiranya mufti terus mendiamkan diri dalam isu tersebut.

Katanya, isu itu jelas menunjukkan ketidaksefahaman yang wujud dalam kalangan pucuk pimpinan Pas yang sanggup membenarkan penggunaan kalimah ALLAH untuk bukan Islam demi meraih sokongan pengundi beragama Kristian di Sabah dan Sarawak.

"Nama ALLAH yang dikhaskan untuk umat Islam pun sanggup dipolitikkan. Sebelum Majlis Syura mereka buat keputusan, kita telah lihat drama di kalangan pucuk pimpinan Pas bila ada pihak yang bersetuju dan ada yang tidak," katanya pada sidang media selepas membentangkan kertas kerja di Seminar Transformasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) 2013 di sini hari ini.

Ahmad Maslan juga percaya masyarakat tidak sewenang-wenangnya akan melupakan pendirian Pas berhubung isu itu pada 2010 kerana isu sama telah dicanang secara meluas menerusi ceramah dan sidang media pihak pembangkang.

"Umno sudah pasti tidak akan menggadaikan kalimah ALLAH. Saya sendiri membaca dan mendapatkan pandangan ulama dan mufti tentang perihal ini dan tidak berbuat sesuka hati," katanya. – Bernama/Sinar Harian

Wednesday, July 25, 2012

MAJLIS ULAMA UMNO PERLU ADA KUASA – PENGANALISIS POLITIK
Cadangan penubuhan Majlis Ulama Umno terus mendapat reaksi dari pelbagai pihak. Hari ini dalam laporan akhbar Sinar Harian, seorang penganalisis memberi pandangannya.

Dr Maszlee Malek berpendapat, penubuhan Majlis Ulama Umno perlu mempunyai kuasa untuk mencorakkan hala tuju parti bukan hanya menjadi alat parti dan pemimpinnya dalam isu berkaitan agama. Beliau turut mengingatkan, perkara itu perlu diperjelaskan kerana ada pihak tertentu dalam politik yang menjadikan golongan ulama sebagai alat untuk mereka memperjuangkan isu yang ada kaitan dengan Islam.

"Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah soal fahaman yang berbeza dalam parti itu. Fathul Bari (Mat Jahaya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno yang mencadangkan penubuhan majlis ulama Umno) membawa fahaman dari Timur Tengah. Ini berbeza dengan golongan ulama sedia ada dalam Umno. Saya bimbang jika ianya boleh menimbulkan konflik atau persaingan dalam Umno sendiri," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, mereka yang menganggotai majlis itu harus daripada kalangan yang dihormati oleh semua pihak.

KD: Agak bersetuju dengan pandangan Dr Maszlee. Ini kerana, sebagai parti terbesar di Malaysia, Umno perlu mempertimbangkan segala pendapat pro dan kontra sebelum melaksanakan sesebuah rancangan. 

Monday, July 23, 2012

MAJLIS ULAMA UMNO : REAKSI NEGATIF

Usul penubuhan Majlis Ulama Umno juga mendapat reaksi negatif oleh beberapa pihak.  
Berikut merupakan pendapat pihak yang tidak @ kurang bersetuju dengan usul itu:

Pengarah Strategi Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan
“Cadangan mewujudkan ulama sebagai sayap parti adalah kurang sesuai kerana ia dilihat mengecilkan skop tugas ahli agama. Ia juga akan menyekat peranan ulama yang terpaksa akur dengan perjuangan parti. Bagaimanapun, kita tidak menolak mereka (ulama) kerana dalam mana-mana pentadbiran sesebuah negara, peranan ulama adalah besar dan perkara itu jelas dilihat dalam kalangan penasihat adalah terdiri daripada ulama.”

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuantan, Datuk Muhammad Suffian Awang
“Politik tidak seharusnya dicampur adukkan dengan agama kerana ia boleh membawa kesan negatif pada masa akan datang. Kita tidak mahu di kemudian hari pandangan agama akan bertukar menjadi tafsiran sendiri kerana kepentingan tertentu. Ia akan membuatkan masyarakat tidak percaya kepada agama jika peranan ulama disalah guna.”

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus
“Jika ulama menyertai politik, mereka secara tidak langsung dibelenggu dunia politik, sekali gus membuatkan tindakan golongan itu dipengaruhi kepentingan parti msing-masing. Justeru adalah lebih baik sekiranya ulama kekal sebagai penasihat supaya kebenaran terutama perkara berkaitan agama dapat ditegakkan tanpa rasa ragu. Jika cadangan itu benar-benar ingin dilaksanakan, sayap ulama itu perlu mendapat kebebasan dari sudut agama untuk menegakkan kebenaran, tanpa tekanan politik.”

Timbalan ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin
“Secara peribadi, tidak perlulah diwujudkan sayap baru kerana sistem yang ada kini sudah kuat dan diterima ramai. Tahap penghormatan kepada ulam adalah peringkat yang paling baik. Bukan tidak mahu melibatkan mereka dengan politik tetapi nasihat dan panduan daripada mereka lebih meluas bukan hanya dalam politik sahaja.”

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin
“Tidak perlu ditubuhkan sayap ulama memandangkan Umno sendiri sudah mempunyai sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Ulama boleh menyertai Umno untuk menguatkan parti. Saya cadangkan supaya ulama-ulama ini sertai sayap-sayap yang ada.”

KD: Jika difikirkan kembali, ada kebenarannya di sebalik pendapat-pendapat ini. Sama ada Majlis Ulama akan dilaksanakan atau tidak, sama-samalah kita tunggu.
MAJLIS ULAMA UMNO : REAKSI POSITIF

Cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu majlis ulama Umno diwujudkan semula, mendapat reaksi amat positif daripada pimpinan pusat.

Cadangan yang sudah diusulkan sejak dua tahun lalu itu akhirnya mendapat perhatian selepas Fathul Bari mengutarakannya pada debat anjuran Sinar Harian, 'PRU13: Orang muda pilih siapa?' pada Khamis minggu lalu.

Berikut merupakan reaksi dari pemimpin-peminpin Umno:

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek:
Beliau amat bersetuju jika Majlis Ulama atau Lembaga Penasihat yang terdiri daripada kalangan ulama ditubuhkan bagi membolehkan parti merujuk dasar dan keputusan-keputusan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Menurutnya, anggota majlis itu nanti mestilah terdiri daripada kalangan yang diakui mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam dan berpengetahuan luas.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan:
Beliau bersetuju usul ini dibawa dan dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang akan  datang. Menurut beliau, jika semua sudah setuju, barulah memikirkan bentuk struktur dan organisasinya.

Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi:
“ Usul penubuhan Majlis Ulama Umno itu akan diberi pertimbangan serius.  Saya percaya, jika cadangan ini direalisasikan, ia sekaligus dapat menutup mulut pihak yang selama ini menuduh Umno meminggirkan Islam.”

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim:
“Saya akan membawa usul ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi untuk diberi pertimbangan terutama oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed:
“Golongan ulama amat penting dalam perjuangan Umno. Saya sokong cadangan itu.”

KD: Usul yang baik haruslah disegerakan pelaksanaannya. Jika sudah mencapai kata sepakat dan gerak kerjanya sudah ada, maka tiada masalah usul ini diteruskan. Mungkin dengan penubuhan Majlis ini ia akan memantapkan lagi Umno sebagai parti terbesar di Malaysia.