Tuesday, September 4, 2012

KERAJAAN MALAYSIA TIDAK TERLIBAT PENGIBARAN JALUR GEMILANG PEMBERONTAK DI THAILAND

BANGKOK: Kerajaan Malaysia tidak terlibat apabila pemberontak mengibarkan Jalur Gemilang di selatan Thailand pada Jumaat lepas.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Jen Pol Wichien Potposri hari ini berkata kerajaan Malaysia bukanlah pihak bertanggungjawab di sebalik aktiviti mengibarkan bendera negara berkenaan.

"Thailand dan Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dan kerjasama yang sangat akrab dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara di sini.

Jalur Gemilang dikibar dengan banyak di Pattani, Yala dan Narathiwat pada Jumaat lepas, serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.

Bendera itu turut kelihatan dipasang di pokok dan tiang lampu selain dibawa oleh beberapa lelaki.

THAILAND-MALAYSIA 2 (AKHIR) BANGKOKSebab pemberontak mengibarkan bendera Malaysia di ketiga-tiga wilayah di selatan itu masih samar.

Jen Pol Wichien berkata tidak menjadi kesalahan untuk orang ramai membawa masuk bendera Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Komander 4th Army Mej Jen Udomchai Thammasaorath percaya motif pemberontak adalah untuk mewujudkan perselisihan faham antara Thailand dan Malaysia.

"Kami mempunyai hubungan yang sangat mesra. Apa jua yang berlaku tidak akan mewujudkan perselisihan faham antara kedua-dua negara," katanya.

Terdapat lebih 100 serangan dilancarkan di ketiga-tiga wilayah itu Jumaat lepas dengan kes terburuk membabitkan sebuah gedung perniagaan di Narathiwat yang dibom dengan kerugian dianggar berjumlah 60 juta Baht (kira-kira RM6 juta).

Ini kali ke-17 gedung perniagaan itu dibom dalam tempoh tujuh tahun dan serangan terbaru ini adalah yang terburuk.

Serangan bersepadu itu yang dijalankan di tiga wilayah itu dipercayai sempena sambutan ulang tahun Barisan Bersatu bagi Kemerdekaan Pattani (Bersatu).

Bersatu ditubuhkan pada 31 Ogos, 1989 oleh kumpulan pemberontak serpihan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo), Barisan Revolusi National Melayu Pattani (BRN), Barisan National Pember-Basan Pattani (BNPP) dan Mujahadeen Pattani. -BERNAMA/MStar
ISU PIJAK GAMBAR PM: PIMPINAN PKR PERLU DIDIK AMK AGAR LEBIH BERADAB -ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mendidik sayap Pemudanya agar lebih beradab terhadap pemimpin negara.

Sambil menyifatkan tindakan memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipercayai didalangi oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai biadap, Zahid berkata perbuatan itu tidak sesuai dilakukan terhadap pimpinan tertinggi negara meskipun mereka mempunyai ideologi politik yang berbeza.

"Biarpun berbeza agama dan organisasi politik kita tak boleh hina, termasuk pijak walaupun gambar (Najib) sebab ia merupakan simbol kepada pemimpin kita. "Saya rasa kepimpinan tertinggi PKR perlu menasihatkan AMK supaya lebih beradab dalam berpolitik, sebab di negara ini kita tidak mengamalkan budaya sedemikian," katanya ketika diminta mengulas insiden berkenaan pada malam ambang merdeka di Dataran Merdeka Khamis lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan bersama kira-kira 60 pengamal media ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan di sini, Isnin.

Dalam pada itu beliau berkata rakyat terutama golongan muda patut menilai setiap tindakan yang dilakukan pihak pembangkang sebelum memilih mereka sebagai pemerintah.

Pembangkang, katanya, selain mengajar rakyat menghina pemimpin, mereka juga sering dilihat tidak bersatu dalam banyak tindakan yang mereka lakukan.

Ini dapat dilihat apabila PAS sendiri tidak menyokong insiden malam ambang merdeka itu yang disifatkan tidak menepati budaya dan tatasusila rakyat negara ini yang sopan santun dan menghormati pemimpin.

"Kita tahu kejadian berkenaan turut tidak dilakukan PAS, malah DAP juga mungkin memberikan reaksi yang berbeza...banyak perkara yang tidak disepakati bersama sebab kita tahu pakatan mereka ini ibarat perkahwinan muta'ah, iaitu pakatan yang sementara.

"Justeru golongan muda perlu sedar akan hal ini dan lihat siapa yang lebih beradab dalam menguruskan politik negara ini," katanya.

Zahid dan para pengamal media pada lawatan selama enam jam itu turut dipertontonkan dengan aksi terjunan pasukan khas udara (PASKAU) dari ketinggian 10,000 kaki dan simulasi operasi menyelamat pesawat yang dirampas oleh pengganas. -BERNAMA
TUKAR BENDERA BUKAN KERJA AMK?

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak bertanggungjawab terhadap dakwaan cubaan menukar dan menghina Jalur Gemilang semasa ambang Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya mana-mana pihak mahu mengibar bendera merah putih yang dinamakan Sang Saka Bangsa sebagai ekspresi perkembangan sejarah negara.

"Bendera itu direka oleh Timbalan Ketua Penerangan AMK, Mohd Najwan Halimi pada 2007, ketika itu dia belum menyertai PKR. Jadi apa yang dilakukan pada tahun itu tak harus dikaitkan dengan PKR.

"Saya percaya itu adalah pandangan dan manifestasi beliau sebagai seorang anak muda yang ingin membuat penilaian sejarah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Mengulas mengenai pendirian sebenar sayap PKR itu, Shamsul dengan tegas menyatakan cadangan untuk menukar bendera bukan menjadi agenda mereka.

"Apa yang penting pendirian kita jelas, kita tidak akan tukar bendera. Tapi kalau nak kibar...kita tak ada masalah.

"Kita tak boleh halang ekspresi mereka kerana apa yang dilakukan hanya berlandaskan sejarah," katanya.

Pada 30 Ogos lalu negara dikejutkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa peserta Janji Demokrasi yang mengibarkan bendera yang didakwa akan menggantikan Jalur Gemilang sekiranya pembangkang berkuasa.

Selain dikibarkan di khalayak ramai, beberapa riasalah juga diedarkan semasa sambutan ambang merdeka itu yang mengajak rakyat untuk mengatakan 'tidak' kepada Jalur Gemilang dan menyokong bender merah putih itu.

Ketika ditanya mengenai penyebaran risalah berkenaan, Shamsul bagaimanapun berdolak dalik mengenai kewujudan risalah yang turut mengandungi logo merdeka pembangkang dengan tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

"Saya tak dapat salinan (risalah). Kalau ada boleh tunjuk. Saya tak tahu ada risalah yang dibuat. Apa yang saya tahu hanya gambar, bukannya risalah," katanya.

Ditanya mengenai tindakan polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat tindakan menghina Jalur Gemilang, Shamsul berkata: "Tak ada asas untuk tahan mereka.

"Kami menyokong kumpulan orang muda yang berani untuk menyatakan pendirian dan pendapat mereka berdasarkan asas sejarah yang kukuh, jangan serang mereka dengan ugutan." -MStar