Friday, November 23, 2012

HADI LEBIH LAYAK JADI PM BERBANDING ANWAR : DR M

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih layak daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ia berikutan Hadi tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kes pada masa lalu berbanding Anwar.

Jika mereka (pakatan pembangkang) menang sudah tentu beliau (Hadi) boleh jadi Perdana Menteri. Dia (Hadi) lebih layak daripada Anwar. Dia sepatutnya (menjadi Perdana Menteri) jika mereka menang, katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu membolehkan PAS meraih lebih undi daripada masyarakat Melayu, Dr Mahathir dengan nada berseloroh berkata, Karpal Singh juga layak... jika beliau memakai turban (serban), beliau pun layak seperti Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat), katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kanak-Kanak Yang Terjejas oleh Perang anjuran Yayasan Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Pada Muktamar PAS ke-58 yang berakhir, Ahad lalu, wakil Dewan Ulama mencadangkan Hadi dipilih menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada PRU-13.

Dr Mahathir turut diminta mengulas berhubung ungkapan parti syaitan yang dibangkitkan Hadi tanpa menamakan mana-mana parti dalam ucapan dasarnya pada Muktamar PAS.

Mana dia tahu (parti itu) bekerjasama dengan syaitan, mungkin mereka yang bekerjasama dengan syaitan. Dia sendiri yang bekerjasama dengan syaitan, itu yang saya tahu, katanya.

Dr Mahathir berkata, ungkapan itu mungkin timbul berikutan kenyataannya sebelum itu yang menyebut I prefer to work with the devil I know than the angel I dont know.

Ia adalah pepatah Inggeris yang kurang difahami orang PAS yang bermaksud lebih baik kami bekerjasama dengan orang yang kita kenal daripada orang yang tidak dikenali walaupun mereka dikatakan baik.

Itu saja. Ia bukan bermakna saya bekerjasama dengan devil (syaitan) atau mereka itu angel (malaikat). Jauh sekali, itu dia tak faham, katanya. -BHarian
MAJLIS PENERANGAN ATASI KEKELIRUAN AES

Kota Bharu: Lebih banyak siri perjumpaan dan majlis penerangan akan diadakan untuk mendidik pengguna jalan raya mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebelum dilaksanakan sepenuhnya ke seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata perjumpaan itu turut membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan terutama untuk mengelak kekeliruan berhubung sistem itu.

"Maklum balas itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri melalui mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan AES yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dan dialog dengan NGO dan pegawai kerajaan di ibu pejabat JPJ Kelantan di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, hanya lima sekolah berhampiran jalan utama di seluruh negara akan dipasang AES membabitkan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).

Solah berkata, lima sekolah itu dikenal pasti kerap berlaku kemalangan membabitkan muridnya.

"Selain itu, Kementerian Pelajaran sendiri memohon supaya sekolah di tepi jalan besar dipasang AES, katanya.

Beliau berkata, sebanyak 831 kawasan hitam kemalangan sudah dikenal pasti untuk dipasang AES di seluruh negara, iaitu 561 lokasi memandu melebihi had laju dan 270 lampu isyarat. -BHarian