Friday, November 29, 2013

TAK RASIONAL GAJI MB SELANGOR LEBIH TINGGI DARI PM
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Selangor menyifatkan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor yang baru adalah tidak rasional kerana melebihi gaji Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kenaikan gaji Menteri Besar Selangor yang mencecah RM29,250 berbanding gaji lamanya RM 14,175.15 adalah tidak rasional.

"Kepentingan rakyat perlu diutamakan memandangkan ketidaktentuan ekonomi negara yg tidak menentu. Saya juga melihat kenaikan ini sangat melampau kerana gaji Menteri Besar lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri sedangkan skop tugas Menteri Besar hanya negeri semata-mata.

"Pada hemat saya, kenaikan gaji dan elaun bulanan Menteri Besar, Exco dan Adun Selangor adalah tidak wajar dan saya melihat tiada rasional keputusan Dun Selangor meluluskan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kata beliau, kerajaan Selangor sepatutnya mendahulukan kepentingan rakyat sekiranya, negeri tersebut mempunyai kewangan yang kukuh.

"Kerajaan Selangor belum mampu mengagihkan kekayaan ke seluruh negeri dan masih ada kawasan belum dimajukan dan ada di kalangan rakyat Selangor hidup menderita.

"Kerajaan negeri mendabik dada seolah-olah sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat walhal cukai pintu naik, pengangguran masih tinggi dan infrastruktur masih belum sempurna. Saya sendiri mengalami di Parlimen Kuala Selangor apabila mendengar rintihan rakyat," katanya.


Sumber: Sinar Harian