Tuesday, August 14, 2012

GESAAN MANSUH SEKSYEN 114 AKTA KETERANGAN
 
KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas interim perlu ditubuhkan bagi merangka Kertas Putih dan kajian untuk melakukan semakan terhadap pindaan Akta Keterangan 1950.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menubuhkan pasukan petugas untuk menangani kebimbangan terhadap pindaan kepada Akta Keterangan.

Pindaan terhadap Akta Keterangan diluluskan pada April dan diwartakan pada 31 Jun lalu namun wujud kontroversi bagi Seksyen 114 (a) akta tersebut.

Pelbagai pihak mendakwa bahawa seksyen itu memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap komen yang dilakukan di internet walaupun ia dibuat oleh pihak lain.

Selain itu, pihak yang didakwa di bawah akta tersebut perlu mengemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan salah laku terhadap mereka walaupun komen-komen berkenaan dibuat oleh penggodam.

Sebelum ini dilaporkan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan pindaan tersebut merancang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar mengkaji semula akta tersebut.

Malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut dilaporkan berkata mereka akan melobi pihak kerajaan agar menukar seksyen kontroversi itu.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam 'hari tanpa internet' hari ini (Selasa) untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu itu.

Lim berkata, Seksyen 114 (a) akta tersebut perlu dimansuhkan kerana ia mengandungi anggapan bahawa mana-mana pengguna berdaftar sesuatu perkhidmatan rangkaian adalah penerbit bagi setiap penerbitan yang dihantar melalui komputer yang dihubungkan dengan perkhidmatan rangkaian internet.

"Seksyen itu akan mewujudkan suatu anggapan bahawa pemilik kedai kopi yang menawarkan WiFi percuma boleh dianggap telah menerbitkan satu penerbitan dalam talian dari sesuatu komputer menggunakan kemudahan WiFi," katanya.
ISRAEL PERINTAH DUNIA MELALUI PROKSI - TUN M


KUALA LUMPUR: Terdapat kebenaran kepada dakwaan bahawa Israel memerintah dunia melalui proksi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tertanya-tanya adakah orang menyedarinya atau tidak tetapi calon-calon presiden Amerika Syarikat iaitu kuasa besar tunggal, semua perlu mendapatkan kelulusan daripada Israel.

"Calon Republikan bagi jawatan Presiden, Mitt Romney, baru sahaja menziarahi Tel Aviv dan telah membuat akur janji terbuka bahawa beliau akan lebih tegas terhadap rakyat Palestin dan Iran berbanding Obama (Pesiden Barack Obama), katanya dalam entiri terbaru dalam blognya di chedet.cc pada Isnin.

Dr Mahathir percaya tidak lama lagi Obama akan melakukan lawatan sama dan akan menaburkan banyak lagi janji untuk berjuang bagi Israel.

"Situasi ini ganjil dan rakyat Malaysia tidak berfikir pendekatan ini elok semasa pilihan raya umum.

"Bagaimana jika calon-calon Malaysia bagi pilihan raya terpaksa melawat negara jiran untuk berjanji persahabatan kita atau menyokong mereka?

"Pilihan raya kita adalah untuk memperoleh sokongan rakyat Malaysia untuk parti yang akan membentuk kerajaan. Apa yang negara lain berfikir mengenai dasar-dasar kerajaan kita adalah tidak relevan," katanya. BERNAMA

JEREBU DIJANGKA BERLANJUTAN HINGGA RAYA

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka seperti membakar sampah sarap dan melakukan kerja-kerja pertanian berikutan masalah jerebu tebal di utara Malaysia.

Sehingga 11 pagi ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tiga kawasan yang tidak sihat semalam berada pada tahap sederhana hari ini dengan catatan terbaru iaitu Klang (IPU 78), Kedah (IPU 76) dan Kangar (IPU 73).

Ketua Pengarahnya, Halimah Hassan berkata, jerebu kali ini berpunca daripada pencemaran yang merentasi sempadan kerana bilangan titik panas di Sumatera telah meningkat kepada 163 semalam.

"Laporan Pusat Meteorologi ASEAN (ASMC) semalam juga menunjukkan kejadian lingkaran jerebu meliputi Selat Melaka dan negeri sebelah utara pantai barat Semenanjung. /Utusan