Showing posts with label majlis peguam. Show all posts
Showing posts with label majlis peguam. Show all posts

Thursday, September 27, 2012

MAJLIS PEGUAM CADANG TUBUH SURUHANJAYA PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia mencadangkan agar sebuah suruhanjaya tetap dan bebas ditubuhkan untuk menjalankan kajian serta menasihati parlimen berkaitan pembaharuan undang-undang.

Presidennya Lim Chee Wee bagaimanapun berkata suruhanjaya yang ditubuhkan ini perlu terbabit dalam perundingan secara terangkum, terbuka dan telus.

"Anggota suruhanjaya ini boleh diambil daripada kalangan hakim, peguam, ahli akademik dan masyarakat sivil yang berpengetahuan mendalam serta berpengetahuan luas," kata Lim ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2012 di sini, Rabu.

Lim berkata suruhanjaya pembaharuan undang-undang ini, yang bertanggungjawab kepada parlimen, boleh dan sewajarnya mendapat bantuan daripada Pusat Kajian Undang-undang dan Perundangan Antarabangsa.

Merujuk kepada hukuman ringan yang dikenakan terhadap dua lelaki yang merogol gadis bawah umur baru-baru ini, beliau berkata kemarahan yang disuarakan banyak pihak berhubung perkara itu menunjukkan perlunya langkah tertentu diambil untuk memberi kefahaman mendalam tentang isu berkenaan.

Sehubungan itu, kata beliau, badan itu menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa kerajaan akan menimbang untuk menubuhkan majlis hukuman bagi memastikan wujudnya ketekalan dalam hukuman yang putuskan oleh mahkamah.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian, Lim berkata penerimaan dana asing bukan suatu kesalahan selagi ia mematuhi undang-undang negara.

Malah, kata beliau, Badan Peguam Malaysia juga menerima dana asing untuk projek tertentu. BERNAMA/MStar

Tuesday, August 14, 2012

GESAAN MANSUH SEKSYEN 114 AKTA KETERANGAN
 
KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas interim perlu ditubuhkan bagi merangka Kertas Putih dan kajian untuk melakukan semakan terhadap pindaan Akta Keterangan 1950.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menubuhkan pasukan petugas untuk menangani kebimbangan terhadap pindaan kepada Akta Keterangan.

Pindaan terhadap Akta Keterangan diluluskan pada April dan diwartakan pada 31 Jun lalu namun wujud kontroversi bagi Seksyen 114 (a) akta tersebut.

Pelbagai pihak mendakwa bahawa seksyen itu memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap komen yang dilakukan di internet walaupun ia dibuat oleh pihak lain.

Selain itu, pihak yang didakwa di bawah akta tersebut perlu mengemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan salah laku terhadap mereka walaupun komen-komen berkenaan dibuat oleh penggodam.

Sebelum ini dilaporkan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan pindaan tersebut merancang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar mengkaji semula akta tersebut.

Malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut dilaporkan berkata mereka akan melobi pihak kerajaan agar menukar seksyen kontroversi itu.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam 'hari tanpa internet' hari ini (Selasa) untuk mewujudkan kesedaran mengenai isu itu.

Lim berkata, Seksyen 114 (a) akta tersebut perlu dimansuhkan kerana ia mengandungi anggapan bahawa mana-mana pengguna berdaftar sesuatu perkhidmatan rangkaian adalah penerbit bagi setiap penerbitan yang dihantar melalui komputer yang dihubungkan dengan perkhidmatan rangkaian internet.

"Seksyen itu akan mewujudkan suatu anggapan bahawa pemilik kedai kopi yang menawarkan WiFi percuma boleh dianggap telah menerbitkan satu penerbitan dalam talian dari sesuatu komputer menggunakan kemudahan WiFi," katanya.