Monday, July 2, 2012

LOGO HALAL - AMBIL TINDAKAN JIKA PAMER LOGO PALSU

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pengusaha premis makanan dinasihatkan agar tidak mengelirukan pengguna dengan logo halal palsu dan tulisan ayat-ayat al-Quran jika masih tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, tindakan yang diambil oleh Jakim adalah untuk memastikan tiada pengguna beragama Islam tertipu dengan penggunaan logo atau ayat-ayat yang kononnya premis makanan tersebut dijamin halal.

“Tindakan hanya akan diambil pihak Jakim jika premis tersebut memaparkan logo halal selain keluaran Jakim serta jika mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan pengusaha premis makanan agar mendapatkan kelulusan terdahulu sebelum bertindak sedemikian," katanya. –Utusan Online
PERAK MAN - LEMBAH LENGGONG TAPAK WARISAN DUNIA


Lembah Lenggong di Perak yang menjadi lokasi penemuan Perak Man pada 2001 kini tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mengakui ia sesuatu yang membanggakan negara.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha Jabatan Warisan Negara diketuai Prof. Zurainah Majid yang menjayakan cadangan supaya Lembah Lenggong dijadikan sebagai sebuah kawasan sejarah diiktiraf UNESCO.

Lembah Lenggong yang dipercayai menjadi laluan keluar terawal manusia dari Afrika menuju ke Australia selain dianggap 'ibu kota' Malaysia turut mempunyai beberapa bukti lain seperti Kota Tampan, Gua Teluk Kelawar selain Gua Gunung Runtuh yang menempatkan Perak Man.

Tambah Rais, bagi meyakinkan dunia mengenai tapak bersejarah itu, Perak Man dan Wanita Perak akan dijelmakan sebagai satu artifak berharga kepada negara.

Ujar beliau, kementerian juga akan mengadakan permuafakatan dengan kerajaan negeri Perak bagi membuat kajian tentang pembangunan dan susulan mengenai tapak itu demi pembangunan sosio budaya dan warisan yang paling kental. –Utusan Online