Tuesday, March 26, 2013

KSA1M : PINJAMAN MUDAH UNTUK PENJAWAT AWAM?

KUALA LUMPUR - Koperasi Sektor Awam 1Malaysia (KSA1M) disaran mewujudkan skim pinjaman mudah untuk penjawat awam.

Dalam membuat cadangan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, ia bagi mengelak penjawat awam daripada membuat pinjaman dari peminjam wang haram atau Ah Long dan agensi pinjaman yang mengenakan faedah tinggi yang dilihat membebankan.

"Skim pinjaman ini sesuai untuk perkara seperti kematian, persekolahan anak dan memperbaharui cukai jalan yang membolehkan peminjam memperoleh wang segera tanpa penjamin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung pertama KSA1M di Wisma Cuepacs di sini, hari ini.

Omar berkata, melalui skim itu, penjawat awam misalnya boleh meminjam maksimum RM2,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga hingga enam bulan melalui potongan gaji.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, Omar menggesa semua penjawat awam menjadi anggota KSA1M untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Sehingga kini, 200 penjawat awam telah mendaftar sebagai anggota koperasi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KSA1M akan mengendalikan dua Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) iaitu di Bandar Tun Razak di sini dan Presint 16, Putrajaya selain peruntukan RM1.3 juta yang disalurkan KPDNKK untuk tujuan itu.

Omar berkata, kedua-dua kedai dan peruntukan itu akan diserahkan secara rasmi April ini.

KSA1M ditubuhkan Februari tahun lalu dan keanggotaannya terbuka kepada semua penjawat awam untuk menambah pendapatan kumpulan pekerja itu. – BERNAMA/Utusan Online
HARI POLIS: SAMBUTAN PENUH PATRIOTIK, DIIRINGI TITISAN AIR MATA
 
KUALA LUMPUR 25 Mac - Sambutan Hari Polis ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini hari ini yang dihadiri lebih 1,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tetamu mencatat kelainan apabila mereka yang hadir diselubungi perasaan sebak sehingga ada yang menitiskan air mata.

Walaupun diraikan dalam suasana penuh patriotik di peringkat awal, keadaan bertukar sayu ketika upacara pemakaian pangkat lapan wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Sabah.

Lebih memilukan apabila kesemua balu dan waris tampil mewakili kesemua wira negara itu pada upacara kenaikan pangkat tersebut.

Kesedihan turut terpancar di raut wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menyampaikan kenaikan pangkat itu kepada anak tunggal Deputi Supritendan Michael Padel yang memakai baju kemeja serta seluar hitam tanda berkabung atas kematian bapanya.

Selain balu dan waris, seorang pegawai polis wanita yang cuba menenangkan anak lelaki Allahyarham Sarjan Baharin Hamit ketika upacara itu berlangsung turut menitiskan air mata.

Semasa majlis itu, kesemua lapan pegawai dan anggota yang gugur dalam Ops Daulat mendapat kenaikan pangkat secara Medan Posthumous.

Mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas Kiram di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52; Michael, 36; Sarjan Mejar Baharin Hamid, 49; Sarjan Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48; Sarjan Salam Togiran, 42; dan Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27.

Sambutan Hari Polis dengan tema "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" itu bermula pada pukul 8.30 pagi dengan perbarisan lintas hormat yang dilakukan oleh Najib.– Utusan Online

KD: Hati siapa yang tidak tersentuh melihat balu-balu yang kesedihan ini..
PRU13: RAKYAT PERLU BIJAK PILIH KERAJAAN

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu supaya bijak menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum ini.

Menurutnya, walaupun sistem demokrasi 'menawarkan' hak untuk memilih, mereka sewajarnya mampu membuat perbandingan khususnya parti atau organisasi mana yang benar-benar bertanggungjawab serta mempertahankan Islam.

"Apakah orang yang sewenang-wenangnya mengkafirkan orang Melayu patut memerintah negara? Dahulunya, pihak ini yang berkata bahawa bekerjasama dengan orang kafir akan menjadikan kita kafir, tetapi kini mereka bukan sahaja bekerjasama, hari jadi pun sambut di rumah orang bukan Islam.

"Akan datang, kalau kita silap, kita akan dapat kerajaan yang merosakkan negara dan agama. Kalimah Allah pun boleh diguna oleh apa jua agama. Apakah kita boleh terima itu? Kerana kepentingan politik, ketepikan negara Islam dan diganti dengan negara berkebajikan. Hudud pula ditangguhkan. Ini kerana apa? Ini hanya undi dan bukannya kerana Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel sempena Forum Negara: Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu turut menampilkan dua lagi panel iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pakar wakaf korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Dr. Mahathir berkata, sebagai keutamaan, orang Melayu perlu menaruh harapan kepada pihak yang telah lama berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau, ini berbanding pihak tertentu yang sekadar mahu merebut Putrajaya dan mendirikan kerajaan semata-mata atau pihak yang hendak menjadi Perdana Menteri.

"Sebab itu kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk kembali kepada perjuangan asal iaitu demi agama, bangsa dan negara. Kita tak nampak apa mereka boleh buat untuk kita.

"Namun, terpulanglah kepada kita. Cuma, kalau kita salah mengundi, kita tidak boleh salahkan sesiapa," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau ketika bercakap mengenai perpecahan umat Melayu Islam berkata, perkara itu berpunca daripada sikap tamak selain perbezaan pendapat dalam hal-hal berkaitan tafsiran agama.

"Waktu kita miskin, biasanya kita akan rapat sesama kita. Sebab itu, masa British mencadangkan Malayan Union, kita rasa ini seperti mahu merampas negeri-negeri Melayu.

"Kita lupakan perbezaan antara kita dan bersatu sehingga British tunduk. Tetapi selepas berjaya, terhidang 'peninggalan perang' dan sesama kita mula memikirkan soal pangkat, nak jadi perdana menteri.

"Semua nak berebut. Inilah yang membuatkan kita lupa kepada perjuangan asal kita. Kita pentingkan diri sendiri. Di sini, kita menerima Islam dan fahaman Sunnah Wal Jamaah. Sepatutnya tidak ada perpecahan kerana fahaman yang sama, tetapi dengan politik, ada yang mula saling kafir-mengkafir. Kita sengaja melemahkan diri kita sendiri sehingga tidak lagi majoriti," katanya.

Sementara itu dalam sesi soal jawab, beliau menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai seorang antihadis.

"Itu tak benar. Saya kata, kita perlu berpegang kepada al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Saya tekankan kalau hadis itu bertentangan dengan al-Quran, kita perlu berpandu kepada al-Quran. Sunah kalau kita turut, dapat pahala, kalau tak turut, tak mengapa. Itu cuma sunat kepada kita sebaliknya yang wajib kita ikut datangnya daripada al-Quran.

"Ramai yang mudah terima hadis tetapi menolak al-Quran. Itu sebab ramai yang keliru dan berpecah," tambahnya. – Utusan Online
DAP TOLAK TAWARAN 10 MINIT BENTANG MANIFESTO DI RTM

GEORGE TOWN — DAP hari ini menolak tawaran 10 minit membentangkan manifesto di Radio Television Malaysia (RTM) untuk menyampaikan mesej kepada pengundi, kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

“Mereka melayan kita macam peminta sedekah, 10 minit waktu siaran tidak bermakna kebebasan media,” kata Lim dalam sidang akhbar hari ini.

Ketua menteri Pulau Pinang itu memberi respon terhadap kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim Jumaat lalu setiap parti politik diberikan masa 10 minit yang dirakamkan sebelumnya untuk membentangkan manifesto menjelang pilihan raya umum.

“Masa 10 minit ini adalah lawak, kita tidak mahu terima tawaran ini kerana kita tidak mahu beri Barisan Nasional (BN) kepuasan dan justifikasi mereka mengamalkan kebebasan bersuara,” kata Lim.

Lim melabel tawaran itu sebagai ejek-ejekan kepada kebebasan akhbar, demokrasi dan satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat.

“Kami tidak mahu 10 minit, satu jam atau dua jam, apa yang kita mahu adalah hak untuk menjawab,” katanya.

Beliau mengatakan pembangkang mahu hak untuk menjawab bukan sahaja semasa musim pilihan raya, tetapi pada semua masa dalam semua media arus perdana dan berita televisyen, hampir kesemuanya di kawal BN.

Rais berkata peluang disediakan kerana menghormati sistem demokrasi di negara ini.

Lim berkata, rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat seperti PAS mungkin tidak akan menerima tawaran tersebut.

“Saya sudah bercakap dengan Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan beliau bersetuju dengan DAP untuk tidak menerima tawaran tersebut jadi PAS juga tidak akan menerima tawaran tersebut juga,” katanya.

Lim juga akan berbincang mengenai perkara ini dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.— The Malaysian Insider

KD: Amboi..nak masa lama rupanya..

JANGKAAN DUN SELANGOR BUBAR MELESET

SHAH ALAM— Hampir 30 wartawan dari pelbagai organisasi media hari ini pulang tanpa ‘berita tergempar’ setelah tiada pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti yang diharapkan.

Bahkan Abdul Khalid tidak hadir pada sidang akhbar di Bilik Media Tingkat 20 Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini yang penuh sesak dengan wartawan yang menunggu sidang akhbar Mesyuarat Mingguan Majlis Kerajaan Negeri Selangor, biasanya diadakan pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong berkata,mesyuarat mingguan yang selalunya diadakan Rabu diadakan hari ini kerana Abdul Khalid perlu menyelesaikan beberapa perkara dengan kadar segera.

Selain Wong, dua lagi exco yang hadir pada sidang akhbar yang bermula pukul 3.30 petang ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali.

“Ini bukanlah mesyuarat exco terakhir kami. Beberapa mesyuarat lagi akan diadakan... urusan berjalan seperti biasa di Selangor, usah bimbang,” kata Wong.

Wong juga berkata mesyuarat exco juga menyentuh tarikh pembubaran DUN di seluruh negara.

Ditanya mengapa Menteri Besar tidak hadir sidang akhbar hari ini, beliau berkata pada hari ini Abdul Khalid lebih sibuk berbanding hari biasa.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata DUN Selangor akan dibubar bulan ini.

Tempoh lima tahun DUN Selangor tamat 22 April. — Bernama/The Malaysian Insider
OPS DAULAT: ESSZONE MULA BERKUAT KUASA

Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) 
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pewujudan  (ESSZONE) berkuat kuasa semalam meliputi 10 daerah sebagai asas perundangan kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan sebelum ini.

Ia membabitkan daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962.

Pengisytiharan ESSZONE diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada upacara perbarisan peringatan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Beliau berkata, ia ditadbir Jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah ditubuhkan mengikut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal Menteri Dalam Negeri dan dipengerusikan Ketua Menteri Sabah dengan dibantu seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan isytihar darurat

Katanya, jawatankuasa yang beribu pejabat di Lahad Datu akan bertanggungjawab kepada satu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan beliau selaku ketua kerajaan.

Katanya, penubuhan ESSZONE bertujuan memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah, mengukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam serta kesejahteraan di timur negeri itu.

“Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini, kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan timur Sabah, seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan.

“Ia bukan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat di kawasan timur Sabah jangan gusar dan takut keluar mengundi serta menggunakan hak mereka mengikut Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peraturan diwujudkan di bawah ordinan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada polis kerana kuasa sedia ada sudah memadai menangani situasi berkenaan.

Kesejahteraan hidup

Di samping itu, sesiapa yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah menerusi proses perundangan. Namun, pengisytiharan itu tidak jejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya peningkatan kawalan keselamatan bertujuan memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes membabitkan pengganas di Sabah ketika ini ialah akta membabitkan prosedur semata-mata.

“Ia tidak digubal sebagai akta memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi setiap tangkapan di bawah SOSMA, pertuduhan dibuat menggunakan undang-undang biasa dan dibicara di mahkamah seperti kes jenayah lain,” katanya.

ESSCOMM diwujudkan berikutan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 12 Februari lalu. Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu, berjaya membunuh 67 pengganas setakat ini. - BHarian