Thursday, January 3, 2013

CALON PRU13 PERLU BERSIH

Mohd Puad ZarkashiSEREMBAN – Calon-calon parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) perlu mempunyai kriteria yang baik bagi mengelak sebarang masalah pada kemudian hari.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, calon-calon yang bertanding mestilah terdiri daripada calon yang berintegriti, bebas rasuah, tidak bankrap dan juga tiada kes jenayah.

Katanya, selain itu, calon juga perlu mempunyai kesihatan baik serta tidak mempunyai masalah mental dan mempunyai rekod psikiatrik.

“Saya setuju dengan semua kriteria tersebut supaya kita tidak membazir masa. Kita tidak mahu apabila menang PRU kelak, rupa-rupanya ada masalah terhadap calon dan perlu melakukan pilihan raya kecil," kata Ahli Parlimen Batu Pahat ini.

“Keadaan ini akan menyusahkan semua pihak apabila wakil rakyat tidak jujur sedangkan seorang wakil rakyat mestilah seorang yang bersih,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Kolej Tunku Kurshiah sempena pembukaan baru sekolah berkenaan di Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek, di sini, semalam.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, kriteria tersebut perlu dilaksanakan secara menyeluruh malah kepada semua parti termasuk parti pembangkang.– SinarHarian

KD: Setuju…
AMANAT HADI DI TV: REAKSI PEMIMPIN/TOKOH AGAMA

Dr Asri sedia jadi panel forum Amanat Haji Hadi

SHAH ALAM – “Saya bersedia untuk menjadi salah seorang panel membincangkan isu berbangkit ini dalam program siaran langsung di televisyen, walaupun tidak bersetuju dengan Amanat Haji Hadi,” kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, selain Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kriteria panelis harus dipilih berdasarkan tiga kategori iaitu, wakil pihak pembangkang, pengkritik (kerajaan atau Barisan Nasional) dan seimbang (golongan akademik).

Menurutnya, kesan dari amanat tersebut telah memberikan impak besar kepada rakyat, tetapi ia dikeluarkan 30 tahun lalu dalam situasi tersendiri.

“Ketika itu, amanat tersebut lebih menjurus kepada keadaan semasa yang membawa maksud jelas mengenai mengkafirkan Umno. Tetapi, zaman telah berubah, Pas tidak lagi terikut dengan amanat tersebut malah telah bercampur gaul dengan pelbagai pemikiran matang.”

Katanya, amanat tersebut pada dasarnya telah ditarik secara tidak langsung, tanpa menguar-uarkan kepada umum dan persepsi Pas dilihat semakin luas, selari dengan perubahan zaman.

Katanya, amanat tersebut menjadi kontroversi setelah dimanipulasi dan dipolitikkan oleh pihak tertentu, menyebabkan ia menjadi topik perbualan hangat.

“Saya bersetuju untuk turut serta berdiskusi dan memberi pandangan balas mengenai perkara ini,” katanya. -SinarHarian

Pertimbang penglibatan

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, beliau akan menimbang sama ada terlibat dalam program melibatkan ahli politik.

“Tengok keadaan. Saya mungkin akan mempertimbangkannya jemputan tersebut.

“Jika ia berkaitan dengan politik, maaf saya tidak mahu campur. Tetapi, untuk memberi pandangan dalam bidang akademik saya mungkin menyertainya,” katanya. - SinarHarian

BN mahu wakil kerajaan turut serta

SHAH ALAM –Barisan Nasional (BN) mencadangkan agar wakil kerajaan terdiri daripada ahli politik turut serta dalam program satu jam, penjelasan isu Amanat Haji Hadi, melalui siaran langsung nanti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, cadangan tersebut dikemukakan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak 'menghentam' kerajaan dan BN secara terbuka.

Beliau khuatir Abdul Hadi menggunakan peluang yang diberikan sebagai platform untuk memburuk-burukkan pihak lawan dan memutarbelitkan fakta.

“Bagaimanapun, kesediaan RTM dan TV3 memberi peluang tersebut kepada Hadi adalah bukti bahawa kerajaan bersikap terbuka terhadap pembangkang. Namun, saya risau jika peluang ini disalah gunakan oleh Hadi atas kepentingan politik dan parti, bukan untuk menjelaskan atau menarik balik amanat tersebut.”

Menurut Tajuddin, jalan terbaik untuk mengatasi masalah itu ialah dengan penyertaan ahli politik BN, yang mempunyai kepakaran dalam hukum-hakam agama supaya lebih adil.

Beliau berkata, dengan adanya wakil kerajaan, panel tersebut dapat memberi teguran, nasihat atau penjelasan mengenai amanat itu.

“Tokoh agama, ulama atau mufti tidak arif mengenai politik dan jika Hadi tersasar dari topik asal dengan tujuan politik, mereka pasti gagal untuk mengawal situasi ini. Bagi mengelakkan ia berlaku, kami berharap cadangan ini dapat diterima semua pihak,” katanya. -SinarHarian

Tak perlu forum TV - Mufti

pix_gal0Kuala Lumpur: Dua mufti tidak setuju dengan cadangan forum yang bertujuan memberi peluang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperjelaskan amanat mengkafirkan UMNO kerana bimbang ia menjadi wadah memenuhi kepentingan peribadi dan politik kepartian pihak tertentu.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin berpendapat forum itu tidak wajar diadakan kerana ia berpotensi menimbulkan polemik berterusan, manakala Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria secara tegas tidak mahu terbabit dengan agenda politik Hadi dan tidak akan hadir walaupun dijemput.

Mohd Tahrir berkata, selain boleh menimbulkan polemik berpanjangan, kesan forum itu akan menjejaskan imej agama dan umat Islam.

“Justeru, lebih elok jika forum itu tidak diadakan,” katanya.

Ditanya sama ada akan menghadirinya, beliau berkata ia bergantung kepada perbincangan dengan mufti negeri lain terlebih dahulu.

 “Benda sudah salah tidak perlu ada forum. Saya cuma nak nasihatkan beliau bertaubat dan menarik balik amanat itu. Tak ada faedah pun forum itu diadakan. Saya tidak akan hadir... buat apa hendak menegakkan benang basah. Saya bukan mencari siapa salah, siapa betul. Saya kata perbuatan itu salah, habis cerita... kalau dia kata tak salah, dia punya pasal,” katanya.

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad pula mahu ia diadakan secara tertutup kerana penganjuran forum terbuka atau secara langsung menerusi televisyen boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi agama dan memburukkan lagi keadaan.

“Saya khuatir adakah kebenaran atau populariti yang hendak dicari? Jika kebenaran yang dicari, tidak bolehkah forum itu diadakan secara tertutup?

“Jika perbincangan membabitkan dua kumpulan dalam kalangan tokoh agama yang diadakan secara terbuka, sesiapa saja yang menang atau kalah akan memberi kesan kepada imej institusi agama. Jangan kita terperangkap dengan agenda politik pihak berkepentingan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan hadir, Mohammad Shukri berkata, ia tertakluk kepada kebenaran istana, Setiausaha Kerajaan Negeri dan ketetapan yang dicapai dalam forum antara mufti.

“Sebelum menyatakan komitmen, mufti perlu memandang jauh dan melihat daripada pelbagai aspek, berbeza dengan orang politik.

“Katakanlah mufti dijemput, mungkin kita akan berbincang dulu sesama mufti mengenai kewajaran untuk hadir. Keputusan itu berdasarkan apa kebaikan jika hadir dan apa persiapan perlu dilakukan termasuk merujuk pada kitab kerana ia tidak boleh diputuskan begitu saja,” katanya.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman pula membayangkan tidak akan hadir forum berkenaan.

“Kita dahulukan Mufti Perak dan Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Wan Zahidi Wan Teh). Mereka ada bukti dan lebih awal mengemukakan isu berkenaan, mereka yang patut hadir,” katanya tetapi enggan mengulas panjang.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya bersedia untuk hadir dan bersetuju jika ia disiarkan secara langsung.

“Saya amat bersetuju kalau siaran secara langsung dan telus. Amat besar harapan umat Islam supaya isu ini dileraikan dan semua pihak perlu jujur untuk Islam,” katanya.

Beliau turut mencadangkan beberapa nama selaku moderator bebas yang arif dalam sejarah dan perkembangan gerakan Islam seperti Prof Datuk Dr Agus Yusof dan Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.
 
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad pula berkata, beliau akan meneliti perkara itu lebih mendalam sebelum membuat keputusan.

“Sekarang saya belum boleh buat apa-apa keputusan lagi, mungkin selepas saya teliti dulu isunya,” katanya. -BHarian
REBAT RM200: TIADA HAD HARGA BELI TELEFON PINTAR

KUALA LUMPUR -  Jemaah Menteri telah bersetuju agar belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar dengan rebat RM200 yang diumumkan kerajaan.
  
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan di sini, berkata perkara itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian tersebut hari ini.
  
Pemberian rebat RM200 itu dilaksanakan di bawah Pakej Komunikasi Belia (PKB) selaras dengan ucapan Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lepas.
  
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan skim tersebut ialah atas prinsip 'siapa cepat dia dapat'.
  
Tujuh syarikat telekomunikasi yang melaksanakan skim PKB di bawah koordinasi SKMM adalah Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications.
  
SKMM memperjelaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan PKB sama ada penjual atau peruncit dikenakan syarat harga patut.
  
Dalam kenyataan terdahulu, SKMM memaklumkan hampir 5,500 belia yang layak telah mendaftar untuk mendapatkan rebat itu selepas pendaftarannya dibuka semalam.
  
SKMM turut menasihati para belia yang telah berdaftar untuk membuat pilihan dengan bijak serta meninjau pasaran terlebih dahulu sebelum membeli peranti pilihan berdasarkan tahap kemampuan masing-masing.
  
Pendaftaran di bawah PKB boleh dilakukan secara online dari pukul 7 pagi hingga 11 malam di laman sesawang komunikasibelia.skmm.gov.my.
 
Orang ramai boleh menghubungi hotline SKMM di 1800-88-4040 dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum jika terdapat sebarang pertanyaan.  – Bernama/SinarHarian

KD: Sangat relevan…