Friday, July 20, 2012

'KERAJAAN ISLAM TAK BOLEH JATUH, KEBANGSAAN BOLEH' - NIK AZIZ

Nik Aziz mahu muzakarah dengan UmnoMursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan yang mengamalkan dasar kebangsaan boleh ditumbangkan setelah diberikan peluang dan nasihat oleh rakyat.

Sehubungan dengan itu, Menteri Besar Kelantan itu menyokong kenyataan yang dibuat oleh Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Syeikh Dr Sulaiman, yang menegaskan adalah haram untuk menjatuhkan kerajaan Islam.

“Apa yang dikatakan Syeikh itu betul, Kerajaan Islam tak boleh jatuh, tetapi kerajaan kebangsaan boleh jatuh,” katanya selepas majlis sambutan Ihya Ramadan peringkat negeri, di sini semalam.


KD: Seperti biasa Mursyidul Am Pas ini akan mengeluarkan kenyataan panas dan kontroversi. Bukanlah mempertikaikan perkara itu tetapi KD berharap TGNA bercakap perkara itu ikhlas kerana agama dan bukan demi politik semata-mata.

SEKITAR DEBAT SINAR HARIAN: ANAK MUDA TALI HAYAT PARTI POLITIK PRU-13

SHAH ALAM – "Anak muda adalah tali hayat terakhir kepada parti-parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)."

Demikian kesimpulan Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar sebagai penutup tirai debat bertajuk PRU13: Orang Muda Pilih Siapa? anjuran Sinar Harian, petang tadi.

Bertindak sebagai moderator, Mohamad Abu Bakar, kedua pendebat berjaya memberikan jawapan daripada dua bentuk hujahan mereka yang disifatkan amat baik untuk menyuburkan hala tuju politik baru yang lebih matang dan bertamadun kepada generasi akan datang.

"Saya melihat kedua tokoh ini memberikan dua jawapan hujahan yang mana dari satu seginya menjawab persoalan yang diutarakan dan sebahagian lainnya, telah memenuhi cita rasa pendengar," katanya.

Menurutnya, sifat kepimpinan yang muncul dari pendebat ini telah menunjukkan pemimpin muda dapat mempengaruhi dan mematangkan cara anak muda berfikir dalam politik.

"Ia sekali gus membolehkan generasi muda hari ini untuk memilih pimpinan politik yang mampu memacu masa depan negara," katanya.

Menurutnya, tugas beliau sebagai moderator lebih mudah kerana kedua-dua tokoh memberikan hujah yang bernas dan selari dengan soalan yang diberikan.

Beliau berkata, program seumpama ini perlu diteruskan untuk menyuburkan politik matang untuk kebaikan semua.
SEKITAR DEBAT SINAR HARIAN - "PRU13: ORANG MUDA PILIH SIAPA?

SHAH ALAM - Orang muda mengharapkan pemimpin yang bersih, tidak menimbulkan propaganda, dan berasaskan ilmu bukannya auta - ini jawapan kepada Debat Sinar Harian yang mengupas tajuk "PRU13: Orang Muda Pilih Siapa?", semalam.

Kedua-dua pendebat, Ketua Pemuda Pas Nasrudin Hassan Tantawi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya bersetuju bahawa generasi muda mahukan perubahan dalam landskap politik pada masa kini.

Mereka juga bersetuju bahawa orang muda tidak mahu pemimpin yang suka mencetuskan huru-hara dan menyebarkan persepsi, sebaliknya mahu dunia politik yang  telus dan adil seperti disyariatkan Islam.

Fathul Bari berkata, sebagai permulaan terhadap usaha mengubah struktur politik di negara ini, golongan muda perlu bijak menganalisis fakta yang mereka perolehi.

"Mereka perlu memilih pemimpin yang mampu mengangkat kedudukan agama Islam dan bukannya pemimpin yang berpolitik menggunakan persepsi," katanya.

Nasrudin pula menegaskan, orang muda yang mahukan perubahan perlu memilih pemimpin mampu memberi perubahan tersebut di negara ini.

"Saya pasti orang muda kini jemu dengan politik perkauman, berat sebelah dan tidak boleh bersuara," katanya.

Generasi muda dijangka penentu hala kemenangan parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berdasarkan jumlah pengundi muda yang meliputi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini.

Justeru, Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar yang juga moderator debat siri ketiga ini berpendapat, PRU13 akan menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara ini.

Dalam pada itu, ketika ditemui selepas debat, Fathul Bari Mat Jahaya menegaskan, pengetahuan mendalam mengenai agama semata-mata tidak mencukupi untuk menjadikan seseorang itu pemimpin yang berwibawa.

Menurutnya, apa yang perlu menjadi keutamaan sebelum memilih pemimpin adalah sifat ketokohan yang lengkap, iaitu mempunyai asas agama yang kukuh, ilmu pengetahuan yang tinggi dan minda yang cerdas

“Apa yang penting adalah pemimpin itu amanah dan mempunyai pengetahuan asas dalam pengurusan negara termasuk agama, ekonomi, dan tadbir urus. Kalau seseorang itu kuat agama tetapi tidak boleh mengurus negara dengan baik, dia juga tidak patut diangkat sebagai pemimpin,” katanya.

Pendapat beliau itu turut dikongsi Nasrudin yang bersetuju seseorang pemimpin itu perlu mempunyai kemampuan dari segi pengetahuan dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

Kata Nasrudin, bagi calon bukan Islam pula, ciri-ciri pemimpin yang perlu dipilih adalah mempunyai moral yang baik dan jati diri yang tinggi serta kecekapan memimpin.

Sementara itu, ditanya mengenai peranan pemimpin yang perlu menunjukkan contoh baik dalam usaha mewujudkan masyarakat yang baik, Fathul Bari berkata, rakyat juga memainkan peranan dalam membentuk negara yang baik, dengan memberi contoh zaman Khalifah Ali bin Abi Talib.

“Semasa zaman Ali, banyak berlaku masalah dalam masyarakat, tidak seperti zaman khalifah sebelumnya. Apabila ditanya kepada Ali, dia berkata: ‘Semasa zaman khalifah sebelum ini, aku adalah rakyat. Pada zaman aku, kamu adalah rakyat’.

“Ini menunjukkan kadang-kala rakyat juga boleh memberi kesan tidak baik kepada pemimpin, jadi kita perlu bersama muhasabah diri mengenai sikap masing-masing,” katanya.
JI, BEKAS KOMUNIS DALAM POLITIK MALAYSIA?
Terkejut dengan laporan akhbar Sinar Harian hari ini, KD memuat naik kenyataan dari pihak polis. Mengambil reaksi pembaca akhbar, kebanyakan mereka mahu pihak polis mengemukakan bukti sahih berhubung perkara ini.

KD agak setuju dengan pendapat pembaca dan berharap pihak polis segera bertindak kerana ia bukan perkara main-main sebaliknya ia adalah soal keselamatan negara.

Berikut kenyataan dari polis:


JI, BEKAS KOMUNIS MAHU TANDING PRU GUNA PEMBANGKANG


Risikan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

"Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.

"Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, tindakan gerakan itu sebenarnya bertujuan untuk melahirkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang sentiasa bersikap bermusuhan terhadap kerajaan sekaligus bermatlamat mewujudkan suasana kucar-kacir sehingga melemahkan sesiapa sahaja yang memerintah negara.

"Dalam hal ini, kita bimbang tindakan parti pembangkang dan NGO memainkan isu kontroversi yang membakar sentimen rakyat agar membenci kerajaan menjelang pilihan raya.

"Ataupun (ia) meningkatkan aktiviti demonstrasi dan juga insiden yang boleh mengalihkan tumpuan pihak polis... gerakan massa mengheret rakyat turun ke jalanan melakukan demonstrasi akan terus menjadi trend di negara kita," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan Bersih, Oren dan Hijau, yang dianjurkan pihak yang disokong pembangkang, baru-baru ini merupakan rancangan yang diatur khas sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Tambahan pula budaya kempen sepanjang tahun yang diamalkan di negara ini menyebabkan fikiran rakyat terus terdedah dengan pelbagai maklumat yang mempunyai nilai politik," kata beliau dipetik Bernama.


Ini pula kenyataan balas dari pihak pembangkang yang dimuat naik sejurus kenyataan pihak polis keluar di akhbar. 



JI-KOMUNIS: PR CABAR PDRM TUNJUK BUKTI

SHAH ALAM - Komponen Pakatan Rakyat (PR) mencabar polis menunjukkan bukti jika benar parti-parti politik pembangkang diresapi pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis, yang cuba menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bimbang kenyataan yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam "bertujuan jahat" ke atas pembangkang menjelang PRU13.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin sokongan kepada PR khususnya Pas, yang dinamakan secara langsung dalam kenyataan semalam, tidak akan terjejas.

"Saya minta tunjuk bukti kalau benar dalam Pas ada orang seperti ini seperti yang didakawa oleh Datuk Mohd Sofian (Md Makinuddin). Kami bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan ketika menjelang pilihan raya untuk mengelirukan rakyat... kenyataan yang berniat jahat," kata beliau ketika dihubungi.

Salahuddin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan seumpama itu sebab pihak berkuasa pernah menggunakan cara yang sama pada masa-masa lalu.

"Polis pernah membuat kenyataan seperti ini, mengaitkan Pas dengan kumpulan Al-Maunah, saya melihat tujuan berniat jahat ini berulang ketika dekat dengan PRU. Pas, yang sudah terlibat dalam politik lebih 50 tahun, memilih untuk menggunakan jalan demokrasi, menerusi pilihan raya untuk menang pilihan raya," katanya sambil menambah, PDRM tidak harus membuat kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, kata Salahuddin, pihaknya akan membincangkan tindakan ke atas pegawai polis berkenaan.

"Kami akan membincangkan tindakan yang hendak diambil dalam waktu terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad juga mencabar PDRM mengeluarkan bukti jika benar wujud elemen-elemen sedemikian.

Sambil menegaskan pihaknya tidak terkejut dengan laporan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor ini berkata, "kenyataan-kenyataan seperti ini, yang dibuat oleh polis, bukan perkara baru."

"Saya pun boleh buat kenyataan seperti ini. Buktikan siapa mereka, namakan individu terbabit, kita pun hendak tahu.

"Saya mencabar beliau bertanding pilihan raya jika berminat untuk bercakap mengenai politik," kata beliau yang yakin bahawa sedar dan tahu tentang keadaan sebenar, dan sokongan mereka tidak akan terjejas.

"Ini taktik Barisan Nasional menggunakan polis untuk membuat kenyaatan-kenyataan seperti ini menjelang PRU. Rakyat tahu," katanya lagi.


KD: Keliru dan hairan pula pelbagai tuduhan dan penafian. Apakah tuduhan sebelum ini palsu semata-mata? Atau 'ada musuh dalam selimut' di negara ini? tidak sayangkah mereka pada negara? Persoalan terus berlegar...