Thursday, June 13, 2013

DAP PULAU PINANG EKSPLOITASI MELAYU, INDIA?
PULAU PINANG - Kerajaan DAP Pulau Pinang melalui akhbar terbitannya, Buletin Mutiara didakwa cuba menggambarkan mereka sebagai kerajaan prihatin terhadap semua kaum dengan mengeksploitasi warga emas kaum Melayu dan India yang menerima bantuan tahunan RM100.
 
Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah berkata, penyiaran gambar yang menunjukkan warga emas kaum berkenaan yang kelihatan sangat gembira kerana menerima bantuan berkenaan hanyalah sandiwara semata-mata.

"Saya melihat Ketua Menteri, Lim Guan Eng melalui akhbar Buletin Mutiara cuma memberikan gambaran kononnya DAP menjaga kebajikan orang Melayu dan India sedangkan hakikat sebenar bukan begitu.

"Jika dihitung, dengan wang sebanyak RM100 setahun, berapa sen yang dapat digunakan sehari oleh warga emas untuk menampung perbelanjaan mereka?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas muka depan terbitan terbaharu Buletin Mutiara yang menyiarkan laporan tentang keputusan kerajaan negeri meneruskan pemberian bantuan berkenaan sambil memaparkan gambar warga emas kaum Melayu dan India memegang duit RM100 dalam keadaan sangat gembira.

Menurut Aminah, beliau percaya tindakan berkenaan dilakukan semata-mata untuk kepentingan politik, lebih-lebih lagi syarat mendapatkan bantuan berkenaan juga menyusahkan apabila warga emas terpaksa mendaftar terlebih dahulu.

"Saya juga kasihan melihat warga emas berkenaan dipergunakan. Bagi RM100 setahun tetapi mereka canangkan dengan gahnya.

"Sekiranya benar-benar ikhlas, semua itu tidak perlu. Bagi bantuan kematian pula, hanya diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mesti mendaftar terlebih dahulu," katanya.

Jelas Aminah, dalam konteks memberikan bantuan, kerajaan Pusat secara konsisten telah melakukannya sejak dahulu lagi menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Jumlah yang diberi JKM lebih banyak dan secara bulanan, malah tidak memilih bulu apabila semua kaum akan menerimanya sekiranya mereka memerlukan. Bahkan, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk menyalurkan bantuan ini kepada rakyat.

"Kalau hendak dikira bantuan, kerajaan Pusat telah melakukan yang terbaik bermula daripada bayi berada dalam perut ibu lagi tetapi tidak dicanang seperti mana kerajaan DAP Pulau Pinang buat.

"Mereka sangat bermegah-megah dengan bantuan kecil sedangkan masalah asas rakyat negeri ini seperti harga rumah yang melambung tinggi masih tidak diselesaikan," katanya.

Secara sinis, Aminah bertanya adakah hanya itu kemampuan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menjaga kebajikan rakyat selepas memasuki tahun keenam diberi mandat mentadbir negeri ini? –Utusan Online
BOIKOT PARLIMEN: PR KHIANAT TERHADAP RAKYAT

LABIS - Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir mengangkat sumpah dalam sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun ini dianggap melakukan pengkhianatan kepada rakyat yang memilih mereka.
 
Selain itu menurut Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, ia juga menggambarkan sikap tidak matang dan mementingkan diri sendiri oleh Ahli Parlimen terlibat.

"Tindakan itu hanya merugikan negara dan rakyat serta tidak seharusnya terjadi, sebaliknya pihak pembangkang perlu bersikap terbuka menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dan memberi tumpuan kepada amanah yang diberikan," katanya.

Beliau berkata, jika benar Ahli Parlimen daripada pembangkang tidak mahu mengangkat sumpah mereka tidak layak menggunakan kemudahan yang diberikan termasuk menerima elaun.

Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis, turut menyifatkan perbuatan untuk memboikot majlis angkat sumpah tersebut sebagai satu penghinaan kepada institusi Parlimen dan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Beliau berpendapat, jika tidak dibendung perbuatan menghina Parlimen seperti itu boleh mengikis kepercayaan serta keyakinan rakyat kepada institusi Parlimen.

Menurut Tee Yong, sikap tidak matang yang ditunjukkan oleh pembangkang dengan mempersoalkan keputusan yang dibuat rakyat pada PRU-13 lalu akan memberi imej tidak baik kepada dunia politik negara.

''Ia secara tidak langsung akan memberi kesan besar serta menjejaskan keyakinan pihak luar yang berhasrat melabur ke negara ini, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

"Jika betul mahu mempertikaikan keputusan tersebut, mereka harus menolak keputusan pilihan raya di semua peringkat bukannya di kawasan yang mereka gagal untuk menang dengan selesa sahaja,'' tegasnya. –Utusan Online
PERATURAN KAWAL KENDIRI MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang mewujudkan peraturan kawalan kendiri bagi memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat yang disampaikan.

Menurut Perdana Menteri, cadangan itu bertujuan mengelak wujudnya kumpulan penulis yang tidak diketahui atau 'anonymous' dalam kalangan pengamal-pengamal media sosial di negara ini.

Serentak itu, beliau turut menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik blog, portal serta media sosial yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih dan berbentuk fitnah.

"Walau apa pun kita akan memastikan cadangan ini tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia bahawa tiada tapisan terhadap internet," katanya.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, cadangan itu tidak bermakna kerajaan akan mengambil tindakan melesenkan portal berita sebagaimana yang dilakukan negara jiran.

Sebaliknya, kata beliau, langkah itu bertujuan memelihara keharmonian nasional dan kerajaan juga akan terus menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk mengekang usaha pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen ras, agama dan bahasa.

"Ini termasuk tindakan memperkecil institusi raja berperlembagaan mahupun 'subvert' sistem demokrasi berparlimen yang akan dikenakan tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, pengamal media arus perdana terikat dengan kod etika yang begitu tinggi dalam menyampai berita dan maklumat kepada orang ramai.

Najib turut berkongsi apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai wartawan menyebarkan pembohongan, fitnah, hasutan dan kebencian menerusi media sosial.

"Sesungguhnya tindakan itu tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berterusan akan mendatangkan kesan buruk pada masa depan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dipilih sebagai penerima Hadiah Kajai 2012 melalui laporannya yang bertajuk 'Graduan Palsu'. –Utusan Online
BOIKOT ANGKAT SUMPAH PARLIMEN: TELATAH PEMBANGKANG MENGADA-NGADA  

Bosan dan mengada-ngada…
Mungkin itulah istilah yang paling tepat untuk menggambarkan sikap pakatan pembangkang yang terus mahu berpolitik apabila berhasrat memulau majlis angkat sumpah anggota Parlimen pada 24 Jun ini.

Kelmarin, hanya seorang sahaja ahli Parlimen pembangkang yang hadir ke taklimat khas yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Tanpa mempedulikan kepentingan majlis berkenaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS membuat keputusan “memboikotnya”.

Persoalannya, jika benar pakatan pembangkang berpegang kepada dakyah songsang mereka bahawa berlaku penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, kenapakah kerajaan PKR di Selangor, Kerajaan DAP di Pulau Pinang dan Kerajaan PASs di Kelantan mengangkat sumpah? Apa bezanya perjalanan proses pilihan raya di ketiga-tiga negeri berkenaan berbanding negeri-negeri lain termasuk di kerusi-kerusi Parlimen?

Apakah yang mengendalikan pilihan raya itu adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berlainan? Sudah pasti tidak!

Jelaslah apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang dalam soal pengundian bagi kerusi Parlimen bermotif politik semata-mata. Mereka tidak dapat menerima hakikat impian mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu gagal apabila hanya memperolehi 89 kerusi sahaja berbanding BN 133 kerusi.

Adalah sesuatu yang malang, apabila pembangkang masih belum mahu berhenti daripada berpolitik. Mereka tidak berusaha untuk menjadi pembangkang yang baik dan bertindak sebagai ejen check and balance kepada kerajaan, sebaliknya mahu merebut kuasa semata-mata.

Bagi pembangkang, kekalahan mereka di dalam pilihan raya bukan kerana keputusan yang dibuat oleh rakyat tetapi kononnya penipuan oleh BN, tetapi apa yang anehnya, mereka juga yang “terhegeh-hegeh” paling awal menubuhkan kerajaan di negeri-negeri yang mereka menangi.

Biar pun apa juga hujah yang hendak dikeluarkan oleh pembangkang apa yang pasti sudah terbukti kini mereka cuba terus memancing emosi rakyat untuk bangkit menentang kerajaan. Mereka menolak sama sekali sebarang seruan agar mereka bermuhasabah kenapakah mereka masih gagal menumbangkan kerajaan BN.

Apa yang pembangkang tahu ialah kekalahan mereka di peringkat Parlimen kononnya disebabkan oleh penipuan BN. Kalau betullah BN hendak melakukan penipuan sudah pasti parti itu tidak akan membiarkan pembangkang kekal menguasai Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan serta memastikan BN terus gagal memerintah negara dengan majoriti dua pertiga.

Justeru dakwaan pembangkang dalam soal penipuan ini hanyalah fitnah dan tohmahan semata-mata. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa kerjasama carca marba mereka tidak memungkinkan rakyat menggadaikan masa depan negara kepada puak seumpama itu.

Sebab itulah kita menyaksikan bagaimana mereka tidak henti-henti mahu mengadakan perhimpunan haram termasuklah pada 22 Jun ini di Kuala Lumpur, biar pun tidak mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berbuat demikian di Padang Merbok.

Pembangkang tahu mengikut Akta Perhimpunan Aman, kelulusan DBKL adalah diperlukan tetapi mereka tetap mahu meneruskan hasrat mereka. Alasan kononnya perhimpunan itu adalah satu perhimpunan aman adalah alasan semata-mata.

Mereka akan sengaja melanggar undang-undang supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas. Apabila berlaku pancutan air dan tembakan gas pemedih mata, maka tercapai impian mereka untuk merosakkan imej negara di mata dunia.

Kalau betullah pembangkang begitu yakin mereka ditipu, maka kemukakan petisyen di mahkamah, biar mahkamah tentukan, kenapa perlu menyeret rakyat terutamanya penyokong tegar mereka ke jalanan? Kalau yakin sangat ada bukti-bukti kukuh yang akan menyokong petisyen mereka maka serah sahaja kepada mahkamah.

Tetapi masalahnya, pembangkang tidak ada bukti kukuh, mereka hanya bijak menabur fitnah, melemparkan tuduhan dan mencipta tohmahan bagi memburuk-burukkan kerajaan BN namun tidak berani berhadapan dengan fakta sebenar.

Hakikatnya, penulis agak teruja untuk mengetahui sejauh manakah 'keberanian' pembangkang untuk memulau majlis angkat sumpah pada 24 Jun ini. Ia memandangkan di dalam pembangkang sendiri berbelah bahagi.

Difahamkan yang beria-ia benar hendak memulaukan majlis tersebut ialah PKR — sebuah parti yang pemimpin-pemimpinnya benar-benar kecewa kerana Penasihat parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal ditabalkan menjadi Perdana Menteri.

Biar pun hanya mempunyai 28 kerusi di Parlimen namun PKR kini seolah-olah menjadi “taiko” dalam pakatan pembangkang apabila cuba mempengaruhi DAP dan PAS supaya turut sama tidak mengangkat sumpah Ahli Parlimen.

Namun begitu kita jangan terkejut jika selepas ini PKR membuat keputusan untuk menghadiri majlis angkat sumpah tersebut.

Jika mereka berbuat demikian, macam-macam alasan yang akan mereka berikan, maklumlah pembangkang sememangnya dikenali sebagai puak yang bijak mencipta isu, pandai mencari alasan dan terkenal berhujah.

Dan dalam masa yang sama, kita perlu bersedia untuk melihat bagaimana Dewan Rakyat sekali lagi mungkin akan dicemari dengan telatah-telatah memualkan dan mengada-ngada terutamanya oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang yang kali pertama menduduki jawatan itu.

Kita tidak perlu terkejut kalau itu berlaku kerana mereka tidak menghadiri majlis taklimat yang bertujuan membolehkan Ahli Parlimen mengetahui maklumat terkini mengenai peraturan serta garis panduan baharu berhubung hal ehwal berkaitan perjalanan Parlimen.

Apa pun buat masa ini, marilah kita terus menyaksikan “sarkas politik” yang terus dimainkan oleh pakatan pembangkang yang ternyata semakin “meroyan” kerana gagal menawan Putrajaya dan pemimpin mereka gagal menjadi Perdana Menteri.

Kita percaya majoriti rakyat berpendapat masa untuk berpolitik sudah tamat, sekarang adalah masa bersama-sama membangunkan negara. Kalau pembangkang mahu berpolitik tunggulah lima tahun lagi apabila Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.

Tetapi kita yakin pakatan pembangkang yang ada di negara ini “tidaklah sematang” itu. Mereka hanya mahu berpolitik sepanjang masa dengan matlamat untuk berebut kuasa.

Kalau benar mereka matang berpolitik sudah tentulah mereka akan menerima keputusan PRU13 dengan hati terbuka dan bukannya membuat tohmahan yang bukan-bukan apabila kalah tetapi dalam masa yang sama bersedia memegang kuasa di kawasan yang mereka kalah dalam satu pilihan raya yang sama.

Inilah kualiti pembangkang yang ada di negara kita, kehadiran mereka dilihat lebih banyak bermatlamat memburu kuasa dan bukannya bersedia menyumbang membangunkan negara selepas pilihan raya.

Namun terserahlah kepada pembangkang untuk terus berpolitik kerana berdasarkan apa yang kita saksikan, rakyat negara ini sudah tidak mahu lagi melayan “kegilaan mereka”. — Zulkiflee Bakar (utusan.com.my)
PKR BUAT PUSINGAN U, TIDAK BOIKOT PARLIMEN

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya membuat pusingan 'U' terhadap cadangan penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pembangkang memboikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 24 Jun ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebaliknya menegaskan bahawa wakil rakyat parti itu tetap akan menghadiri upacara tersebut.

"Saya ingin menjelaskan bahawa PKR tidak pernah memutuskan untuk memboikot majlis angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

"Semua Ahli Parlimen PKR akan menghadiri majlis angkat sumpah itu nanti. Selepas itu kami akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan bersungguh-sungguh," katanya menerusi satu kenyataan lewat malam Rabu.

Sebelum itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin turut dilaporkan berkata tidak bersetuju dengan cadangan memboikot upacara angkat sumpah tersebut.

Tegas Zuraida, semua wakil rakyat PKR perlu menghadiri majlis berkenaan bagi melayakkan mereka turut serta dalam sesi persidangan Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-13.

Pada 7 Jun lepas, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mempertimbangkan untuk memulaukan sesi pembukaan ke-13 Parlimen dengan tidak menghantar soalan untuk perbahasan.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sätu laporan menegaskan tidak akan memulaukan upacara angkat sumpah walaupun parti itu tidak puas hati dengan sistem pilihan raya dan akan memfailkan petisyen pilihan raya.

Tiga hari kemudian, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu membuat pendirian yang sama dengan DAP dan Ahli Parlimen Pas akan menghadiri sidang Parlimen seperti biasa. -mStar