Thursday, June 13, 2013

BOIKOT PARLIMEN: PR KHIANAT TERHADAP RAKYAT

LABIS - Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir mengangkat sumpah dalam sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun ini dianggap melakukan pengkhianatan kepada rakyat yang memilih mereka.
 
Selain itu menurut Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, ia juga menggambarkan sikap tidak matang dan mementingkan diri sendiri oleh Ahli Parlimen terlibat.

"Tindakan itu hanya merugikan negara dan rakyat serta tidak seharusnya terjadi, sebaliknya pihak pembangkang perlu bersikap terbuka menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat dan memberi tumpuan kepada amanah yang diberikan," katanya.

Beliau berkata, jika benar Ahli Parlimen daripada pembangkang tidak mahu mengangkat sumpah mereka tidak layak menggunakan kemudahan yang diberikan termasuk menerima elaun.

Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis, turut menyifatkan perbuatan untuk memboikot majlis angkat sumpah tersebut sebagai satu penghinaan kepada institusi Parlimen dan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Beliau berpendapat, jika tidak dibendung perbuatan menghina Parlimen seperti itu boleh mengikis kepercayaan serta keyakinan rakyat kepada institusi Parlimen.

Menurut Tee Yong, sikap tidak matang yang ditunjukkan oleh pembangkang dengan mempersoalkan keputusan yang dibuat rakyat pada PRU-13 lalu akan memberi imej tidak baik kepada dunia politik negara.

''Ia secara tidak langsung akan memberi kesan besar serta menjejaskan keyakinan pihak luar yang berhasrat melabur ke negara ini, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

"Jika betul mahu mempertikaikan keputusan tersebut, mereka harus menolak keputusan pilihan raya di semua peringkat bukannya di kawasan yang mereka gagal untuk menang dengan selesa sahaja,'' tegasnya. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment