Friday, June 8, 2012


FATWA KEDAH: MAJLIS PEGUAM TIDAK SETUJU

KUALA LUMPUR 7 Jun - Majlis Peguam hari ini mempertikaikan pindaan terhadap Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada April lalu kerana menganggap ia bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berkata, klausa baru dalam enakmen tersebut iaitu membolehkan sebarang fatwa yang diputuskan oleh mufti atau Majlis Fatwa negeri tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah sivil atau Mahkamah Syariah adalah tidak mengikut prinsip Perlembagaan.

"Pindaan itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan. Ia untuk menggulingkan bidang kuasa mahkamah. Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan tidak memberi apa-apa kuasa kepada DUN untuk menggubal undang-undang yang mengetepikan bidang kuasa mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia 08/06/2012
SISTEM KEWANGAN, SEKTOR KORPORAT MALAYSIA STABIL

MOODY’S Investors Service meletakkan tinjauan penarafan kedaulatan A3 Malaysia sebagai stabil, disokong pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, kekukuhan dan kecairan tinggi pasaran modal memastikan pembiayaan baik serta kedudukan luaran negara kukuh.

Analisis kredit Moody’s yang bertajuk ‘Malaysia’ menyatakan sistem kewangan dan sektor korporat negara ini kukuh menyumbang kepada lebihan pelaburan antarabangsa bersih.

“Kelebihan ini memastikan keupayaan pembiayaan dan tahap kemampuan defisit fiskal besar Malaysia dan hutang kerajaan lebih tinggi secara relatif kepada negara yang sama tahap,” kata agensi penarafan antarabangsa itu dalam kenyataannya.

Moody’s menjelaskan, tinjauan stabil itu disokong aliran semasa prestasi ekonomi negara ini, serta hasil awal daripada usaha pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan.

“Profil kredit Malaysia dipertingkatkan lagi oleh pembaharuan fiskal yang menangani kelemahan di dalam kedua-dua pendapatan dan perbelanjaan.

“Kekukuhan dan kedudukan kecairan sistem perbankan Malaysia yang baik berupaya menampan risiko kegawatan kewangan jika berlaku kegawatan bank di zon euro.

“Kekukuhan pasaran modal dan jumlah rizab tukaran asing dapat mengawal daripada kesan buruk jika berlakunya keadaan yang mana bukan residen menjual hutang kerajaan Malaysia,” kata Moody’s. – BERNAMA

IKATAN TERBUKA UNTUK SEMUA KAUM , SUDAH BERSEDIA GEGARKAN ARENA POLITIK NEGARA – KADIR


Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang dilancarkan semalam bertekad menjadi parti politik terbesar di negara ini dan melakukan satu kejutan politik pada pilihanraya umum ke -14 kata Pengerusi protem parti Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini .

Beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, menolak sebarang kemungkinan IKATAN bakal meletakkan calon dan bertanding pada PRU- 13 kerana parti belum didaftarkan secara rasmi dan masa terlalu singkat bagi IKATAN untuk bertanding, katanya selepas majlis pelancaran parti tersebut di sebuah hotel yang terkemuka di Serdang.

Beliau menjangkakan sejumlah 500 ribu hingga 1 juta rakyat Malaysia akan menyertai IKATAN dalam tempoh setahun ini dari tarikh parti tersebut didaftarkan.

Mengenai halatuju IKATAN, beliau menjelaskan asas utama yang menjadi perjuangan IKATAN adalah Perpaduan Bangsa Malaysia.

Ujarnya, “Tunku Abdul Rahman selaku bapa Malaysia telah menggariskan apa yang perlu dalam mewujudkan sebuah negara Malaysia yang aman dan makmur. Namun apa yang beliau gariskan tidak lagi menjadi hala tuju pentadbiran masa kini. Maka menjadi tanggungjawab dan harapan kami untuk kembali menyatukan Bangsa Malaysia.”

Berdasarkan imput ucapan beliau dan empat ahli majlis tertinggi protem IKATAN di majlis pelancaran hari ini , dilihat senada dengan halatuju Pakatan Rakyat(PR) dan tidak menyokong Kerajaan sedia ada iaitu Barisan Nasional. Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa IKATAN tidak mempunyai niat untuk bernaung dengan PR namun bersedia mewujudkan satu hubungan politik yang baik dengan PR.

BEKU PINJAMAN, 'ADIL' UNTUK PTPTN UJI DASAR PKR - TPM

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata tindakan PTPTN itu hanya bersifat sementara waktu."Dia tangguh, bukan batal, nak periksa dulu. Adil lah. Kalau MB kata tidak perlu ambil, tidak perlu bagi lah."

Terdahulu PTPTN memutuskan untuk menangguhkan pinjaman kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) buat sementara waktu.

PTPTN dalam kenyataan media pada Rabu berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira desakan parti pembangkang supaya pinjaman tersebut dimansuhkan dan pendidikan percuma diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

"PTPTN sentiasa mengikuti perkembangan ini dan memandang berat cadangan serta desakan tersebut, terutamanya ia datang daripada parti pembangkang yang kebetulan adalah kerajaan di negeri Selangor," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bersedia menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN.

"PTPTN percaya terhadap kesungguhan kerajaan negeri untuk melaksanakan pendidikan percuma. Oleh itu, pinjaman PTPTN di kalangan pelajar tidak diperlukan.

KHAIRY GESA BERI SEMULA PTPTN KEPADA UNISEL



PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka semula penyaluran pinjaman kepada pelajar-pelajar Universiti Selangor (Unisel).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pelajar universiti itu tidak seharusnya menjadi mangsa kepada sikap kerajaan pembangkang yang ternyata gagal menyediakan pendidikan percuma di universiti di bawah pentadbiran mereka.

"Memang sudah terbukti mereka (pembangkang) tidak mampu melaksanakan sistem pendidikan percuma.

"Oleh sebab itu janganlah jadikan pelajar-pelajar baru yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi ini menjadi mangsa keadaan...berilah PTPTN kepada mereka yang ingin mendapatkannya," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan PTPTN membekukan pinjaman kepada pelajar Unisel buat sementara waktu bermula sesi kemasukan April lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira desakan parti pembangkang supaya pinjaman tersebut dimansuhkan dan pendidikan percuma diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata: "Matlamat politik untuk beri pengajaran kepada pembangkang sudah kita buktikan iaitu mereka memang tak mampu beri pendidikan percuma...jadi cukuplah tu.

"Berilah semula pinjaman kepada pelajar-pelajar itu," katanya.