Friday, June 8, 2012

SISTEM KEWANGAN, SEKTOR KORPORAT MALAYSIA STABIL

MOODY’S Investors Service meletakkan tinjauan penarafan kedaulatan A3 Malaysia sebagai stabil, disokong pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, kekukuhan dan kecairan tinggi pasaran modal memastikan pembiayaan baik serta kedudukan luaran negara kukuh.

Analisis kredit Moody’s yang bertajuk ‘Malaysia’ menyatakan sistem kewangan dan sektor korporat negara ini kukuh menyumbang kepada lebihan pelaburan antarabangsa bersih.

“Kelebihan ini memastikan keupayaan pembiayaan dan tahap kemampuan defisit fiskal besar Malaysia dan hutang kerajaan lebih tinggi secara relatif kepada negara yang sama tahap,” kata agensi penarafan antarabangsa itu dalam kenyataannya.

Moody’s menjelaskan, tinjauan stabil itu disokong aliran semasa prestasi ekonomi negara ini, serta hasil awal daripada usaha pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan.

“Profil kredit Malaysia dipertingkatkan lagi oleh pembaharuan fiskal yang menangani kelemahan di dalam kedua-dua pendapatan dan perbelanjaan.

“Kekukuhan dan kedudukan kecairan sistem perbankan Malaysia yang baik berupaya menampan risiko kegawatan kewangan jika berlaku kegawatan bank di zon euro.

“Kekukuhan pasaran modal dan jumlah rizab tukaran asing dapat mengawal daripada kesan buruk jika berlakunya keadaan yang mana bukan residen menjual hutang kerajaan Malaysia,” kata Moody’s. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment