Monday, March 4, 2013

PULAU PINANG MAHU BINA TEROWONG LALUAN BAWAH LAUT

BUTTERWORTH: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan pembinaan terowong  dasar laut bernilai RM6.3 bilion bagi menghubungkan Gurner Drive di pulau dengan Bagan Ajam sebelah tanah besar.

Ia bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pembinaan itu akan menghubungkan Seberang Perai Utara dengan pulau bag memajukan kawasan itu selaras dengan kepesatan pembangunan sejak kebelakangan ini.

“Walaupun Seberang Perai Utara dikuasai pembangkang Umno dan BN namun Kerajaan Pakatan Rakyat tetap meningkatkan kemajuan di situ demi rakyat bukan kerana dendam politik.

“Kita mencadangkan laluan ketiga di situ di mana Terowong Dasar Laut menghubungkan Gurney  Drive dan Bagan Ajam yang menelan belanja RM6.3 bilion hasil pelaksanaan tander terbuka berbanding kos asal RM8 bilion diera pemerintahan BN,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang diadakan di Dewan Haji Ahmad Badawi, di Butterworth.

Beliau percaya pembinaan itu nanti akan memberikan lonjakan ekonomi pada penduduk Seberang Perai Utara di samping memberikan peluang pekerjaan yang cerah kepada anak-anak muda.

Menurut Lim, walaupun sedar cadanganya menimbulkan kemarahan sesetengah pihak ekoran tidak menerima cadangan mereka yang mahukan kerajaan nmegeri mengenakan bayaran kepada kenderaan yang ingin memasuki Georgetown.

Mereka mendakwa cara tersebut, akan mengurangkan kesesakan serta berpeluang menambah pendapatan negeri.

“Kita tidak akan gunakan pendekatan mereka kerana ia akan menimbulkan kemarahan rakyat. Lebih baik kita buat terowong kerana ia dapat memberikan beberapa keistimewaan sebagai tarikan pelancung, ” ujarnya.

Kontraktor berpengalaman telah dilantik untuk melaksanakan projek tersebut, jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Air Putih, Balik Pulau.– http://www.media-gegar.my
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: KENYATAAN TIAN CHUA 'MAINAN POLITIK YANG CUKUP HINA'

Kenyataan Tian Chua pada 1 Mac 2013
KANGAR - Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menuduh insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO bagi menakutkan rakyat sebagai mainan politik yang cukup hina oleh pembangkang dalam usaha mereka meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketika membuat kecaman itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu menggambarkan sikap mereka yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan sekali gus tidak layak dipilih sebagai pemimpin.

"Dalam insiden ini mereka tuduh kerajaan bersandiwara. Ini merupakan pembohongan dan pendustaan sangat besar. Sebelum ini dalam isu Memali pun pembangkang tuduh kerajaan sebagai punca," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Perlis di Stadium Utama, di sini hari ini.

Tian Chua seperti dipetik menerusi lidah rasmi PKR, keadilandaily.com kelmarin mendakwa, kejadian yang menyebabkan kematian anggota keselamatan negara dan penceroboh dari Filipina itu hanya 'sandiwara kerajaan' untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

Najib berkata, pemimpin pakatan pembangkang sepatutnya tidak bermain politik dalam perkara membabitkan soal keselamatan dan nyawa manusia.

"Kita tidak boleh main sandiwara kerana tidak ada orang pun yang mahu jadi pelakon sehingga sanggup mati," katanya

Najib berkata, kerajaan BN tetap akan membela anggota keselamatan yang disifatkan sebagai perwira yang sanggup berkorban segala-galanya demi negara.

Katanya, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebak dan sedih apabila berhadapan dengan balu dan anak-anak kedua-dua anggota polis yang terkorban ketika berjuang mempertahankan negara dalam kejadian di Lahad Datu itu.

"Mereka ini pejuang yang patut kita sanjung dan contohi, bukannya dihina dan diperlekehkan," katanya.-UtusanOnline
LAHAD DATU: PENCEROBOH TETAP BERDEGIL
Jamalul Kiram dikelilingi penyokongnya bercakap kepada pemberita di pekan Taguig, selatan Manila kelmarin. - REUTERS
MANILA - Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai Sultan Sulu, hari ini berkata, pertempuran di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan 14 pengikutnya yang menceroboh Sabah tidak akan mematahkan semangatnya untuk berjuang bagi menuntut haknya.

Beliau berikrar untuk terus berjuang menuntut haknya ke atas Sabah, meskipun Manila terus mendesak supaya pengikutnya berundur tanpa syarat dari bumi Sabah.

Mereka bersedia untuk mengorbankan nyawa dalam menghadapi serangan pasukan keselamatan Malaysia, katanya kepada pemberita di sini.

Kumpulan penceroboh itu diketuai oleh adik Jamalul Kiram.

Jamalul Kiram berkata, beliau bimbang keganasan di Sabah akan merebak kerana ramai rakyat Filipina, terutama pengikutnya di selatan Filipina sedih atas kematian keluarga mereka dalam serangan di Lahad Datu.

Anak perempuannya, Puteri Jacel, pula menyeru rakyat Filipina supaya bertenang dan menegaskan bahawa Kesultanan Sulu tidak akan berundur dan akan meneruskan perjuangan untuk menuntut Sabah.

Ia melibatkan maruah kami," katanya kepada pemberita.

Kami tidak akan berundur begitu sahaja, kerana kami berjuang kerana hak kami dan perjuangan ini adalah demi hak kami dan demi kebenaran." katanya kepada wartawan Associated Press, Jim Gomez di Manila. – AGENSI/UtusanOnline
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: KERAJAAN DIGESA TUBUH SURUHANJAYA, SIASAT DAKWAAN FILIPINA
KULIM: Kerajaan digesa menubuhkan satu suruhanjaya bagi menyisasat dakwaan media Filipina dan agensi berita Reuters yang melaporkan ahli politik pembangkang terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.


Pesuruhjaya Pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata sehubungan itu, satu laporan polis berhubung isu pembabitan pembangkang dalam kes tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini petang ini.
Pemimpin pembangkang dikatakan menemui pihak Kesultanan Sulu sejak November tahun lalu dan tindakan itu mengancam keselamatan dan kedaulatan negara menyebabkan tujuh anggota pasukan keselamatan terkorban," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut.

Hadir sama Presiden Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah, Saiful Ambar Abdullah Ambar bersama lebih 50 anggota dan penyokong badan tersebut.

Khairul Anuar turut membantah sekeras-kerasnya kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang mendakwa pencerobohan kes tembakan yang mengorbankan nyawa anggota keselamatan negara merupakan satu konspirasi Umno untuk menakut-nakutkan rakyat menjelang pilihan raya umum kelak.

"Pucuk pimpinan PKR harus bertanggung jawab atas kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat itu," katanya.

Katanya kenyataan sedemikian seolah-olah menggambarkan bahawa nyawa anggota pasukan keselamatan yang terkorban tiada nilai langsung di sisi pimpinan PKR berkenaan.

Katanya, sewajarnya Tian Chua bersikap profesional dan sensitif dengan kesedihan keluarga keluarga anggota yang terkorban kerana kenyataan itu merupakan hasutan supaya rakyat membenci pihak berkuasa dan jika dibiarkan boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram kepada keselamatan negara.

"Saya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan serta pendakwaan seadil-adilnya," katanya.

Khairul Anuar turut meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya bertindak segera menghentikan "amaran-amaran" yang tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada penceroboh-penceroboh tetapi lebih tegas bertindak dengan apa cara sekali pun untuk memastikan krisis yang berlaku dapat dihentikan serta merta.

"Kita tidak rela lebih banyak nyawa anggota pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di Lahad Datu dan Semporna terkorban. Ini penting untuk memberi persepsi kepada rakyat situasi dalam negara kita boleh dikawal.

"Selain daripada itu kami meminta supaya agensi-agensi yang lain seperti Angkatan Tentera Malaysia turut campur tangan dalam memastikan keselamatan negara terjamin," katanya. 

Di PASIR PUTEH, Kelantan, lebih 50 wakil badan bukan kerajaan (NGO)dan Umno bahagian Pasir Puteh hari ini membuat laporan polis bagi mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap "dalang" insiden pencerobohan itu.

Antara NGO terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini ialah Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Pesara Polis, Persatuan Pekebun Kecil, anggota Majlis Belia Jajahan dan wakil guru jajahan Pasir Puteh selain anggota Umno, pada pukul 11 pagi ini.

"Risikan dan penyiasatan yang menyeluruh berhubung insiden berdarah yang menyebabkan kematian beberapa anggota pasukan keselamatan perlu dilakukan termasuk meneliti dakwaan terhadap mereka ke muka pengadilan, " kata Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman kepada pemberita di sini.

Beliau berkata laporan media Filipina yang menyebut terdapatnya campur tangan pihak pembangkang di negara ini yang didakwa sebagai dalang utama pencerobohan itu juga perlu diberi penelitian yang khusus.

"Kami tidak mahu pemimpin sedemikian menyebarkan fitnah membenci kerajaan dan bertindak mencabar kedaulatan undang-undang negara yang mengakibatkan kehilangan nyawa wira negara," katanya.

Zawawi berkata insiden berdarah di Lahad Datu yang sehingga ini telah mengorbankan beberapa nyawa termasuk dua perwira negara iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud dari Unit Komando 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memerlukan tindakan susulan untuk membongkar siapa sebenarnya dalang di sebalik pencerobohan yang berlaku di daerah itu.

Beliau juga berkata isu pencerobohan yang berlaku adalah isu nasional yang membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara yang sepatutnya tidak wajar dikaitkan dengan kepentingan politik.

Di KUALA LUMPUR, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja berhubung insiden itu.

Timbalan Presiden GPMS, Ezaruddin Abd Rahman juga menyeru semua lapisan rakyat Malaysia bersatu dan menyatakan sokongan kepada pasukan keselamatan yang sedang berjuang menentang ancaman kumpulan penceroboh itu. 

"Ancaman di Lahad Datu diharap akan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kita harus bersatu padu dalam keadaan tersebut kerana ia bukti bahawa rakyat Malaysia menolak segala ancaman pencerobohan dan bersedia pada bila-bila masa untuk menyatakan sokongan dalam pelbagai cara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mendesak agar kerajaan dan pihak berkuasa menyiasat dakwaan media asing mengenai penglibatan pembangkang dalam insiden pencerobohan itu.

"Ini adalah perkara yang amat serius dan ia satu pengkhinatan yang sangat berbahaya dan telah mengancam keselamatan negara.

"Ini bukan soal politik lagi sebaliknya ia berkaitan dengan kedaulatan negara," katanya. –BERNAMA/mStar