Monday, March 4, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: KENYATAAN TIAN CHUA 'MAINAN POLITIK YANG CUKUP HINA'

Kenyataan Tian Chua pada 1 Mac 2013
KANGAR - Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang menuduh insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO bagi menakutkan rakyat sebagai mainan politik yang cukup hina oleh pembangkang dalam usaha mereka meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketika membuat kecaman itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan itu menggambarkan sikap mereka yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan sekali gus tidak layak dipilih sebagai pemimpin.

"Dalam insiden ini mereka tuduh kerajaan bersandiwara. Ini merupakan pembohongan dan pendustaan sangat besar. Sebelum ini dalam isu Memali pun pembangkang tuduh kerajaan sebagai punca," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Perlis di Stadium Utama, di sini hari ini.

Tian Chua seperti dipetik menerusi lidah rasmi PKR, keadilandaily.com kelmarin mendakwa, kejadian yang menyebabkan kematian anggota keselamatan negara dan penceroboh dari Filipina itu hanya 'sandiwara kerajaan' untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

Najib berkata, pemimpin pakatan pembangkang sepatutnya tidak bermain politik dalam perkara membabitkan soal keselamatan dan nyawa manusia.

"Kita tidak boleh main sandiwara kerana tidak ada orang pun yang mahu jadi pelakon sehingga sanggup mati," katanya

Najib berkata, kerajaan BN tetap akan membela anggota keselamatan yang disifatkan sebagai perwira yang sanggup berkorban segala-galanya demi negara.

Katanya, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebak dan sedih apabila berhadapan dengan balu dan anak-anak kedua-dua anggota polis yang terkorban ketika berjuang mempertahankan negara dalam kejadian di Lahad Datu itu.

"Mereka ini pejuang yang patut kita sanjung dan contohi, bukannya dihina dan diperlekehkan," katanya.-UtusanOnline

No comments:

Post a Comment