Friday, December 6, 2013

TARIF ELEKTRIK NAIK: FIKIR BEBAN RAKYAT MARHAEN

SHAH ALAM – Kenaikan 15 peratus tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dan 17 peratus di Sabah dan Labuan yang bakal berkuat kuasa awal bulan depan tidak kena pada masa dan membebankan rakyat marhaen.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, pengumuman kerajaan Pusat ini tidak kena pada  masanya dan dipercayai membebankan rakyat ekoran kenaikan harga barang dan perkhidmatan kebelakangan ini.

“Peratus kenaikan yang bakal dilaksanakan agak tinggi, sedangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memonopoli secara keseluruhan konsesi penyaluran tenaga elektrik di negara ini dan ia syarikat yang menguntungkan.

“Umum maklum perbelanjaan mengurus sangat tinggi namun kenaikan itu lebih kepada mengaut untung. Pada pendapat saya tidak kena masa, rakyat marhaen dibebani kenaikan petrol RON95, gula dan bakal berdepan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Adun Kota Alam Shah turut menggesa agar perbelanjaan TNB diaudit semula kerana kenaikan tarif elektrik disifatkan menggunakan cara yang salah.

“Bagaimanapun, kerajaan Selangor akan berusaha berasaskan aspirasi golongan marhaen. Kerajaan negeri mampu mengawal dan mempertahankan hak rakyat dengan keupayaan memberi 20 meter padu air percuma.

“TNB bukan syarikat swasta sebaliknya anak syarikat kerajaan persekutuan (GLC). Oleh yang demikian, kenaikan ini wajar dikaji semula dengan memikirkan bebanan rakyat,” katanya.

Senada dengan reaksi ini, Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sewajarnya kerajaan pusat mengkaji semula kenaikan tarif elektrik kerana ia merupakan keperluan asas rakyat sama seperti air dan rumah.

“Kalau mahu naikkan juga biarlah berpatutan. Memandangkan subsidi yang diberikan begitu besar sewajarnya rakyat mendapat imbuhan terbaik namun sebaliknya pula yang berlaku.

“Kerajaan harus bela nasib rakyat bukan mengayakan syarikat gergasi dan saya harap kenaikan ini difikir dan dikaji semula,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

BANJIR DI PANTAI TIMUR BERTAMBAH BURUK

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak malam tadi meningkat kepada 42,626 orang pagi ini.
       
Semalam, jumlah yang dipindahkan sebanyak 37,136 orang.       
Pahang merupakan negeri paling buruk mengalami kesan musim tengkujuh ini dengan 34,235 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera.  

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 9 pagi ini beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya Km28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km62 Jalan Kuantan-Rompin.

"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling banyak iaitu 27,391 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rompin menempatkan 2,865 mangsa banjir, Pekan (3,218), Maran, (49), Jerantut (451), Lipis (33), Temerloh (167) dan Bera, daerah terbaharu memindahkan mangsa banjir, mempunyai 61 orang di pusat pemindahan pagi ini.
        
Di KELANTAN, menurut portal rasmi kerajaan negeri Kelantan, jumlah penduduk Kelantan yang dipindahkan di enam jajahan di negeri itu bertambah pagi ini dengan keseluruhannya sebanyak 2,339 orang.
      
Banjir itu turut merebak ke Tumpat yang merupakan jajahan keenam menerima musibah itu berikutan limpahan air Sungai Golok. 

Pasir Mas di Rantau Panjang menyaksikan jumlah terbanyak mangsa dipindahkan iaitu 1,345 orang yang kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan, dan diikuti jajahan Kuala Krai sebanyak 506 orang.   

Di Tanah Merah, sebanyak 222 orang masih berada di 10 pusat pemindahan, Pasir Puteh (219) dan Tumpat hanya lapan orang.
       
Keadaan cuaca yang baik sejak semalam menyebabkan keadaan paras air sungai surut namun di Sungai Golok, Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.34 meter (bahaya 9 meter).      

Tiada jalan utama yang ditutup dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir di Kelantan dan keadaan cuaca pada pagi ini cerah.
       
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir masih kekal seperti malam tadi iaitu 6,052 orang daripada 1,559 keluarga.
       
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) kawasan yang terjejas banjir di Terengganu ialah Kemaman, Dungun, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.
       
Katanya sehingga pukul 8 pagi, jumlah mangsa banjir di Kemaman adalah sebanyak 2,372 (595 keluarga), Dungun 2,668 (670 keluarga), Hulu Terengganu 844 (242 keluarga), Setiu 99 (32 keluarga) dan Marang 63 (18 keluarga).
       
Pusat pemindahan yang beroperasi masih kekal seperti malam tadi, kesemuanya 82 buah iaitu di Kemaman (31), Dungun (29), Hulu Terengganu (13), Marang dan Setiu, masing-masing (4).
  
Di MELAKA, air Sungai Kesang yang melimpah sehingga memaksa 25 mangsa dari Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin ditempatkan di pusat pemindahan banjir, kini berada di bawah paras waspada.
      
Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mejar Jafri Mohamed berkata, mereka masih belum dibenarkan pulang sebagai langkah berjaga-jaga ditambah dengan keadaan cuaca mendung pagi ini.    

Air Sungai Kesang kini berada pada paras 3.04 meter, katanya ketika dihubungi di sini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan menurun kepada 1,825 orang pagi ini berbanding 2,852 orang malam tadi.

Menurut portal bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), 472 mangsa banjir yang dipindahkan di Batu Pahat, Kluang (155), Kota Tinggi (218), Mersing (194); Pontian (353), Segamat (425) dan Ledang (lapan).

Menurutnya mangsa di Kluang yang terdiri daripada 38 keluarga dan ditempatkan di dua pusat pemindahan yang terputus hubungan dengan dunia luar, telah dihantar bantuan keperluan dan bekalan makanan.

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia di dalam laman webnya melaporkan tiada hujan turun di Johor sejak tengah malam tadi.

Bagaimanapun paras Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan di Bukit Kepong, Muar masing-masing masih di tahap bahaya iaitu pada 9.49 meter dan 3.62 meter.

Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat serta Sungai Senggarang di Senggarang dan Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat masing-masing berada pada paras berjaga-jaga iaitu 19.86 meter, 3.11 meter dan 5.75 meter.- Bernama

Sumber: Sinar Harian