Friday, April 12, 2013

'JANGAN GANGGU PROSES PRU13' - POLIS

KUALA LUMPUR - Polis memberi amaran kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mengganggu proses pilihan raya umum pada 5 Mei ini.

Mereka dilarang memeriksa kad pengenalan pengundi serta mengadakan sekatan jalan raya bagi menakut-nakutkan pengundi.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tugas yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah itu hanya akan mencetuskan kekecohan sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya berkenaan.

"Penugasan polis dalam memastikan keselamatan dan keamanan sepanjang pilihan raya telah ditetapkan dan jumlah anggota yang ditugaskan juga mencukupi.

"Jadi tidak perlulah individu atau kumpulan-kumpulan tertentu berniat untuk mengganggu tugas polis dengan melaksanakan undang-undang sendiri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan disiarkan dalam blog dan media pro-pembangkang mengenai perancangan gerakan Asal Bukan UMNO (ABU) merekrut sukarelawan di seluruh negara untuk memeriksa kad pengenalan pengundi ketika proses pengundian.

Difahamkan, pasukan sukarelawan yang menggelarkan diri mereka 'Skuad Tahan' itu akan turut melakukan tugas-tugas rondaan di pusat-pusat pemilihan kononnya bagi mencegah pengundi hantu daripada mengundi.

Beberapa blog dan media propembangkang minggu lalu melaporkan skuad tersebut telah mula mengagihkan risalah di seluruh negara, sejak dua bulan lalu yang mengugut supaya rakyat tidak turun mengundi.

Dalam pada itu, Ramli berkata, polis setakat ini telah menerima 69 laporan polis di seluruh negara sejak Parlimen dibubarkan lapan hari lalu.

Menurut beliau, tiga pertuduhan juga telah dibuat di mahkamah Shah Alam, Selangor; Cukai di Terengganu dan Bandar Melaka di Melaka.

"Tertuduh dalam tiga kes ini masing-masing disabitkan kesalahan bakar bendera, mendatangkan kecederaan dan menjual senjata di lokasi ceramah," katanya.

Selain itu, menurut beliau, sebanyak 333 aktiviti berkempen, ceramah, perhimpunan dan lain-lain yang bersangkutan dengan pilihan raya telah dilapor dianjurkan oleh pelbagai NGO dan ahli politik.

Bagaimanapun, kata beliau, amat mendukacitakan apabila ada aktiviti tersebut dianjurkan tanpa permit dan notis kelulusan daripada polis. - UTUSAN ONLINE

ANALISIS PRU13: ANWAR JANGAN PERLEKEH PAPAGOMO

Oleh AZMAN IBRAHIM 

Hasrat pengendali blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh, melambangkan keberanian dan semangat tinggi.

Walaupun pertama kali bertanding dan tidak mempunyai track record dalam mana-mana PRU sebelum ini, Papagomo seolah-olah amat yakin dan mempunyai 'modal' tersendiri untuk membeli dan mematahkan hujah-hujah pihak lawannya.

Setelah melihat semangatnya yang mengambil borang pencalonan calon PRU-13 di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan baru-baru ini, ternyata kesungguhannya untuk bertanding tidak dapat dinafikan lagi.

Niat sebenar lelaki berusia 30 tahun itu untuk bertanding adalah bagi meneruskan kesinambungan kesejahteraan, kestabilan dan keamanan bangsa Malaysia.

Bagaikan tikus melawan gajah, Papagomo yang belum tentu mempunyai ramai penyokong itu akan bersaing dengan seorang pemimpin utama pembangkang yang diketahui mempunyai penyokong fanatik tersendiri.

Bagaimanapun, satu persoalan timbul, bagaimana sekiranya Papagomo berjaya memenangi Parlimen Permatang Pauh dan mengalahkan Anwar.

Presiden Warisan Anak Merdeka, Abdul Ghani Harun berkata, jika Papagomo berjaya mendapat undian dan mengurangkan undi majoriti Anwar sekali pun, itu sudah memadai dan membuktikan pengaruh Anwar semakin merudum.

"Jika Papagomo langsung tidak mendapat undi dan hilang wang pertaruhan, hal itu tidak memberi apa-apa kesan kerana semua sedia maklum terhadap kekuatan dan pengaruh Anwar di kawasan Parlimen itu.

"Sebaliknya Anwar akan malu besar sekiranya undi majoritinya merosot atau tewas di tangan Papagomo," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Pada 8 April lalu, Papagomo mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas menentang Anwar sama ada di kawasan Parlimen Permatang Pauh atau di mana-mana kawasan yang ditandingi Ketua Pembangkang itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Papagomo, keputusan itu bagi menunjukkan beliau benar-benar serius meminta Anwar berundur secara terhormat dari arena politik negara seperti diminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih sedekad lalu.

Beliau sebelum ini sudah memberi amaran supaya Anwar berundur bagi mengelak video aksi homoseksual yang dikaitkan dengan Anwar oleh beliau dipaparkan kepada umum, namun Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berdegil.

Papagomo dikatakan mempunyai lebih daripada satu video membabitkan Ketua Pembangkang itu untuk didedahkan kepada umum sepanjang tempoh berkempen nanti.

Sementara itu, Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman berpendapat, peluang Papagomo untuk menang adalah tipis kerana beberapa faktor.

Katanya, salah satu faktor adalah populariti Anwar di Permatang Pauh sendiri yang berjaya menandingi Papagomo.

"Bagaimanapun, jika Anwar kalah dia harus meletakkan jawatan dan bersara daripada politik kerana kekalahan itu menunjukkan bukan sahaja rakyat Malaysia menolak Anwar, tetapi orang kampungnya sendiri telah menolaknya.

"Pada waktu itu (jika kalah), Anwar tidak lagi relevan dalam politik Malaysia," ujarnya.

Pokok pangkalnya, Anwar tidak boleh memandang rendah kepada kebolehan Papagomo pada PRU-13. Jangan perlekeh kebolehan Papagomo.

Ibarat kata pepatah Melayu, kecil-kecil cili api, walaupun kecil namun berapi.

Dalam satu aspek yang lain, Anwar juga tidak perlu berasa bangga sebaliknya perlu berasa malu kerana terpaksa bertanding dengan calon-calon biasa atau calon tiada pengalaman berbanding dengan calon-calon yang setaraf dengan tahap kerjaya politiknya selama ini. - UTUSAN ONLINE

PRU13:  MELAYU ISLAM WAJIB UNDI BN - HASAN ALI

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) membuat ketetapan bahawa semua pengundi Melayu Islam di negara ini wajib mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kali ini.

Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ketetapan itu dibuat ekoran pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas ternyata gagal mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

Ujarnya, perkara itu terbukti apabila kalimah Allah disyirikkan, fahaman pluralisme mahu dijadikan sebagai asas beragama, berhasrat membentuk negara sekular, menggugurkan pembentukan negara Islam dan hukum hudud serta mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

"Jati sememangnya tidak dapat menaruh walau sebutir keyakinan kepada pakatan pembangkang untuk mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

"Bukan itu sahaja, malah ketetapan ini juga dibuat bersandarkan kepada hasil perbincangan serta pandangan pakar-pakar agama di dalam Jati sendiri selain dengan para mufti dan para ulama mengenai parti yang wajib dipilih oleh orang Melayu Islam pada PRU-13 kali ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediamannya di Bandar Utama dekat sini, hari ini.

Hasan berkata, apa yang lebih penting, ketetapan yang dibuat oleh Jati itu bersandarkan kepada empat kaedah fiqh iaitu;

"Sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara; menolak sesuatu keburukan lebih baik daripada mengambil sesuatu kebaikan; memilih keburukan yang lebih kecil daripada dua keburukan bagi menolak keburukan yang lebih besar; perkara yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib.''

Beliau berkata, BN jelas tidak mempunyai agenda negatif terhadap Islam.

Dalam sidang akhbar tersebut, Hasan turut melontarkan tiga persoalan yang perlu diberi perhatian oleh pengundi:

*Adakah tanggungjawab mengagungkan Islam kepada DAP yang dengan tegas ingin membentuk negara sekular?

*Adakah rakyat dapat mengharapkan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud yang telah diperjuangkan sejak 60 tahun lalu akan terus disambung oleh pimpinan sedia ada yang dilihat mabuk untuk ke Putrajaya?

*Adakah masyarakat yakin akan terbentuknya negara bermoral dan rakyat bersahsiah dengan negara ini dinakhoda oleh pemimpin parti pakatan pembangkang yang sedang bergelut dengan pemasalahan moral yang berterusan dan serius?"

Hasan berkata, itulah antara persoalan yang sentiasa bermain di benak pemimpin-pemimpin Jati yang perlu dirungkaikan.

"Oleh itu, amatlah diharapkan pada PRU-13 nanti, pengundi-pengundi Melayu Islam khususnya dapat membantu menyelesaikan masalah kenegaraan ini dengan menolak pakatan pembangkang,'' ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Hasan mengakui ketetapan itu mungkin akan dicabar oleh pihak-pihak tertentu namun atas nama prinsip, perjuangan dan jihad, Jati sedia berdepan dengan sesiapa sahaja untuk berdialog atau berwacana dalam usaha menyatakan kebenaran.

"Ketetapan kita ini bersandarkan kepada peraturan kaedah fiqh, bersandarkan kepada ilmu, bersandarkan pandangan para ulama dan juga bersandarkan integriti Jati itu sendiri.

"Individu seperti Datuk Aidit, seperti Profesor Sidek Baba, Dr. Yusri Mohamad (bekas Presiden ABIM) dan ramai lagi dalam Jati tidak pernah dikaitkan bahawa mereka ini pernah diperalatkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, Jati akan melancarkan siri jelajah ke seluruh negara bagi menyuntik keyakinan dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu Islam iaitu ketetapan yang dibuat oleh Jati itu merupakan pilihan paling tepat untuk Islam, Melayu dan institusi raja.

"Kawasan yang akan kita beri tumpuan ialah kawasan-kawasan panas khususnya yang ditandingi oleh kumpulan parasit dalam Pas dan tidak terkecuali kawasan-kawasan yang ditandingi oleh pemimpin-pemimpin PKR,'' kata Hasan.-Utusan Online
PRU13: PERUBAHAN TANPA TUKAR KERAJAAN


KUANTAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keperluan mengubah kerajaan seperti dicanang pembangkang tidak timbul sama sekali kerana Barisan Nasional (BN) berjaya membawa banyak perubahan dalam tempoh empat tahun lalu untuk kesejahteraan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, dengan kejayaan itu kepimpinan BN membuktikan perubahan besar tidak semestinya berlaku dengan pertukaran kerajaan dan perkara tersebut sepatutnya dinilai rakyat negara ini.

"Kalau kita tak berjaya bawa perubahan, saya tak berani cakap seperti ini tetapi kita ada bukti seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), pertumbuhan ekonomi kita juga lebih tinggi daripada unjuran Bank Dunia selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)1, BR1M 2 telah diberi dan insya-Allah akan menyusul seterusnya.

"Jadi, sudah berlaku perubahan di Malaysia, oleh itu tidak timbul sama sekali keperluan mengubah kerajaan kerana yang penting bukan mengubah kerajaan tetapi perubahan untuk kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan UTC Pahang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Mohd. Ali Hamsa.

Kira-kira 30,000 orang hadir menyaksikan perasmian bangunan UTC Pahang itu yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM37 juta.

Dalam masa sama, Najib mengajak rakyat menilai bagaimana pembangkang mahu membawa perubahan seperti dicanang sekiranya masih bercelaru dalam soal seperti calon pilihan raya yang menyaksikan dua parti mengumumkan calon di kerusi sama.

Katanya, perubahan itu juga tidak mampu dilakukan pembangkang kerana pakatan antara mereka ibarat sebuah kapal tetapi mempunyai tiga nakhoda sehingga tidak wujud kesepakatan dalam banyak perkara.

"Kita kena tanya, macam mana nak bawa perubahan kalau dalam satu kumpulan itu ada tiga nakhoda.

"Cuba bayangkan sebuah kapal ada tiga nakhoda, apa nasib kapal itu? Karam. Inilah peribahasa Melayu sebut, tidur sebantal mimpi lain-lain," katanya.

Selain itu, Najib berkata, pemimpin yang hendak dipilih juga perlu dinilai berdasarkan pengalaman dan rekod sebelum ini terutama jika pemimpin berkenaan pernah berada dalam kerajaan.

"Lebih-lebih lagi waktu dalam kerajaan, apa dia buat, apa hasilnya waktu dalam kerajaan dan bagaimana bila dia berdepan dengan krisis, macam mana nilai kepimpinan dia. Itulah yang patut kita tanya," ujarnya. –Utusan Online
PRU13: WAN AZIZAH TAK BERTANDING

PETALING JAYA 11 April - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata, lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada kempen dan menarik sokongan pengundi wanita kepada partinya.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding. Saya mahu fokus kepada kempen," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau menafikan telah diketepikan kerana tidak bertanding dan berkata beliau masih presiden parti.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau pernah menulis surat kepada Dr Mahathir sebanyak 18 muka surat 15 tahun lalu mengenai salah laku suami beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri, Wan Azizah berkata: "Saya tidak pernah menulis surat itu."

Minggu lalu Dr. Mahathir memberitahu media mengenai surat itu, tetapi tidak mendedahkan kandungannya. — BERNAMA/Utusan Online
PRU13: PEREBUTAN KERUSI, DAP BERI KATA DUA KEPADA PKR

 ALOR SETAR - Selepas berkali-kali cuba melembutkan pergeseran dalam soal penentuan calon, DAP akhirnya memberi kata dua kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada mengalah atau berdepan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, walaupun pertembungan tiga penjuru itu dianggap pengkhianatan yang tidak harus berlaku dalam pakatan pembangkang namun beliau tidak menolak kemungkinan tersebut jika PKR enggan mengalah dengan tuntutan DAP.

Katanya, DAP mahu PKR menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata dalam Parlimen Alor Setar dan DUN Bakar Arang (Sungai Petani).

Parti itu juga mahu mengekalkan kerusi DUN Kota Darul Aman yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu serta DUN Derga yang didakwa Kok Wai telah mendapat persetujuan PKR.

"Kita akan tengok macam mana PKR menerima cadangan ini dan kita berharap mereka menerimanya dengan baik untuk memberi ruang kepada DAP demi semangat parti.

"DAP sedia bertanding di semua kerusi ini dan jika PKR tidak setuju, kemungkinan akan wujud pertandingan tiga penjuru," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik.

Dalam pilihan raya umum 2008, DAP hanya bertanding di kerusi DUN Kota Darulaman dan DUN Derga yang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara DAP, PKR dan Gerakan setelah kedua-dua parti pakatan pembangkang itu enggan mengalah.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa merayu Pas melepaskan kerusi kepada DAP bagi membolehkan mereka turut menyerahkan satu kerusi kepada DAP namun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 6 April lepas menegaskan tidak mahu berbuat demikian.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR Kedah, Gooi Hsio Leong sebagai calon Parlimen Alor Setar.

Sementara itu, Kok Wai berkata, DAP akan meletakkan calon berwibawa dan disenangi masyarakat setempat di Parlimen Alor Setar.

"Kita merayu supaya PKR memikirkan semula calon mereka. Calon kami sangat dekat dengan komuniti di sini," katanya.

Tambah Kok Wai, DAP akan mengumumkan nama calon-calon di kesemua kerusi tersebut dalam masa terdekat setelah pembahagian kerusi dimuktamadkan kedua-dua parti.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan sebagai calon di DUN Titi Tinggi dan Setiausahanya, Ooi Boon Beng di kerusi DUN Indera Kayangan dalam pilihan raya umum akan datang. –Utusan Online
PRU13: REBUT KERUSI DUN SUNGAI ACEH, DAP ENGGAN CAMPUR KEMELUT PKR-PAS

PULAU PINANG - DAP menggesa pimpinan tertinggi peringkat Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh di antara kedua-dua parti berkenaan.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas menyedari masalah berkenaan tidak mampu diselesaikan oleh PKR dan Pas negeri.

Menurut Guan Eng, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu memainkan peranan mereka bagi memastikan masalah tersebut tidak terus berlarutan.

"Hal ini demikian kerana Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman telah mengumumkan calon mereka yang akan bertanding di DUN Sungai Acheh dan tindakan sama juga dibuat Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man yang mewakili Pas.

"Sebelum ini ketika perbincangan dua hala mengenai parti mana yang akan meletakkan calon di situ, ia hanya melibatkan PKR dan Pas. Jadi tidak perlu untuk DAP campur tangan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Abdul Halim Husain .

Kemelut perebutan kerusi DUN Sungai Acheh bermula apabila PKR dan Pas masing-masing tidak mahu mengalah dan berkeras mahu meletakkan calon masing-masing untuk bertanding di situ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). –Utusan Online
PRU13: PAKATAN BERTELAGAH, KERUSI DUN SUNGAI ACHEH JADI REBUTAN PAS, PKR

KEPALA BATAS - Perebutan kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin meruncing apabila kedua-dua parti berkenaan meletakkan calon masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh.

Sehari selepas PKR menamakan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard bertanding di kerusi itu, Pas malam tadi pula turut mencalonkan Ketua Pemuda negeri, Mohd. Yusni Mat Piah bagi merebut kerusi berkenaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Salleh Man berkata, keputusan Pas bertanding di DUN Sungai Acheh telah dimuktamadkan dalam perbincangan di peringkat Pas Pusat kelmarin.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau hairan bagaimana PKR boleh meletakkan calonnya bertanding di kerusi tersebut apatah lagi kerusi berkenaan pada asalnya merupakan milik Pas yang menyerahkan untuk ditandingi PKR dalam pilihan raya umum lalu.

"Pas mahu mengambil semula kerusi itu dan saya menegaskan Pas akan bertanding di kerusi tersebut kali ini.

"Tidak berlaku apa-apa sengketa antara Pas dan PKR kerana keputusan Pas bertanding di situ adalah keputusan Pas Pusat," katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan nama-nama calon Pas Pulau Pinang yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang di markas Pas Pongsu Seribu.

Sementara itu, Salleh berkata, Pas akan bertanding di enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, beliau sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir manakala empat kerusi DUN iaitu Penaga ditandingi Ketua Penerangan Pas negeri, Rosidi Hussin; bekas Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Arshad Mohamad Salleh (Permatang Berangan); Penyelaras DUN Zahadi Mohamad (Sungai Dua) dan Ketua Muslimat Pas Bayan Baru, Asnah Hashim di Bayan Lepas.

Menurutnya, dua kerusi Parlimen yang ditandingi Pas ialah Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang masing-masing akan ditandingi ahli perniagaan, Asnan Hamimi Taib Azamuddin dan bekas tokoh korporat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin.

"Kita yakin Pas dapat membuktikan kemampuan mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya umum kali ini kerana 60 peratus calon yang diketengahkan adalah calon muda," katanya. –Utusan Online