Friday, April 12, 2013

'JANGAN GANGGU PROSES PRU13' - POLIS

KUALA LUMPUR - Polis memberi amaran kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mengganggu proses pilihan raya umum pada 5 Mei ini.

Mereka dilarang memeriksa kad pengenalan pengundi serta mengadakan sekatan jalan raya bagi menakut-nakutkan pengundi.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tugas yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah itu hanya akan mencetuskan kekecohan sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya berkenaan.

"Penugasan polis dalam memastikan keselamatan dan keamanan sepanjang pilihan raya telah ditetapkan dan jumlah anggota yang ditugaskan juga mencukupi.

"Jadi tidak perlulah individu atau kumpulan-kumpulan tertentu berniat untuk mengganggu tugas polis dengan melaksanakan undang-undang sendiri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan disiarkan dalam blog dan media pro-pembangkang mengenai perancangan gerakan Asal Bukan UMNO (ABU) merekrut sukarelawan di seluruh negara untuk memeriksa kad pengenalan pengundi ketika proses pengundian.

Difahamkan, pasukan sukarelawan yang menggelarkan diri mereka 'Skuad Tahan' itu akan turut melakukan tugas-tugas rondaan di pusat-pusat pemilihan kononnya bagi mencegah pengundi hantu daripada mengundi.

Beberapa blog dan media propembangkang minggu lalu melaporkan skuad tersebut telah mula mengagihkan risalah di seluruh negara, sejak dua bulan lalu yang mengugut supaya rakyat tidak turun mengundi.

Dalam pada itu, Ramli berkata, polis setakat ini telah menerima 69 laporan polis di seluruh negara sejak Parlimen dibubarkan lapan hari lalu.

Menurut beliau, tiga pertuduhan juga telah dibuat di mahkamah Shah Alam, Selangor; Cukai di Terengganu dan Bandar Melaka di Melaka.

"Tertuduh dalam tiga kes ini masing-masing disabitkan kesalahan bakar bendera, mendatangkan kecederaan dan menjual senjata di lokasi ceramah," katanya.

Selain itu, menurut beliau, sebanyak 333 aktiviti berkempen, ceramah, perhimpunan dan lain-lain yang bersangkutan dengan pilihan raya telah dilapor dianjurkan oleh pelbagai NGO dan ahli politik.

Bagaimanapun, kata beliau, amat mendukacitakan apabila ada aktiviti tersebut dianjurkan tanpa permit dan notis kelulusan daripada polis. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment