Friday, April 12, 2013

PRU13: PERUBAHAN TANPA TUKAR KERAJAAN


KUANTAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keperluan mengubah kerajaan seperti dicanang pembangkang tidak timbul sama sekali kerana Barisan Nasional (BN) berjaya membawa banyak perubahan dalam tempoh empat tahun lalu untuk kesejahteraan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, dengan kejayaan itu kepimpinan BN membuktikan perubahan besar tidak semestinya berlaku dengan pertukaran kerajaan dan perkara tersebut sepatutnya dinilai rakyat negara ini.

"Kalau kita tak berjaya bawa perubahan, saya tak berani cakap seperti ini tetapi kita ada bukti seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), pertumbuhan ekonomi kita juga lebih tinggi daripada unjuran Bank Dunia selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)1, BR1M 2 telah diberi dan insya-Allah akan menyusul seterusnya.

"Jadi, sudah berlaku perubahan di Malaysia, oleh itu tidak timbul sama sekali keperluan mengubah kerajaan kerana yang penting bukan mengubah kerajaan tetapi perubahan untuk kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan UTC Pahang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Mohd. Ali Hamsa.

Kira-kira 30,000 orang hadir menyaksikan perasmian bangunan UTC Pahang itu yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM37 juta.

Dalam masa sama, Najib mengajak rakyat menilai bagaimana pembangkang mahu membawa perubahan seperti dicanang sekiranya masih bercelaru dalam soal seperti calon pilihan raya yang menyaksikan dua parti mengumumkan calon di kerusi sama.

Katanya, perubahan itu juga tidak mampu dilakukan pembangkang kerana pakatan antara mereka ibarat sebuah kapal tetapi mempunyai tiga nakhoda sehingga tidak wujud kesepakatan dalam banyak perkara.

"Kita kena tanya, macam mana nak bawa perubahan kalau dalam satu kumpulan itu ada tiga nakhoda.

"Cuba bayangkan sebuah kapal ada tiga nakhoda, apa nasib kapal itu? Karam. Inilah peribahasa Melayu sebut, tidur sebantal mimpi lain-lain," katanya.

Selain itu, Najib berkata, pemimpin yang hendak dipilih juga perlu dinilai berdasarkan pengalaman dan rekod sebelum ini terutama jika pemimpin berkenaan pernah berada dalam kerajaan.

"Lebih-lebih lagi waktu dalam kerajaan, apa dia buat, apa hasilnya waktu dalam kerajaan dan bagaimana bila dia berdepan dengan krisis, macam mana nilai kepimpinan dia. Itulah yang patut kita tanya," ujarnya. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment