Monday, April 15, 2013

PRU13: JANGAN TERSILAP LAGI PILIH PEMIMPIN

POKOK SENA - Pengundi di Pokok Sena dinasihatkan agar jangan lagi membuat kesilapan dengan memilih pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, ini kerana kesilapan berkenaan hanya akan membantutkan proses pembangunan di daerah itu.

"Sebelum ini kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan daerah ini namun kali ini saya mohon agar warga Pokok Sena jangan lagi tersilap pilih pemimpin.

"Kita menawarkan lonjakan pembangunan di daerah ini sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN," katanya selepas menghadiri Showcase Anak Muda di Dataran Sena di sini malam ini. - Utusan Online
PRU13: AHLI BN JANGAN CANTAS JIKA MAHU BN MENANG – TUN M

KUBANG PASU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) supaya menjauhi perbuatan cantas mencantas demi kemenangan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, semua pihak harus mengambil pengajaran berharga daripada kekalahan banyak calon BN dalam pilihan raya umum lalu termasuk di Kedah yang berpunca daripada sikap sedemikian dalam kalangan pemimpin dan ahli parti setelah gagal menjadi calon.

"Jika kita suka dia kita bagi undi, kalau tidak suka dengan calon itu bukan sahaja tidak bagi undi tetapi berusaha cantas supaya calon itu tidak menang, jadi puaslah hati.

"Tetapi sebenarnya mereka sendiri yang menerima balasan akibat daripada sikap cantas mencantas itu apabila BN kalah di Kedah dan tidak dapat bentuk kerajaan," katanya dalam majlis Bicara Bersama Pemimpin di Bilik Gerakan BN Cawangan Lubuk Kawah di sini hari ini.

Dr. Mahathir menambah, sokongan terhadap parti harus diutamakan bukan bergantung pada siapa yang menjadi calon dalam pilihan raya umum itu demi kelangsungan BN.

"Kita harus utamakan kemenangan BN, bukan siapa yang jadi calon. Tidak penting siapa jadi calon kerana kalau dia menang seorang pun tetap tidak boleh bentuk kerajaan kalau parti kalah," katanya.

Ketika bercakap kepada pemberita, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan strategi Pas yang meletakkan calon bukan Islam di kerusi yang bakal ditandingi mereka.

"Dahulu menuduh BN berkawan dengan orang kafir, kita juga kafir. Sekarang mereka ambil orang bukan Islam jadi calon, ini menunjukkan iman mereka tidak kuat," katanya.

Menyentuh permohonan maaf seorang ahli PKR Parlimen Lembah Pantai yang pernah menggelarnya sebagai Firaun, kata Dr. Mahathir, beliau tidak pernah ambil peduli pelbagai panggilan yang pernah diberikan kepadanya ketika memimpin kerajaan selama 22 tahun dahulu.

"Terima kasih kerana minta maaf daripada saya.”

''Saya sebenarnya tidak pernah rasa marah apabila orang panggil saya Firaun tetapi apabila dia minta maaf, maknanya dia sudah insaf tentang tindak tanduk parti pembangkang, itu lebih penting daripada saya maaf atau tidak," katanya. - Utusan Online
PRU13: PAS TERUS BERCELARU ISU KALIMAH ALLAH

KOTA BHARU - Walaupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengumumkan pendirian dengan membenarkan pengunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain namun Pas terus berdolak-dalih dengan menyalahkan Barisan Nasional (BN) yang kononnya tidak mempertahakan kalimah suci itu.

Terdesak dengan bantahan orang ramai terutama dari akar umbi Pas sendiri mengenai pengunaan kalimah Allah yang gagal dipertahankan parti itu, Pas seolah-olah 'lepas tangan' menuding jari dengan mendakwa UMNO sebenarnya yang membenarkan pengunaan kalimah Allah di dalam bible bahasa Melayu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Nasuruddin Daud berkata, Pas melalui Majlis Syura Ulama parti itu dengan jelas telah membuat keputusan tidak membenarkan orang kafir mengunakan kalimah Allah.

Beliau berkata, orang kafir tidak boleh mengunakan kalimah Allah di dalam Bible kerana Allah dengan Tuhan ini lain. Allah tidak beranak, tidak anak kepada sesiapa, tidak serupa dengan sesiapa dan tidak menyerupai sesuatu.

"Begitu juga Allah dengan makhluk tidak serupa. Ada orang Kristian dia kata Tuhan ada anak iaitu Nabi Isa, orang Musyrikin dia kata Malaikat itu anak Tuhan, ini semua tidak betul. Telah kafir orang yang kata Tuhan itu salah satu daripada tiga.

"Sebab itu kita tidak membenarkan orang bukan Islam menterjemahkan God kepada Allah dan ini jelas, tetapi kerajaan Malaysia membenarkan tiba-tiba dia salahkan kita tidak mempertahankan kalimah Allah.

"Kita bukan setakat kalimah Allah kita pertahankan, yang paling penting syariat Allah pun kita pertahankan. Dia (UMNO) kalimah Allah tidak pertahan, syariat Allah pun dia tolak," katanya semasa menyampaikan ceramah pada program Ijtimak Ulama dan Guru-guru Pondok di sini malam tadi.

Pada 8 Januari lalu, Abdul Hadi mengumumkan pendirian pakatan pembangkang yang menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, selepas itu Majlis Syura Ulama Pas memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain berikutan bantahan banyak pihak termasuk golongan alim ulama.

Keputusan Majlis Syura itu bagaimanapun tidak diterima oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyifatkannya tidak mewakili suara majoriti dalam Pas serta menggesa Abdul Hadi meminta badan tertinggi Pas itu mengkaji semula keputusan tersebut.

Gesaan Karpal itu bagaimanapun dibantah oleh beberapa pemimpin Pas termasuk Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan Timbalan Mursyidul Am parti tersebut, Datuk Haron Din yang menyatakan akan mempertahankan kalimah suci itu sehingga akhir hayat beliau.

Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dicetuskan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 25 Disember tahun lalu yang membuat gesaan supaya Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada penganut Kristian menggunakan kalimah itu. - Utusan Online
PRU13: PEMBANGKANG HANYA RAKUS BEREBUT KUASA TIADA HALA TUJU PERJUANGAN

SEMPORNA - Kesepakatan jelas tidak pernah ada dalam prinsip perjuangan parti pembangkang sebaliknya, yang ada hanyalah kerakusan dalam merebut kekuasaan.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, pakatan pembangkang juga tidak berupaya menentukan hala tuju atau dasar perjuangan parti masing-masing.

Bahkan tegas Mohd. Shafie, aspek kesepakatan dalam sekecil-kecil perkara juga tidak pernah dapat dilaksanakan oleh pihak pembangkang.

Katanya, ia jelas terbukti menerusi keputusan Pas secara bersendirian semalam mengumumkan senarai nama calon parti itu yang akan bertanding di Sabah, melibatkan dua nama di peringkat Parlimen dan sembilan nama untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Ia bukan perkara baharu terjadi dalam parti pembangkang kerana sebelum ini Pas mahu meletakkan calon di Labuan, tetapi apabila Anwar Ibrahim datang ke sana, dia umumkan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding.

"Lebih mengejutkan, calon PKR itu pula bukan anak tempatan, sebaliknya calon dari Kuala Lumpur. Ia jelas membuktikan tidak ada kesepakatan di kalangan parti pembangkang," katanya dalam sidang akhbar . – Utusan Online
PIHAK ASING BANTU DAP MENANG PRU13?

Antara kereta bernombor pendaftaran 
negara jiran yang tertera cogan kata 'ubah' 
dijangka masuk ke negara ini pada 
hari mengundi 5 mei depan.
KUALA LUMPUR - Sebuah parti politik dari sebuah negara jiran didakwa membantu secara dekat untuk memberi kemenangan kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ng Lum Yong berkata, menurut sumber yang juga seorang kenalan beliau yang bekerja di negara berkenaan, terdapat satu perancangan besar sedang giat dijalankan untuk membantu membawa pulang pekerja Malaysia membuang undi pada 5 Mei ini dengan tawaran cuti dan elaun khas.

Kata beliau, sebanyak 100 buah kereta dengan nombor pendaftaran negara itu yang tertera cogan kata 'Ubah' dijangka memasuki negara ini pada hari pengundian.

"Kerajaan negara itu melalui parti tersebut akan menanggung segala perbelanjaan rakyat Malaysia yang akan balik mengundi termasuk mereka yang tinggal di negeri berdekatan dan membayar tiket penerbangan jika mereka mengundi di negeri lain.

"Mereka turut diberikan cuti khas dua hari tanpa dikenakan pemotongan gaji iaitu pada 3 dan 6 Mei nanti,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta membuat siasatan berhubung dakwaan serius tersebut kerana membabitkan campur tangan kuasa asing dalam pilihan raya umum negara.

"Nampaknya hubungan antara parti berkenaan dan DAP semakin erat dengan kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Gelang Patah sebagai calon.

"Bersungguh-sungguh parti dari negara jiran itu untuk membantu DAP membuktikan bahawa selama ini mereka sebenarnya tidak pernah berpecah. DAP menjadi sebagai cawangan parti itu di Malaysia,'' katanya lagi. – Utusan Online