Monday, April 15, 2013

PRU13: AHLI BN JANGAN CANTAS JIKA MAHU BN MENANG – TUN M

KUBANG PASU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) supaya menjauhi perbuatan cantas mencantas demi kemenangan parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, semua pihak harus mengambil pengajaran berharga daripada kekalahan banyak calon BN dalam pilihan raya umum lalu termasuk di Kedah yang berpunca daripada sikap sedemikian dalam kalangan pemimpin dan ahli parti setelah gagal menjadi calon.

"Jika kita suka dia kita bagi undi, kalau tidak suka dengan calon itu bukan sahaja tidak bagi undi tetapi berusaha cantas supaya calon itu tidak menang, jadi puaslah hati.

"Tetapi sebenarnya mereka sendiri yang menerima balasan akibat daripada sikap cantas mencantas itu apabila BN kalah di Kedah dan tidak dapat bentuk kerajaan," katanya dalam majlis Bicara Bersama Pemimpin di Bilik Gerakan BN Cawangan Lubuk Kawah di sini hari ini.

Dr. Mahathir menambah, sokongan terhadap parti harus diutamakan bukan bergantung pada siapa yang menjadi calon dalam pilihan raya umum itu demi kelangsungan BN.

"Kita harus utamakan kemenangan BN, bukan siapa yang jadi calon. Tidak penting siapa jadi calon kerana kalau dia menang seorang pun tetap tidak boleh bentuk kerajaan kalau parti kalah," katanya.

Ketika bercakap kepada pemberita, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan strategi Pas yang meletakkan calon bukan Islam di kerusi yang bakal ditandingi mereka.

"Dahulu menuduh BN berkawan dengan orang kafir, kita juga kafir. Sekarang mereka ambil orang bukan Islam jadi calon, ini menunjukkan iman mereka tidak kuat," katanya.

Menyentuh permohonan maaf seorang ahli PKR Parlimen Lembah Pantai yang pernah menggelarnya sebagai Firaun, kata Dr. Mahathir, beliau tidak pernah ambil peduli pelbagai panggilan yang pernah diberikan kepadanya ketika memimpin kerajaan selama 22 tahun dahulu.

"Terima kasih kerana minta maaf daripada saya.”

''Saya sebenarnya tidak pernah rasa marah apabila orang panggil saya Firaun tetapi apabila dia minta maaf, maknanya dia sudah insaf tentang tindak tanduk parti pembangkang, itu lebih penting daripada saya maaf atau tidak," katanya. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment