Wednesday, March 13, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: HENTI BAYARAN KEPADA KETURUNAN KESULTANAN SULU - DR. MAHATHIR

KUALA LUMPUR - Bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu perlu dihentikan kerana mereka telah melanggar syarat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembayaran tersebut diberikan sebagai memegang perjanjian yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

"Syaratnya ialah tidak kacau kita, tetapi sekarang mereka kacau. Mereka bertindak ganas, tak cukup bunuh orang, dia cincang dan pecahkan kepala. Apa jenis manusia ini yang kata Islam.

"Sekarang kita bayar harga lama dan tak boleh minta harga baru, lagipun bukan dia yang memajukan Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas Bicara Tani Dalam Konvensyen Usahawan Tani 1Malaysia 2013, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, kerajaan harus segera menghentikan bayaran itu kerana keturunan kesultanan Sulu tidak mempunyai ‘locus standi’ bagi menerima bayaran berkenaan.

Menurut Dr. Mahathir, sebelum ini, kerajaan telah pun menerima orang Sulu yang tinggal di Sabah.

"Sebenarnya ada wakil rakyat juga terdiri daripada orang Sulu termasuk sekarang ini Yang di-Pertua Sabah, jadi secara tidak langsung orang Sulu sudah menguasai Sabah," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta Peguam Negara mengkaji secepat mungkin berhubung bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada pihak yang mendakwa Sultan Sulu.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan kerajaan melihat semula dari sudut undang-undang sama ada perlu untuk segera menamatkan bayaran tersebut.

Dari sudut sejarah Sultan Sulu telah lama tamat kedaulatannya iaitu sejak 1878.

"Kerajaan harus melihat semula dari sudut undang-undang antarabangsa, undang-undang kontrak dan undang-undang konvensional sama ada perlu kita segera tamatkan bayaran kepada pihak yang kononnya Sultan Sulu itu.

"Dari sudut pengkajian, pada 1903, kuasa Sultan Sulu telah diambil North Borneo Company. Maka, jelaslah berakhir kedaulatan mereka dan kini ada sembilan cabang keluarga diraja Sulu yang kita tidak tahu siapa sebenarnya menjadi ketua dan sultannya," katanya. -UtusanOnline

KD: Buat baik berpada-pada..
SPR YAKIN PRU-13 DIADAKAN SERENTAK DI SELURUH NEGARA TERMASUK LAHAD DATU

KOTA KINABALU — Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak di seluruh negara termasuk di kawasan pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Ini kerana katanya keadaan di kawasan itu, khususnya Kampung Tanduo, bertambah baik dan beliau yakin situasi di situ dan kawasan sekitar akan kembali tenang dalam masa terdekat.

“Saya tidak akan membuat spekulasi mengenai keadaan di Lahad Datu khususnya di Tanduo dan sekitarnya, namun saya cukup yakin dengan usaha pasukan keselamatan, keadaan di situ kembali aman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan taklimat susulan pegawai pengurus, penolong pengurus dan pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi pilihan raya umum ke-13, di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz terdapat dua pusat mengundi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Tunku di kawasan Zon Merah yang diisytiharkan susulan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo pada 12 Feb lepas.

Zon Merah terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tunku yang kini diwakili Barisan Nasional (BN) menerusi Datuk Mohd Suhaili Said. DUN Tunku pula terletak dalam kawasan Parlimen Silam bersama-sama DUN Lahad Datu dan Kunak.

Beliau juga mengesahkan Daftar Pemilih sehingga 31 Dis lepas yang diwartakan pada 22 Feb lalu akan terpakai jika Parlimen dibubar hujung bulan ini.

Bagaimanapun proses pembersihan Daftar Pemilih itu masih diteruskan sehingga Parlimen dibubar, katanya.

Menurut Abdul Aziz, Sabah kini mempunyai 982,644 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya umum akan datang selain 24,497 pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen Labuan.

Beliau berkata SPR akan menempatkan 17,615 petugas di Sabah bagi menguruskan proses pilihan raya di negeri itu yang dijangka menelan belanja RM50 juta, meliputi 25 kerusi parlimen di Sabah dan satu di Labuan serta 60 kerusi DUN.

Mengenai pengangkutan udara dan air khususnya di kawasan luar bandar Sabah, Abdul Aziz berkata perkhidmatan helikopter akan diguna di 86 pusat mengundi, manakala bot pula di 55 pusat mengundi.

Mengenai pasukan penguat kuasa, beliau berkata lima kawasan parlimen iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu, Batu Sapi, Sandakan dan Tawau akan dipantau dua pasukan, manakala di kawasan lain satu pasukan.

Bilangan pengundi pos berdaftar luar negara untuk Sabah ialah 65 orang setakat ini, termasuk 20 di Kota Kinabalu, sembilan masing-masing di Penampang dan Putatan serta lapan di Tawau.

Abdul Aziz turut mengingatkan parti politik yang akan bertanding agar berkempen secara berhemah dan bertanggungjawab tanpa membangkitkan isu sensitive terutama berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

“Saya yakin ‘orang-orang Sabah’ ini baik-baik belaka, tidak ada yang suka memburuk-burukkan orang lain, dan saya fikir, kalau semua pihak betul-betul berkempen (dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan) dan bertanggungjawab, pilihan raya kita akan berjalan dengan baik dan tiada masalah,” katanya.

“Pihak polis kita akan mengawal keadaan di semua kawasan sepanjang tempoh kempen pilihan raya, dan dalam keadaan tertentu, jika perlu, kita boleh juga meminta bantuan dari pihak tentera,” katanya.

Beliau turut menasihati pengundi di Sabah terutama di Lahad Datu agar menunaikan tanggungjawab mereka apabila pilihan raya diadakan.

“Jangan takut dan jangan dengar khabar angin. Keluarlah beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab anda  sebagai pengundi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz meminta para petugas, terutama pengurus dan penolong pengurus  pilihan raya supaya menjalankan tugas mereka dengan adil tanpa  rasa takut atau berat sebelah. — Bernama/TheMalaysianInsider

KD: Benarlah ada pendapat mengatakan, pilihan raya umum kali ini adalah paling panas, sengit dan mencabar.
PENCEROBOHAN PENGGANAS DI LAHAD DATU PENGAJARAN BERGUNA BUAT MALAYSIA 


KUALA LUMPUR— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar.

Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan tentang keselamatan negara, beliau berkata segala usaha akan dilakukan untuk memastikan pasukan keselamatan diberi latihan yang sebaik mungkin, dilengkapi peralatan lebih canggih dan sentiasa bersedia untuk menangani kejadian seperti itu.

“Saya rasa kita telah menikmati suasana aman dan stabil yang begitu lama di Malaysia. Komunis meletak senjata pada 1989 dan sejak itu, Malaysia dilimpahi suasana aman dan stabil dalam tempoh yang cukup panjang.

“Kejadian itu (serangan di Lahad Datu dan Semporna) merupakan ancaman luar dan kita perlu menanganinya. Jadi, sekiranya kami membuat keputusan menambah perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan, janganlah rakyat mempertikaikannya pula.

“Mereka perlu melihatnya sebagai langkah untuk melindungi keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah kita,” katanya dalam program ‘Conversation with the PM’ melalui TV3 malam ini.

Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi tentang keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia, perdana menteri berkata:

“Kita perlu berusaha sedaya upaya untuk memastikan rakyat Malaysia, tanpa mengira di mana mereka berada di negara ini, berasa selamat, terjamin dan masa depan mereka juga dipelihara oleh kerajaan.”

Pasukan keselamatan Malaysia melancarkan ‘Operasi Daulat’ pada 5 Mac selepas pengganas Sulu membunuh lapan anggota polis di Kampung Tanduo dekat Lahad Datu dan Kampung Simunul di Semporna pada 1 dan 2 Mac.

Kumpulan pengganas itu bersembunyi di Kampung Tanduo sejak 12 Feb dan tidak mengendahkan sikap baik kerajaan yang sedia berunding tentang penyerahan diri mereka.

Sehingga kini, 54 pengganas terbunuh dan kira-kira 100 orang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas bersenjata itu.

Najib seterusnya menegaskan bahawa usaha menjamin keselamatan negara bukan sahaja menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan dan kerajaan, tetapi juga semua rakyat Malaysia melalui peranan masing-masing, termasuk memberi sokongan kepada kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia memiliki kemampuan dan aset yang mencukupi untuk melindungi keselamatannya.

 “Saya rasa, untuk menangani pencerobohan bersenjata, kita memiliki aset yang diperlukan, tapi, seperti yang saya nyatakan tadi, peristiwa ini membuka mata kita, di mana terdapat jurang dari segi kemampuan kita, dan kita harap akan dapat merapatkan jurang ini,” kata Najib.

Beliau berkata memandangkan timur Sabah mempunyai lantai laut sepanjang lebih 1,000 km, maka negeri itu menghadapi “cabaran besar” dari segi keselamatan dan sejajar dengan itu, langkah lebih ketat perlu diambil.

“Kita pastinya perlu mempunyai lebih banyak aset dan sistem pengawasan yang lebih berkesan (di sana),” kata beliau.

Ketika melawat Lahad Datu baru-baru ini, Najib mengumumkan penubuhan satu kawasan keselamatan khas yang merentas dari Kudat ke Tawau — kira-kira sepanjang 1,400 km —  untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan di timur Sabah.

Diminta mengulas dakwaan media asing bahawa pengganas Sulu bertindak demikian kerana dihasut pihak tertentu di Filipina, termasuk mereka yang menentang presidennya, Najib berkata:

“Apabila saya bercakap dengan Presiden (Benigno) Aquino, beliau memberitahu saya bahawa pihak mereka akan memulakan siasatan. Sebenarnya, beliau membuat kenyataan yang sungguh menarik iaitu mereka terdiri daripada golongan yang agak miskin.

“Sudah tentu mereka tidak memiliki kemampuan untuk melancarkan operasi seperti itu terhadap Malaysia dan oleh itu, beliau berpendapat mereka mendapat pembiayaan dari tempat lain.

“Apa yang disyaki itu nampaknya mempunyai asas yang cukup kuat, tapi kita perlu membuat siasatan dan bukti yang secukupnya perlu diperoleh sebelum kita boleh menuding jari kepada sesiapa,” katanya.

Ditanya sama ada serangan pengganas di Lahad Datu akan menjejaskan peranan  Malaysia dalam proses damai di selatan Filipina, Perdana Menteri berkata ia merupakan dua isu berlainan kerana proses damai itu melibatkan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Najib berkata pengganas di Lahad Datu agak berbeza daripada MILF dan mereka membuat tuntutan yang aneh dan tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.

“Sebab itulah mereka menggunakan keganasan dan ini sesuatu yang mendukacitakan. Bagaimanapun, kita akan tangani perkara ini dengan cara yang kita fikir wajar,” katanya. —Bernama/TheMalaysianInsider

KD: Biar putih tulang, jangan putih mata.. Sayangi negara Malaysia yang bertuah ini.