Wednesday, March 13, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: HENTI BAYARAN KEPADA KETURUNAN KESULTANAN SULU - DR. MAHATHIR

KUALA LUMPUR - Bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu perlu dihentikan kerana mereka telah melanggar syarat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembayaran tersebut diberikan sebagai memegang perjanjian yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

"Syaratnya ialah tidak kacau kita, tetapi sekarang mereka kacau. Mereka bertindak ganas, tak cukup bunuh orang, dia cincang dan pecahkan kepala. Apa jenis manusia ini yang kata Islam.

"Sekarang kita bayar harga lama dan tak boleh minta harga baru, lagipun bukan dia yang memajukan Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas Bicara Tani Dalam Konvensyen Usahawan Tani 1Malaysia 2013, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, kerajaan harus segera menghentikan bayaran itu kerana keturunan kesultanan Sulu tidak mempunyai ‘locus standi’ bagi menerima bayaran berkenaan.

Menurut Dr. Mahathir, sebelum ini, kerajaan telah pun menerima orang Sulu yang tinggal di Sabah.

"Sebenarnya ada wakil rakyat juga terdiri daripada orang Sulu termasuk sekarang ini Yang di-Pertua Sabah, jadi secara tidak langsung orang Sulu sudah menguasai Sabah," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta Peguam Negara mengkaji secepat mungkin berhubung bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada pihak yang mendakwa Sultan Sulu.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan kerajaan melihat semula dari sudut undang-undang sama ada perlu untuk segera menamatkan bayaran tersebut.

Dari sudut sejarah Sultan Sulu telah lama tamat kedaulatannya iaitu sejak 1878.

"Kerajaan harus melihat semula dari sudut undang-undang antarabangsa, undang-undang kontrak dan undang-undang konvensional sama ada perlu kita segera tamatkan bayaran kepada pihak yang kononnya Sultan Sulu itu.

"Dari sudut pengkajian, pada 1903, kuasa Sultan Sulu telah diambil North Borneo Company. Maka, jelaslah berakhir kedaulatan mereka dan kini ada sembilan cabang keluarga diraja Sulu yang kita tidak tahu siapa sebenarnya menjadi ketua dan sultannya," katanya. -UtusanOnline

KD: Buat baik berpada-pada..

No comments:

Post a Comment