Showing posts with label Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Mahathir. Show all posts

Friday, June 7, 2013

DAP MAHU KUASAI POLITIK MALAYSIA - DR MAHATHIR

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa parti DAP bukan hanya mahu menguasai ekonomi negara semata-mata tetapi juga politik Malaysia.
Dipetik daripada blog CheDet, Dr Mahathir berkata, ia dapat dilihat berdasarkan kepada kebangkitan kaum itu menerusi siri himpunan anjuran pembangkang selepas PRU13 lalu.

Menurut Dr Mahathir lagi, PR yang terdiri daripada gabungan Pas, PKR dan DAP menyaksikan Pas antara parti yang paling banyak tewas, manakala DAP merupakan pemenang paling besar dengan kejayaan memusnahkan kerjasama di antara pelbagai kaum seperti ditunjukkan dalam gabungan BN.

“Pakatan ini jelas memberi keuntungan paling besar kepada cauvinis Cina dalam DAP, manakala Pas, Melayu paling ramai dalam parti Pakatan mendapat keuntungan paling sedikit, dengan memenangi hanya 21 kerusi berbanding 38 kerusi DAP dan 30 dari PKR.

“Sedangkan, jumlah kerusi yang ditandingi Pas paling banyak, ini menunjukkan bahawa DAP berusaha untuk membolehkan golongan Cina yang “sudah pun menguasai ekonomi” untuk turut menguasai politik Malaysia," katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir juga meramalkan bahawa perkembangan itu akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih serius manakala orang Melayu akan terus disisih daripada segi ekonomi dan politik.

“Di dalam dan di luar negara, pemuda Cina memakai baju hitam dan bertopeng membentuk sebahagian besar daripada peserta demonstrasi.

“Walaupun ia dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti PKR, sebahagian besarnya dihadiri kaum Cina terutama golongan muda. Biasanya, orang Melayu yang menjadi majoriti peserta demonstrasi.  Protes itu seolah-olah dilakukan oleh kaum Cina,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah orang Melayu yang sedikit di perhimpunan ini juga boleh dikaitkan dengan “keterasingan” pemimpin Pas dengan demonstrasi tersebut, yang didakwanya sebagai usaha menumbangkan kerajaan dengan cara “Arab Spring”. -Sinar Harian

Friday, May 3, 2013

PRU13: MAHATHIR SIFATKAN KIT SIANG 'BUTA'

BUKIT GANTANG - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang seorang yang 'buta' kerana terus melakukan fitnah mengatakan kononnya Malaysia hanya untuk orang Melayu sahaja.

Berucap dalam majlis ceramah yang dihadiri lebih 5,000 orang di Dataran Simpang di sini malam tadi, Dr. Mahathir berkata, tohmahan Kit Siang itu membuktikan hakikat bahawa pemimpin tersebut sememangnya seorang yang rasis.

Menurut beliau, pemimpin DAP termasuk Kit Siang sengaja melemparkan fitnah seumpama itu semata-mata mahu orang Cina membenci orang Melayu dan akhirnya undi Cina akan berpihak pada parti tersebut.

"Pemimpin DAP ini (Kit Siang) matanya buta. Tak nampakkah bangunan pencakar langit yang ada di Ipoh, Pulau Pinang dan Johor. Apakah ini semua milik orang Melayu? adakah hanya Melayu dapat nikmat? Itu tidak benar, satu fitnah.

"Kaum Cina pun ada rumah besar, ada bangunan besar dan perniagaan besar-besaran seperti Tan Sri Vincent Tan, sama juga dengan kaum India seperti Datuk Seri Tony Fernandes yang memiliki 100 kapal terbang," katanya.

Yang turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Gantang, Datuk Ismail Sapian dan ketiga-tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Datuk Rosli Husin (Changkat Jering), Dr. Zabry Abdul Wahid (Trong) dan Loh Swee Eng (Kuala Sepetang). - UTUSAN ONLINE

Monday, April 29, 2013

DAP UGUT TANGKAP DR. MAHATHIR

KLUANG - Pengerusi DAP, Karpal Singh mengugut untuk menangkap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menghadapkannya ke mahkamah kerana mengeluarkan kata-kata hasutan dengan menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai perkauman.

"Bila kami (pakatan pembangkang) memerintah nanti, kami akan tangkap Mahathir dan hadapkannya ke mahkamah kerana menuduh Kit Siang sebagai rasis (perkauman).

"DAP parti berbilang kaum, mereka kata kami parti orang Cina, saya nak jelaskan saya bukan orang Cina dan boleh jadi Pengerusi DAP," katanya dalam ceramahnya di sini, malam tadi.

Beliau turut mengugut untuk memecat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang didakwanya sebagai tidak berkaliber.

Selain itu, Karpal turut menuduh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak mengikut undang-undang semasa menerima Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Pada 2008, kami menang lima negeri tetapi Sultan Perak (Sultan Azlan Shah) bertindak tidak mengikut undang-undang. Saya ditangkap dan didakwa tetapi saya tidak takut, saya akan lawan dan boleh menang," katanya.

Sementara itu, Karpal berkata, walaupun terhutang budi kepada Pas yang membenarkan parti itu menggunakan lambang parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), DAP tidak akan sesekali membenarkan hukum hudud dilaksanakan.

Karpal dengan angkuh menegaskan walaupun mereka bersama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) namun tidak bermakna DAP menerima konsep negara Islam iaitu hudud.

"Kami (DAP) hargai kerelaan Pas dan PKR meminjamkan simbol mereka kepada DAP ketika isu pemilihan CEC (Jawatankuasa Kerja Pusat) dulu, tetapi tidak bermakna kami menerima dasar Islam kerana Pas dan PKR hanya meminjamkan lambang mereka.

"Kami menerima apa saja yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama rasmi Malaysia pun kami terima," katanya. -UTUSAN ONLINE

Wednesday, April 10, 2013

PRU13: SOKONG BN DEMI KEADILAN, KEAMANAN SEMUA KAUM - DR. MAHATHIR

IPOH - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak rakyat terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) yang selama ini terbukti berjaya memberi keadilan serta keamanan kepada semua kaum berteraskan prinsip perkongsian kuasa.

Menurut bekas Perdana Menteri, konsep tersebut membolehkan setiap rakyat sama ada Melayu, Cina, India serta suku kaum di Sabah dan Sarawak mendapat nikmat daripada kemajuan dan kekayaan negara.

"Saya harap kita dapat kekalkan kerajaan kongsi ini, kerajaan kongsi antara Melayu, Cina dan India dan juga suku kaum di Sabah dan Sarawak.

"Ini supaya setiap daripada kita dapat berkongsi bahagian kita dalam bidang politik, bidang kuasa dan kekayaan negara," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin yang sebahagian besarnya kaum Cina pada Majlis Makan Tengah Hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak di Dewan Tow Boh Keong di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, rakyat tidak seharusnya lupa bahawa konsep perkongsian inilah yang membolehkan negara terus stabil, aman dan membangun sejak merdeka sehingga sekarang.

Menurut beliau, konsep persahabatan antara semua kaum juga merupakan kunci kejayaan Malaysia menjadi lebih maju dan kehadapan berbanding negara-negara yang sebelum ini mencapai kemerdekaan sama dengan negara kita.

"Negara ini juga sudah menjadi lebih kaya daripada zaman Perak mengeluarkan bijih timah dengan banyak. Di zaman itu pun, kita orang Melayu, Cina dan India tidak kaya seperti sekarang.

"Orang Malaysia sekarang bukan sahaja kaya tetapi mempunyai banyak kemudahan seperti jalan raya, kereta api, perubatan, persekolahan dan sebagainya," ujar beliau.

Dr. Mahathir berkata, menerusi konsep perkongsian, tiada satu kaum boleh membolot segala-galanya, sebaliknya setiap kaum perlu membuat pengorbanan hak mereka bagi memastikan negara terus aman dan produktif. – Utusan Online

Wednesday, March 13, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: HENTI BAYARAN KEPADA KETURUNAN KESULTANAN SULU - DR. MAHATHIR

KUALA LUMPUR - Bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada individu yang mendakwa sebagai keturunan Kesultanan Sulu perlu dihentikan kerana mereka telah melanggar syarat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembayaran tersebut diberikan sebagai memegang perjanjian yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.

"Syaratnya ialah tidak kacau kita, tetapi sekarang mereka kacau. Mereka bertindak ganas, tak cukup bunuh orang, dia cincang dan pecahkan kepala. Apa jenis manusia ini yang kata Islam.

"Sekarang kita bayar harga lama dan tak boleh minta harga baru, lagipun bukan dia yang memajukan Sabah," katanya dalam sidang akhbar selepas Bicara Tani Dalam Konvensyen Usahawan Tani 1Malaysia 2013, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, kerajaan harus segera menghentikan bayaran itu kerana keturunan kesultanan Sulu tidak mempunyai ‘locus standi’ bagi menerima bayaran berkenaan.

Menurut Dr. Mahathir, sebelum ini, kerajaan telah pun menerima orang Sulu yang tinggal di Sabah.

"Sebenarnya ada wakil rakyat juga terdiri daripada orang Sulu termasuk sekarang ini Yang di-Pertua Sabah, jadi secara tidak langsung orang Sulu sudah menguasai Sabah," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta Peguam Negara mengkaji secepat mungkin berhubung bayaran penyerahan wilayah tahunan sebanyak RM5,300 kepada pihak yang mendakwa Sultan Sulu.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan kerajaan melihat semula dari sudut undang-undang sama ada perlu untuk segera menamatkan bayaran tersebut.

Dari sudut sejarah Sultan Sulu telah lama tamat kedaulatannya iaitu sejak 1878.

"Kerajaan harus melihat semula dari sudut undang-undang antarabangsa, undang-undang kontrak dan undang-undang konvensional sama ada perlu kita segera tamatkan bayaran kepada pihak yang kononnya Sultan Sulu itu.

"Dari sudut pengkajian, pada 1903, kuasa Sultan Sulu telah diambil North Borneo Company. Maka, jelaslah berakhir kedaulatan mereka dan kini ada sembilan cabang keluarga diraja Sulu yang kita tidak tahu siapa sebenarnya menjadi ketua dan sultannya," katanya. -UtusanOnline

KD: Buat baik berpada-pada..