Wednesday, April 10, 2013

PRU13: SOKONG BN DEMI KEADILAN, KEAMANAN SEMUA KAUM - DR. MAHATHIR

IPOH - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak rakyat terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) yang selama ini terbukti berjaya memberi keadilan serta keamanan kepada semua kaum berteraskan prinsip perkongsian kuasa.

Menurut bekas Perdana Menteri, konsep tersebut membolehkan setiap rakyat sama ada Melayu, Cina, India serta suku kaum di Sabah dan Sarawak mendapat nikmat daripada kemajuan dan kekayaan negara.

"Saya harap kita dapat kekalkan kerajaan kongsi ini, kerajaan kongsi antara Melayu, Cina dan India dan juga suku kaum di Sabah dan Sarawak.

"Ini supaya setiap daripada kita dapat berkongsi bahagian kita dalam bidang politik, bidang kuasa dan kekayaan negara," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin yang sebahagian besarnya kaum Cina pada Majlis Makan Tengah Hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak di Dewan Tow Boh Keong di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, rakyat tidak seharusnya lupa bahawa konsep perkongsian inilah yang membolehkan negara terus stabil, aman dan membangun sejak merdeka sehingga sekarang.

Menurut beliau, konsep persahabatan antara semua kaum juga merupakan kunci kejayaan Malaysia menjadi lebih maju dan kehadapan berbanding negara-negara yang sebelum ini mencapai kemerdekaan sama dengan negara kita.

"Negara ini juga sudah menjadi lebih kaya daripada zaman Perak mengeluarkan bijih timah dengan banyak. Di zaman itu pun, kita orang Melayu, Cina dan India tidak kaya seperti sekarang.

"Orang Malaysia sekarang bukan sahaja kaya tetapi mempunyai banyak kemudahan seperti jalan raya, kereta api, perubatan, persekolahan dan sebagainya," ujar beliau.

Dr. Mahathir berkata, menerusi konsep perkongsian, tiada satu kaum boleh membolot segala-galanya, sebaliknya setiap kaum perlu membuat pengorbanan hak mereka bagi memastikan negara terus aman dan produktif. – Utusan Online

No comments:

Post a Comment