Wednesday, April 10, 2013

MANIFESTO BARISAN NASIONAL (BN)  'MENEPATI JANJI MEMBAWA HARAPAN'


1. Menangani Kos Sara Hidup

Dibuktikan dengan produk 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak Skim Penyeragaman Harga, subsidi pengangkutan dan KR1M sangat membantu turunkan harga barangan, manakala Dasar Argo Makanan Negara telah diperkenalkan untuk pastikan harga bekalan asas makanan terjamin dan terjangkau.

Bantuan RM100 setiap pelajar dan RM250 skim Baucar Buku 1Malaysia membantu meringankan beban perbelanjaan. Bantuan BR1M untuk isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 pula memberikan kelegaan yang disambut baik oleh banyak pihak.

2. Meningkat Kehidupan Warga Bandar

Lebih daripada 70 peratus penduduk Malaysia tinggal di kawasan bandar. Kerajaan BN telah memulakan dan melipatgandakan usaha untuk membawa perubahan bagi menangani corak populasi semasa.

BN akan menstrukturkan semula kerajaan termasuk mewujudkan kementerian baru seiring dengan anjakan corak demogradi bandar di negara ini dan menangani cabaran sosial dan ekonomi bandar.

3. Menyediakan Rumah Mampu Milik

Selain membina rumah baru, masalah unit-unit rumah yang perlu dinaik taraf dan dibaiki juga ditangani oleh kerajaan BN dengan memberi peruntukan dana RM500 juta, manakala sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan untuk membaiki rumah nelayan di seluruh negara.

4. Peluang Mendapat Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti

Kerajaan memberi subsidi kepada 90 peratus perkhidmatan kesihatan bagi memastikan rakyat mendapat rawatan berkualiti pada harga terendah. Klinik 1Malaysia telah pun memperluaskan rangkaian pusat rawatan pesakit luarnya dan kerajaan juga menarik taraf di kawasan luar bandar dan bandar di seluruh negara.

5. Ke Arah Kecekapan Terhebat Pengangkutan Awam

Kerajaan BN telah membina sistem LRT, Monorel dan Komuter serta menambah perkhidmatan bas untuk memenuhi pertumbuhan pengangkutan awam. Pertambahan laluan LRT dan Komuter akhirnya akan menggabungkan sejumlah 34km landasan baru dan 13 stesen baru untuk kawasan Kelana Jaya dan Ampang di Lembah Klang.

6. Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar

Pembangunan infrastruktur membuka bidang pertumbuhan baru yang menggalakkan agihan kekayaan dan pembangunan saksama serta mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih banyak di semua peringkat.

Bagi manfaat komuniti luar bandar, kami telah membina beribu-ribu kilometer jalan raya, menggali beribu-ribu kilometer untuk memasang paip mendirikan beribu-ribu tiang elektrik dan memasang beribu-ribu kilometer talian komunikasi di kawasan pendalaman dan luar bandar.

7. Membina Ekonomi Mapan Dinamik dan Inovatif

Komited memperbaiki lagi kedudukan Malaysia dalam ranking daya saing global. Ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu pelbagai inisiatif transformasi akan mendorong Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

8. Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara

Malaysia menyediakan pendidikan rendah dan menengah secara percuma kepada semua penduduk. Pendidikan prasekolah telah diperluaskan dengan penambahan 1,700 bilik darjah dan pendaftaran kemasukan pelajar mencapai 72 peratus.

Dasar kerajaan BN dalam pendidikan tinggi akan diteruskan dengan penekanan untuk melahirkan graduan berwibawa tinggi dan kebolehpasaran. BN akan terus berusaha meningkatkan kerjaya guru dan menjadikannya profesion pilihan.

9. Meningkatkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam

Usaha ke arah memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa dan selamat berhasil dengan penurunan memberangsangkan dalam keseluruhan indeks jenayah nasional dan indeks jenayah jalanan antara tahun 2009 dan 2012.

Namun, banyak lagi perlu dilakukan termasuk meningkatkan lagi rondaan komuniti untuk memastikan keluarga, kediaman dan keadaan jalan raya negara ini terjamin selamat.

10. Memperkasa Penyertaan Wanita Dasar-dasar kerajaan BN selama bertahuntahun memberi pilihan kepada wanita untuk berada di barisan depan perniagaan dan inovasi tanpa mengetepikan naluri semula jadi mereka sebagai suri rumah.

BN bertekad untuk melakukan lebih banyak lagi untuk wanita. BN akan menambah jumlah wanita yang terlibat dalam proses membuat keputusan nasional.

11. Memenuhi Aspirasi Belia Golongan belia mewakili dua pertiga daripada jumlah penduduk negara dan suara mereka tidak boleh diketepikan dan dipinggirkan.

Kerajaan BN akan terus menyediakan platform untuk belia menunjukkan bakat dan pemikiran mereka. BN akan melahirkan belia lebih berdaya tahun menerusi aktiviti kesukarelawan dalam 1M4U.


12. Merancang Jaringan Keselamatan Sosial Kerajaan BN sentiasa berpegang kepada sistem kebajikan yang meliputi semua lapisan komuniti tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan.

Daripada golongan kurang upaya fizikal dan mental kepada golongan tua dan terpinggir, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan keperluan
asas kepada mereka.
BN akan menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

13. Mempromosikan Agama Islam Kebebasan dan Keharmonian Agama

Kerajaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam diiktiraf menerusi statusnya sebagai negara terulung melaksanakan dan mengamalkan sistem perbankan dan insurans Islam. Kebebasan untuk golongan bukan Islam mengamalkan kepercayaan masing-masing tetap terjamin, terpelihara dan kekal dalam perlembagaan.

BN akan teruskan kerja-kerja Jawatan Keharmonian Antara Agama untuk menggalakkan bukan sahaja toleransi tetapi penerimaan kepelbagaian budaya dan agama di nagara ini.

14. Memerangi Gejala Rasuah

Memerangi dan menghapuskan rasuah akan terus menjadi salah satu keutamaan kerajaan. BN komited untuk memperhebatkan lagi usaha memerangi gejala itu dan memperbaiki kedudukan indeks rasuah termasuk usaha melaksana aku janji integriti untuk Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dun.


15. Memperkukuhkan Perkhidmatan Awam, Menambah Baik Tadbir Urus

Pertumbuhan dan pembangunan negara ini banyak disumbangkan oleh penjawat awam.
Antara usaha yang akan dilakukan termasuk memperkenalkan Skim Gaji Transformasi untuk
penjawat awam.

16. Gerakan Kesederhanaan Global

Kerajaan BN akan menyokong agenda untuk mewujudkan keamanan global, kemakmuran melalui kesederhanaan bagi mengurangkan pengaruh ekstremis yang merosakkan keamanan antarabangsa termasuk dengan usaha berjuang untuk penubuhan sebuah negara Palestin.

17. Memulihara Sumber Semula Jadi

Sumber-sumber semula jadi perlu dilindungi, oleh itu kerajaan BN akan meneruskan usaha membersihkan sungai dan punca-punca air demi memulihara hutan hujan bagi kepentingan generasi akan datang. 

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment