Wednesday, April 10, 2013

'KENYATAAN NIK AZIZ PERLU DIKAJI'


KUALA LUMPUR - Majlis Fatwa Kebangsaan digesa supaya bermuzakarah dan mengkaji kenyataan kontroversi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kebelakangan ini seperti mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan pembinaan masjid oleh kerajaan hanyalah untuk tujuan mendapat kontrak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nasihat, kajian serta ketetapan majlis itu tentang kelantangan dan keceluparan Nik Abdul Aziz amat penting bagi mengelakkan umat Islam tempatan terus dikelirukan dan seterusnya terpesong akidah.

Katanya, beliau yakin jika Majlis Fatwa mengkaji perkara tersebut, kesemua kenyataan Nik Abdul Aziz yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tokoh agama atau ulama itu akan ditolak sama sekali.

Baginya, kenyataan pemimpin tertinggi Pas itu hanyalah bersifat politik semata-mata tanpa bersandarkan kepada dalil-dalil dalam al-Quran.

"Ini satu masalah. Kalau bukan Islam yang kata begitu mungkin kita faham tapi ini ulama dan tokoh. Saya fikir sesuatu perkara yang dilakukannya lebih politik daripada agama dan sebab itu saya kata Pas itu parti ajaran sesat, ada kata parti ajaran songsang.

"Islam tidak patut dinodai hanya oleh kerana ada muslihat politik oleh sesiapa sekalipun. UMNO tidak pernah buat begitu, tidak pernah keluarkan fatwa," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di Gombak, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, Nik Abdul Aziz mengeluarkan 'fatwa' sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan kontrak.

Namun semalam, Nik Abdul Aziz, Pas dan pakatan pembangkang menerima tamparan hebat apabila deklarasi Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz memutuskan haram bagi umat Islam mengundi Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum nanti.

Muhyiddin berkata, beliau percaya ketetapan tersebut dibuat setelah pihak Ulama Pondok menganalisis kepincangan dan penyalahgunaan agama oleh Pas seperti membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Mungkin itu asas-asas yang mereka gunakan sehingga mencapai ketetapan tersebut, saya bukan pakar, itu pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berasa hairan dengan ketidaktentuan nasib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sama ada akan dicalonkan atau tidak pada pilihan raya umum kali ini.

Menurut beliau, percanggahan kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Wan Azizah tidak akan dicalonkan sementara anaknya, iaitu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah menyatakan sebaliknya telah menunjukkan mereka tidak selari dalam membuat keputusan. – Utusan Online

No comments:

Post a Comment