Wednesday, April 10, 2013

MANIFESTO BN HASIL TINJAUAN MESRA DAN MAKLUM BALAS RAKYAT

KUALA LUMPUR - Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentang Sabtu lepas telah dirangka dengan teliti melalui hasil tinjauan mesra serta pelbagai usaha bagi mendapatkan maklum balas daripada segenap lapisan rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri menerusi blog 1Malaysia berkata manifesto itu bukanlah satu manifesto yang direka dalam masa sehari hanya untuk memenangi hati pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Malah saya sendiri telah mengamalkan aktiviti turun padang untuk lebih memahami segala isu dan keutamaan rakyat daripada semua peringkat umur, pendapatan, tempat tinggal, bangsa dan agama.”

“Kerana itulah manifesto ini realistik dan komprehensif bagi memenuhi keadaan sebenar rakyat di masa kini," katanya.

Najib menegaskan bahawa asas kepada manifesto yang disifatkan sebagai Aku Janji kepada rakyat itu adalah untuk kestabilan serta keharmonian negara yang berpanjangan.

Katanya, segala kejadian, pengalaman, kesilapan, dan kejayaan yang lalu diambil iktibar sekali gus dijadikan pedoman dalam meneruskan amanah yang akan dijunjung serta dilunaskan dengan sebaiknya.

Pastinya ada ketidaksempurnaan selama ini, saya akui dan memohon maaf, namun ia menguatkan lagi keinginan kami untuk memperbaikinya demi masa depan Malaysia. Kali ini, kami usulkan 17 bidang utama sebagai janji dan komitmen kami seterusnya," katanya.

Najib dengan rasa rendah diri menyeru rakyat agar yakin dengan kepimpinan beliau dengan memberi sokongan dan undi kepada pasukan beliau iaitu BN dan berjanji akan meneruskan perjuangan dengan memberi harapan kepada rakyat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

Beliau turut mengalu-alukan rakyat untuk mendapatkan ringkasan mengenai 17 intipati Manifesto BN yang diumumkan beliau di hadapan puluhan ribu rakyat di Stadium Putra Bukit Jalil dua hari lepas.

Katanya ringkasan intipati itu boleh didapati di laman blog beliau iaitu www.1malaysia.com.my/manifesto/ manakala teks penuh manifesto boleh dibaca di www.manifestopru13.com. – BERNAMA/ Utusan Online

No comments:

Post a Comment