Wednesday, April 10, 2013

MANIFESTO BN UNTUK MANDAT LEBIH BESAR

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto BN di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam satu perhimpunan politik yang disemarakkan dengan lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ dan lagu ‘Anak Kampung’ yang telah diubah suai untuk menggambarkan semangat manifesto tersebut.

Membuka halaman manifesto itu memberikan kita gambaran mengagumkan tentang Najib dan BN: Najib menyedari betapa beratnya tugas untuk memimpin negara dan gabungan BN yang diterajuinya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Membaca manifesto itu membolehkan kita menginsafi betapa banyaknya kejayaan yang telah kita ukir selama di bawah pemerintahan BN: Ia memperlihatkan begitu kompleksnya perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, dengan pendekatan keterangkuman menyatukan semua rakyat daripada pelbagai kaum, agama, budaya, negeri dan wilayah.

Meneliti manifesto itu mendedahkan kita kepada suatu persepsi yang begitu penting kepada kemanusiaan dan politik: Najib dan BN mempunyai rekod menepati janji yang tidak dapat disangkal, amat komprehensif, bersifat nasional dan mendahului zaman dari segi cara pemikirannya, adil dalam pelaksanaan dasar-dasar serta realistik dalam berjanji.

Najib selaku Pengerusi BN tidak menjanjikan sesuatu yang tidak dapat ditepati. Tidak seperti mainan kata pemimpin parti pembangkang, Perdana Menteri dan BN tidak berjanji untuk memperdayakan pengundi.

Berbeza dengan para pemimpin pembangkang yang berpolitik untuk merobohkan apa yang telah dibina, kuasa yang ada, kepada Najib dan BN, adalah kesinambungan. Beliau tidak menjanjikan apa sahaja yang ada di langit dan di bumi semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

Kandungan manifesto Menepati Janji Membawa Harapan setebal 32 muka surat itu adalah refleksi pegangan politik Najib dan corak perjuangan BN di bawah kepimpinannya. Melalui manifesto itu, kita dapat merasakan bahawa Najib ialah seorang yang dapat diyakini dan kepadanya dapat kita letakkan harapan untuk menentukan untung nasib anak cucu di tanah air yang tercinta ini.

Manifesto itu dimulakan dengan warkah Najib sebagai Perdana Menteri kepada para pengundi yang mencerminkan keperibadian dan latar belakang politiknya sebagai anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein.

Dengan Dewan Rakyat telah pun dibubarkan pada 3 April lalu dan PRU-13 bakal diadakan beberapa minggu lagi, Najib memulakan warkah dalam manifesto itu dengan ayat  rakyat Malaysia yang dikasihi".

Masanya telah tiba untuk kita membuat keputusan. Laluan demokrasi menetapkan bahawa masa depan negara ini berada dalam tangan rakyat. Kuasa rakyat itulah cerminan pilihan raya yang bebas dan adil.

Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein pernah berkata, ‘Tugas kamu kepada negara adalah untuk memenuhi amanah rakyat dengan segala daya upaya’.

Saya melangkah masuk ke bidang politik 37 tahun lalu dan ini adalah kali pertama saya memimpin gabungan BN untuk menghadapi pilihan raya umum. Ia menjadi satu cabaran besar dan tanggungjawab yang berat," kata Najib.

Sebenarnya, tiada perkataan manifesto tertera pada dokumen manifesto yang dilancarkan oleh Najib , tetapi beliau menegaskan dalam warkahnya bahawa para pengasas negara ini menekankan betapa pentingnya komitmen serta pengorbanan.

Rekod kerajaan BN menunaikan janji cukup jelas, tegas Najib, dan inilah rekod transformasi yang beliau mahu dikupas, direnungi dan dihayati oleh 13.29 juta pengundi pada PRU-13 nanti.

Daripada transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi, kita mara dengan penuh yakin dan mantap bagi mencapai liberalisasi yang lebih menyeluruh. – Utusan Online

No comments:

Post a Comment