Thursday, May 17, 2012


PENYAKIT KAKI, TANGAN DAN MULUT 
Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin) dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5-7 hari.
HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus). HFMD merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.Sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak boleh dijangkiti, tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun adalah paling mudah dijangkitinya.
HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Ia merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau tersentuh air liur (drool) yang mana membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.
Tanda dan Gejala
~ Demam
~ Sakit Tekak
~ Ulser pada tekak, mulut dan lidah
~ Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3 - 7 mm) pada tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin).    
    -Vesikel lazimnya pada tapak tangan dan tumit kaki dan ia antara ciri-ciri kemunculannya
~ Sakit kepala
~ Hilang selera makan
Komplikasi
Biasanya tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati merbahaya bila melibatkan sistem saraf dan jantung

Rawatan
Diagnosis dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan sihat. Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.
Aspirin – Aspirin tidak seharusnya digunakan pada kanak-kanak bawah 12 tahun semasa demam disebabkan virus. Air garam bagi membilas mulut (1/2 sudu garam bagi 1 gelas air suam) boleh melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut tanpa menelannya kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.
Nasihat kepada Ibu Bapa / Penjaga

Ibu bapa / penjaga adalah diminta mendapatkan nasihat daripada doktor secepatnya jika anak mereka mendapat tanda-tanda HFMD. Mereka seharusnya peka kepada sebarang perubahan tingkahlaku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan mengantuk. Jika mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau mengantuk, ibu bapa / penjaga hendaklah segera membawa anak mereka ke hospital. Elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke sekolah, pra sekolah atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.

Pencegahan
Pencegahan melibatkan penjagaan kebersihan yang sepenuhnya. Ahli keluarga dinasihatkan supaya dapat mematuhi amalan kebersihan yang sempurna termasuk kerap mencuci tangan supaya dapat mengawal rebakan jangkitan.

~ Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.
~ Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin.
~ Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
~ Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
~ Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
~ Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.

http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Dewasa/PenyakitKakiTangan_Mulut.php


ANGGAP PAS ISLAM BOLEH MURTAD

KOTA BHARU: PAS tidak wajar menggunakan perkataan Islam pada parti itu kerana mereka kini sudah jauh menyeleweng daripada perjuangan asal.

Ahli Jawatankuasa Utama, Minda Pondok Kelantan, Mohamed Zainal Abidin berkata, penggunaan perkataan Islam itu menyebabkan ada menganggap Islam itu PAS dan PAS itu Islam.

Katanya, parti adalah puak atau jemaah, sedangkan Islam itu agama yang tidak boleh disamakan dengan sesuatu dan menganggap PAS itu Islam boleh membawa seseorang itu kepada murtad.

(Sumber:  BHarian18/05/2012)
PAS HILANG TARING TUMPANG PARTI LAIN - PENGANALISIS
PAS kini ibarat parti yang menumpang dan sudah tidak bertaring kerana terpaksa mengorbankan hasrat mewujudkan negara Islam dan melaksanakan hudud selepas ditempelak DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dilihat sudah mengalah selepas enggan mengulas isu itu lagi, berbeza dengan pendirian beliau sebelum ini yang komited melaksanakan hudud jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Penganalisis politik, Profesor Dr Samsul Adabi Mamat berkata, tindakan PAS yang tidak konsisten itu menunjukkan mereka terpaksa mengetepikan ideologi perjuangan Islam yang menjadi teras parti semata-mata mahu menampakkan pembangkang bersatu dan tidak berpecah-belah.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula berkata, semua parti sama ada daripada kerajaan atau pembangkang mesti realistik dengan memberitahu rakyat apa yang sedang dilakukan dan perancangan mereka jika menang pilihan raya kelak.

Katanya, isu ini tidak boleh tergantung kerana ini akan membimbangkan rakyat.

Sumber: BHARIAN 17/05/2012

AHLI DAP MELAYU PATUT CONTOHI TUNKU ABDUL AZIZ

BATU PAHAT: Orang Melayu yang memimpin dan menjadi ahli DAP perlu mencontohi bekas Naib Pengerusi parti, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang keluar parti sebelum disisih secara tidak bermaruah.

Ahli Majlis Tertinggi, UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata DAP bukan parti untuk orang Melayu berjuang dalam politik kerana ia bukan parti pelbagai kaum tulen, tidak demokratik dan sanggup melakukan sesuatu di luar jangkaan.

“Mereka perlu fikir masak-masak dan menghalusi apa yang dikatakan Tunku Abdul Aziz apabila disisihkan daripada parti hanya kerana berbeza pandangan berkaitan isu perhimpunan

“Tunku Abdul Aziz mengambil jalan bijaksana untuk keluar DAP. Ia adalah mesej serta ingatan kepada orang Melayu dalam DAP bahawa parti itu bukan parti pelbagai kaum dan tidak demokratik,” katanya semalam.

Ditanya mengenai kemungkinan UMNO membuka pintu kepada bekas pemimpin dan ahli DAP, Mohd Puad berkata, UMNO bersifat dinamik, tidak tertutup dan matang. Ia terbukti apabila menerima semula ramai pemimpin Semangat 46 sehingga ada yang dilantik menjadi menteri.

Selain itu, kematangan UMNO terbukti apabila berjaya menganjurkan perhimpunan raksasa secara aman di Stadium Bukit Jalil sempena ulang tahun ke-66 parti itu baru-baru ini, berbanding anjuran pembangkang yang mencetuskan huru-hara ketika perhimpunan.

"Sebab itu, saya yakin BN dan UMNO akan mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana perjuangan kita lebih matang dan ke hadapan berbanding pembangkang. Malah, orang Melayu perlu sedar hubungan DAP dengan PAS hanya menguntungkan sebelah pihak, apabila PAS dilihat sering tunduk kepada kehendak DAP," katanya.

Beliau juga berkata, langkah Tunku Abdul Aziz itu memberi tamparan kepada parti itu yang sebelum ini mendakwa menjadi parti pelbagai kaum dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia.

(BHARIAN 17/05/2012)

MAJLIS PEGUAM - PERANAN & FUNGSI
 
Majlis Peguam adalah kumpulan peguam yang dilantik menerusi proses pemilihan untuk mentadbir hal ehwal majlis berkenaan dalam menjalankan fungsi atau kuasa majlis berkenaan. Ahli Majlis Peguam dipilih menerusi pemilihan tahunan berdasarkan seksyen 50 akta terbabit. 

Sementara itu Seksyen 42 akta yang sama pula menggariskan tujuan dan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada Majlis Peguam Malaysia. Antara tujuan dan fungsi umum Majlis Peguam Malaysia yang dinyatakan di bawah seksyen 42 itu termasuklah, antara lain, pertama, untuk mempertahan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya. 

Ini hendaklah dilakukan tanpa terpengaruh oleh perasaan takut atau kasihan. Kedua, untuk menyatakan pendapatnya atas perkara membabitkan perundangan dan pentadbiran dan amalan undang-undang di Malaysia. 

Tugas ini hanya boleh dijalankan sekiranya diminta untuk dilakukan dan ketiga, untuk memlindungi dan menolong orang ramai dalam semua perkara yang menyentuh, berkaitan atau bersampingan dengan undang-undang. 

Ini antara tiga tugas umum Majlis Peguam Malaysia yang tidak berkaitan secara khusus kepada peguam. Walaupun terdapat pelbagai tujuan dan kuasa Majlis Peguam Malaysia yang dijelaskan oleh peruntukan terbabit,  hanya tiga yang disebut kerana ketiga-tiga ini adalah tujuan dan kuasa umum, manakala yang lainnya merujuk kepada kebajikan peguam dan juga hal berkaitan pendidikan undang-undang.

Melalui pentadbirnya Majlis Peguam, Bar Malaysia banyak membuat kenyataan dan menjalankan aktiviti dan membuat kenyataan-kenyataan yang pada ketika-ketikanya disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai mewakili parti-parti politik tertentu.


Walaupun ada kalangan ahli Majlis Peguam hanya menganggap ini satu persepsi, saya tidak fikir persepsi ini harus dibiarkan berterusan. Apatah lagi sekiranya orang awam yang tidak berpendidikan undang-undang pun dapat melihat dengan jelas mengenai wujudnya jurang perbezaan pendapat yang besar di kalangan ahli Bar Malaysia itu sendiri.

Majlis Peguam hendaklah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan persepsi begini. Sekiranya ini dibiarkan berlarutan, ia sudah tentu mengancam kedudukan Bar Malaysia sebagai badan bebas. Ini sudah mula berlaku. Oleh itu, Majlis Peguam hendaklah menjadikan Bar Malaysia sebagai badan peguam yang bukan sahaja bebas, tetapi dilihat bebas oleh semua pihak.

Sesungguhnya, sebagai sebuah organisasi yang terdiri daripada cerdik pandai undang-undang, Bar Malaysia sudah tentu mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Mereka mempunyai suara yang besar. 

Inilah peri pentingnya badan ini menjadi bebas serta mengekalkan identiti sebagai badan yang menjaga profesion undang-undang. Tidak berunsur politik. Dalam situasi negara kita yang setiap perkara mempunyai potensi politik, Majlis Peguam hendaklah bijak mendepani situasi ini. Majlis Peguam menggalas tanggugjawabnya. 

Sebenarnya profesion lain juga boleh terlibat dalam politik. Saintis juga. Saintis boleh terlibat, dalam politik sekiranya mereka tidak bijak. Perkara-perkara melibatkan nuklear dan seumpamanya adalah berpotensi untuk menjadi isu politik. Tetapi, keadaan kita di Malaysia jelas menunjukkan profesion lain tidak begitu ghairah dengan isu politik. 

Bagi mengasingkan diri daripada politik, ada baiknya Majlis Peguam tidak mendekati debat politik. Seharusnya juga memperbetulkan ‘alignment’ perjuangan kepada perkara dasar yang disebut di dalam Akta Profesion Undang-Undang, terutamanya hal-hal berkaitan undang-undang dan pentadbiran keadilan, serta juga kebajikan para ahli. 

Penulis ialah Prof Madya di Kuliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

(Sumber: BHarian 15/05/2012)