Thursday, May 17, 2012

MAJLIS PEGUAM - PERANAN & FUNGSI
 
Majlis Peguam adalah kumpulan peguam yang dilantik menerusi proses pemilihan untuk mentadbir hal ehwal majlis berkenaan dalam menjalankan fungsi atau kuasa majlis berkenaan. Ahli Majlis Peguam dipilih menerusi pemilihan tahunan berdasarkan seksyen 50 akta terbabit. 

Sementara itu Seksyen 42 akta yang sama pula menggariskan tujuan dan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada Majlis Peguam Malaysia. Antara tujuan dan fungsi umum Majlis Peguam Malaysia yang dinyatakan di bawah seksyen 42 itu termasuklah, antara lain, pertama, untuk mempertahan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya. 

Ini hendaklah dilakukan tanpa terpengaruh oleh perasaan takut atau kasihan. Kedua, untuk menyatakan pendapatnya atas perkara membabitkan perundangan dan pentadbiran dan amalan undang-undang di Malaysia. 

Tugas ini hanya boleh dijalankan sekiranya diminta untuk dilakukan dan ketiga, untuk memlindungi dan menolong orang ramai dalam semua perkara yang menyentuh, berkaitan atau bersampingan dengan undang-undang. 

Ini antara tiga tugas umum Majlis Peguam Malaysia yang tidak berkaitan secara khusus kepada peguam. Walaupun terdapat pelbagai tujuan dan kuasa Majlis Peguam Malaysia yang dijelaskan oleh peruntukan terbabit,  hanya tiga yang disebut kerana ketiga-tiga ini adalah tujuan dan kuasa umum, manakala yang lainnya merujuk kepada kebajikan peguam dan juga hal berkaitan pendidikan undang-undang.

Melalui pentadbirnya Majlis Peguam, Bar Malaysia banyak membuat kenyataan dan menjalankan aktiviti dan membuat kenyataan-kenyataan yang pada ketika-ketikanya disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai mewakili parti-parti politik tertentu.


Walaupun ada kalangan ahli Majlis Peguam hanya menganggap ini satu persepsi, saya tidak fikir persepsi ini harus dibiarkan berterusan. Apatah lagi sekiranya orang awam yang tidak berpendidikan undang-undang pun dapat melihat dengan jelas mengenai wujudnya jurang perbezaan pendapat yang besar di kalangan ahli Bar Malaysia itu sendiri.

Majlis Peguam hendaklah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan persepsi begini. Sekiranya ini dibiarkan berlarutan, ia sudah tentu mengancam kedudukan Bar Malaysia sebagai badan bebas. Ini sudah mula berlaku. Oleh itu, Majlis Peguam hendaklah menjadikan Bar Malaysia sebagai badan peguam yang bukan sahaja bebas, tetapi dilihat bebas oleh semua pihak.

Sesungguhnya, sebagai sebuah organisasi yang terdiri daripada cerdik pandai undang-undang, Bar Malaysia sudah tentu mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Mereka mempunyai suara yang besar. 

Inilah peri pentingnya badan ini menjadi bebas serta mengekalkan identiti sebagai badan yang menjaga profesion undang-undang. Tidak berunsur politik. Dalam situasi negara kita yang setiap perkara mempunyai potensi politik, Majlis Peguam hendaklah bijak mendepani situasi ini. Majlis Peguam menggalas tanggugjawabnya. 

Sebenarnya profesion lain juga boleh terlibat dalam politik. Saintis juga. Saintis boleh terlibat, dalam politik sekiranya mereka tidak bijak. Perkara-perkara melibatkan nuklear dan seumpamanya adalah berpotensi untuk menjadi isu politik. Tetapi, keadaan kita di Malaysia jelas menunjukkan profesion lain tidak begitu ghairah dengan isu politik. 

Bagi mengasingkan diri daripada politik, ada baiknya Majlis Peguam tidak mendekati debat politik. Seharusnya juga memperbetulkan ‘alignment’ perjuangan kepada perkara dasar yang disebut di dalam Akta Profesion Undang-Undang, terutamanya hal-hal berkaitan undang-undang dan pentadbiran keadilan, serta juga kebajikan para ahli. 

Penulis ialah Prof Madya di Kuliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

(Sumber: BHarian 15/05/2012)
  

No comments:

Post a Comment