PENYAKIT
KAKI, TANGAN DAN MULUT
Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)
adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air
muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil
manakala tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin) dijangkiti ruam dengan
ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam
sembuh dalam masa 5-7 hari.
HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan
enterovirus). HFMD merebak dari individu ke individu dengan kontak secara
langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka
yang dijangkiti.Sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak boleh dijangkiti,
tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun adalah paling mudah dijangkitinya.
HFMD selalunya terjadi dalam kelompok
kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Ia merebak melalui tangan yang tidak
dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau tersentuh air liur
(drool) yang mana membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke
kanak-kanak lain.
Tanda
dan Gejala
~
Demam
~
Sakit Tekak
~
Ulser pada tekak, mulut dan lidah
~
Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3 - 7 mm) pada tangan, kaki dan kawasan
diaper (lampin).
-Vesikel lazimnya pada tapak tangan dan
tumit kaki dan ia antara ciri-ciri kemunculannya
~
Sakit kepala
~
Hilang selera makan
Komplikasi
Biasanya
tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati merbahaya bila melibatkan
sistem saraf dan jantung
Rawatan
Diagnosis
dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya
lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan sihat.
Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan
gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak
diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.
Aspirin – Aspirin tidak seharusnya
digunakan pada kanak-kanak bawah 12 tahun semasa demam disebabkan virus. Air
garam bagi membilas mulut (1/2 sudu garam bagi 1 gelas air suam) boleh
melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut tanpa menelannya
kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.
Nasihat
kepada Ibu Bapa / Penjaga
Ibu
bapa / penjaga adalah diminta mendapatkan nasihat daripada doktor secepatnya
jika anak mereka mendapat tanda-tanda HFMD. Mereka seharusnya peka kepada
sebarang perubahan tingkahlaku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan
mengantuk. Jika mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau
mengantuk, ibu bapa / penjaga hendaklah segera membawa anak mereka ke hospital.
Elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke sekolah, pra
sekolah atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu
dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.
Pencegahan
Pencegahan
melibatkan penjagaan kebersihan yang sepenuhnya. Ahli keluarga dinasihatkan
supaya dapat mematuhi amalan kebersihan yang sempurna termasuk kerap mencuci
tangan supaya dapat mengawal rebakan jangkitan.
~
Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun
sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan
mencuci najis.
~
Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin.
~
Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta
mainan.
~
Ibu bapa / penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu
sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
~
Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
~
Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah,
pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka
mempunyai tanda-tanda jangkitan.
http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Dewasa/PenyakitKakiTangan_Mulut.php
No comments:
Post a Comment