Saturday, August 31, 2013

KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA..

SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA…

SAYANGI MALAYSIA...

Thursday, August 29, 2013

123 PAWAGAM MULA SIAR LAGU 'NEGARAKU' SEBELUM TAYANGAN FILEM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 123 pawagam di seluruh negara mula menyiarkan lagu Negaraku pada Rabu sebelum tayangan filem sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-56 pada 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, siaran lagu berkenaan akan dilakukan selama seminggu bermula 28 Ogos sehingga 3 September depan.

"Hari ini (Rabu) hari yang pertama. Ada tempat yang sudah mula. Dan saya akan pastikan untuk hari esok dan seterusnya tak ada masalah kerana ia merupakan suatu yang baru, ada beberapa tempat di seluruh negara yang belum menerima CD (cakera padat) lagu untuk ditayangkan.

"Ini adalah masalah di peringkat awal. Kita akan perhatikan perkara ini supaya ia tidak memberi masalah pada hari esok dan seterusnya, serta masa-masa yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelaksanaan tayangan promo, treler dan nyanyian lagu Negaraku sempena Hari Kemerdekaan negara ke-56 di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), Pavilion di sini, Rabu.

Tayangan dimulakan dengan promo yang bertajuk "Tanah Tumpahnya Darahku" dengan tempoh 2 minit 40 saat diikuti "Pesanan Terakhir" (1 minit 33 saat), treler dan nyanyian lagu Negaraku (1 minit 42 saat).

Ditanya sekiranya terdapat pawagam yang tidak menyiarkan lagu itu dalam tempoh berkenaan, Shabery berkata, pihaknya akan membuat pemantauan mengenainya.

"Beberapa pawagam tidak mainkan hari ini atas alasan tidak lagi mendapat CD dan format untuk disesuaikan dengan tempat masing-masing. Ini perkara teknikal yang perlu saya lihat," katanya.

Menurut Shabery, beliau meminta para penonton di pawagam untuk memberikan pandangan mengenai penayangan lagu dan treler tersebut.

"Tanya pendapat mereka. Kalau mereka rasa tidak baik, bantu kami untuk memperbaiki di masa depan.

"Apakah ia akan dibuat lagi pada masa akan datang? Kita akan mendapatkan pandangan orang ramai tentang perkara ini. Saya begitu terbuka," katanya.

Majlis tayangan khas lagu Negaraku pada Rabu disempurnakan oleh Shabery sebelum tayangan filem 'The Conjuring' arahan anak kelahiran Malaysia, James Wan. -mStar
KDN UMUM 49 PERTUBUHAN HARAM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan 49 petubuhan haram di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Senarai itu dikeluarkan pada Khamis oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mengandungi beberapa kumpulan terkenal seperti Geng 04, Geng 08 dan Geng 36.

Berikut adalah senarai penuh pertubuhan haram itu:

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), 
Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi 
mendedahkan senarai lengkap 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara
1) Geng 04
2) Geng 08
3) Double 7
4) Tiga Line
5) Geng 30
6) Geng 38
7) Geng 24
8) Geng 18
9) Geng 36
10) Geng 21
11) Ang Soon Thong
12) Wah Kee
13) Sio Sam Ong
14) PNEH
15) Hong Hong San
16) Hai San
17) Sin Ang Bin
18) New Cell 20
19) Jit It Hai
20) Sio Koon Tong
21) Gee Lam Kor
22) Gee Ah Eng
23) Loh Kuan
24) Tiang Yee Tong
25) Geng Leng Hor
26) Geng 35
27) Geng 303
28) Geng Satu Hati
29) ATAP
30) Hung Ann
31) Sui Yup
32) Otai
33) Borneo Red EMP
34) Ah Ngau
35) Batu Tiga
36) Ah Feng
37) Batu 10
38) Sibu Ti
39) Ah Seng
40) Ah Chin
41) Lee Lung
42) Lo Han
43) Sg Merah
44) Sg Badut
45) Ting Ching Lee
46) Tua Cak Lee
47) Teksi Station
48) Pintu Merah
49) Krokop

Sumber: mStar 

Wednesday, August 21, 2013

OP CANTAS KHAS DIPERHEBAT TANGANI JENAYAH

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiatkan Op Cantas Khas yang dilancarkan sejak Sabtu lalu khususnya di Lembah Klang untuk membendung aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

PDRM dalam laman Facebook hari ini memaklumkan, usaha meningkatkan operasi tersebut adalah selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, pelaksanaan Op Cantas Khas bagi membendung kegiatan jenayah khususnya yang berkaitan aktiviti kongsi gelap serta jenayah yang menggunakan elemen senjata api dan senjata tajam, dipergiatkan di sekitar Lembah Kelang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama semua ibu pejabat polis daerah berkaitan," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, semalam, pemeriksaan melalui sekatan jalan raya telah ditumpukan di kawasan Sentul dan Wangsa Maju di ibu negara.

Di Selangor pula, operasi dijalankan di Batu Caves, Rawang, Pandan Indah, Bandar Sunway Puchong, Dengkil dan Bestari Jaya.

Katanya, sebanyak sembilan pasukan khas terdiri daripada pegawai dan anggota JSJ dari Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur terlibat dalam pemeriksaan tersebut.

Pemeriksaan dijalankan itu bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara. Orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak polis sepanjang operasi ini dijalankan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh masyarakat," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 1,551 individu dan 1,000 kenderaan diperiksa dalam Op Cantas Khas di Lembah Klang semalam.

Hasil pemeriksaan, kita telah menangkap 32 orang kerana terlibat melakukan pelbagai kesalahan jenayah manakala 76 saman terhadap pemandu turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.

Di SHAH ALAM, polis Selangor memaklumkan sebanyak 683 individu yang dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah ditahan sepanjang tiga hari Ops Khas Pencegahan Jenayah di seluruh negeri itu.

Daripada jumlah itu, 211 orang ditahan reman bagi membantu siasatan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah antaranya memiliki senjata, dadah dan lain-lain.

Di MELAKA, polis kontinjen itu memeriksa sebanyak 29 orang, namun tiada tangkapan dibuat dalam operasi di seluruh negeri itu sejak Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, operasi tersebut turut memfokuskan gerakan memburu empat suspek lelaki yang terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai emas di Taman Seri Duyong pada Mac lalu.

Sementara itu, di SEREMBAN, polis menahan lapan lelaki termasuk empat yang tersenarai sebagai orang dikehendaki selepas memeriksa 491 individu dalam Op Cantas Khas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid. - Utusan Online
DUA SKUAD KHAS BANTERAS JENAYAH, DADAH
JAKARTA - Kegelisahan dan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini membuatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tampil memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Mengakui rakyat Malaysia mempunyai asas untuk berasa bimbang, Ahmad Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah menubuhkan dua skuad khas yang berpusat di Bukit Aman khusus memberi tumpuan terhadap usaha menangani jenayah dan mematahkan kegiatan pengedaran dadah.

Menurut menteri berkenaan, kedua-dua skuad khas itu akan memberikan fokus khusus kepada kumpulan sasaran tanpa melalui saluran-saluran birokrasi kepolisian seperti kelazimannya.

"Rakyat ada asas untuk bimbang kerana kejadian tembak, membunuh berlaku hampir setiap minggu. Saya juga ada bukti peningkatan dari segi statistik (indeks) jenayah khususnya di kawasan-kawasan red spot," kata Ahmad Zahid kepada wartawan di sini hari ini.

Pada masa sama, pengenalan Op Cantas juga, jelas beliau, merupakan komitmen berterusan PDRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dihapuskan.

Op Cantas merupakan antara langkah proaktif PDRM dalam memberi tumpuan kepada usaha pencegahan di seluruh negara khususnya sejumlah kes tembak dilaporkan di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Justeru, Ahmad Zahid meminta semua pihak khususnya rakyat Malaysia tidak skeptikal terhadap usaha-usaha membanteras jenayah yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, langkah membasmi jenayah yang dibuat termasuk melancarkan 'perang' habis-habisan terhadap penjenayah jangan sesekali dipandang ringan kerana PDRM begitu komited dan serius mewujudkan rasa kepuasan dan kebolehpercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa itu.

"Langkah-langkah yang dibuat jangan disanggah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang merasakan kita (PDRM) telah melakukan sesuatu yang di luar batas-batas yang diizinkan.

"Inilah harga yang terpaksa dibayar apabila kumpulan yang melakukan jenayah ada di mana-mana (selepas EO dihapuskan)," tegas beliau lagi.

Melalui Op Cantas, Ahmad Zahid berkata, kesemua penjenayah yang ditahan oleh pihak berkuasa akan didakwa berlandaskan siasatan terperinci serta dibawa ke pengadilan memandangkan undang-undang pencegahan sudah dihapuskan.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid juga mempertahankan tindakan PDRM yang terpaksa menembak mati penjenayah dalam operasi memandangkan itu langkah terakhir untuk mempertahankan nyawa.

"Jika mereka (penjenayah) melakukan langkah yang agresif maka PDRM tak ada pilihan selain daripada mempertahankan diri. Apa yg berlaku ialah penjenayah mencabar PDRM," ujar Ahmad Zahid lagi. - Utusan Online