Thursday, September 27, 2012

ANWAR SINDIR UMAT ISLAM EMOSI BANTAH FILEM HINA NABI MUHAMAD SAW

Ketika majoriti umat Islam di seluruh dunia membantah filem 'Innocence of Muslims' yang menghina Nabi Muhamad SAW, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula bertindak sebaliknya dengan menempelak tindakan bantahan itu sebagai beremosi dan cepat melenting.

“Tindak balas ganas terhadap filem yang menghina Islam, dia (Anwar) bersetuju bahawa terdapat satu ‘masalah dalam jiwa umat Islam..mudah marah dan emosi,” lapor Eddie Barnes, wartawan The Scotsman, media terbitan British, ketika menemu bual Anwar semasa Ketua Pembangkang itu melakukan lawatan ke United Kingdom baru-baru ini.

Wartawan The Scotsman melaporkan kata-kata Anwar itu dalam artikel yang bertajuk, “Eddie Barnes: Tough challenge to heal the divides in Malaysia“.

Wawancara itu turut dimuat turun di laman peribadi Anwar, anwaribrahimblog.com.

Ketika disoal tentang bantahan pemerintah Malaysia terhadap filem itu, Anwar berkata, “mereka berpura-pura bercakap membela Islam apabila mereka terang-terangan korup dan tidak adil. Itulah sikap kumpulan yang sedang memegang kuasa.”

Eddie Barnes juga turut melaporkan cemuhan Anwar terhadap langkah kementerian pendidikan Malaysia yang menerbitkan satu garis panduan mengenal pasti kecenderungan homoseksual di kalangan pelajar, sebagai langkah ‘gila’. -AIDCNews /gerakan-anti-pkr.blogspot.com

KD: Apa yang diharapkan dari seorang pemimpin Islam yang menganggap bantahan aman terhadap filem biadap yang menghina Rasulullah sebagai reaksi berlebihan dan hipokrasi? Juga, apakah yang diharapkan dari seorang pemimpin Islam yang rela berdemonstrasi dan untuk perkara-perkara yang bukan isu, termasuk untuk melepaskan diri sendiri dari undang-undang tetapi enggan berdemonstrasi untuk membela Rasulullah SAW? Akhir sekali, apa yang diharapkan dari seorang pemimpin Islam yang sanggup menyanjung karya yang menghina Islam dan Rasulullah SAW? Sama-samalah kita menilai pendirian pemimpin ini.

MAJLIS PEGUAM CADANG TUBUH SURUHANJAYA PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia mencadangkan agar sebuah suruhanjaya tetap dan bebas ditubuhkan untuk menjalankan kajian serta menasihati parlimen berkaitan pembaharuan undang-undang.

Presidennya Lim Chee Wee bagaimanapun berkata suruhanjaya yang ditubuhkan ini perlu terbabit dalam perundingan secara terangkum, terbuka dan telus.

"Anggota suruhanjaya ini boleh diambil daripada kalangan hakim, peguam, ahli akademik dan masyarakat sivil yang berpengetahuan mendalam serta berpengetahuan luas," kata Lim ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2012 di sini, Rabu.

Lim berkata suruhanjaya pembaharuan undang-undang ini, yang bertanggungjawab kepada parlimen, boleh dan sewajarnya mendapat bantuan daripada Pusat Kajian Undang-undang dan Perundangan Antarabangsa.

Merujuk kepada hukuman ringan yang dikenakan terhadap dua lelaki yang merogol gadis bawah umur baru-baru ini, beliau berkata kemarahan yang disuarakan banyak pihak berhubung perkara itu menunjukkan perlunya langkah tertentu diambil untuk memberi kefahaman mendalam tentang isu berkenaan.

Sehubungan itu, kata beliau, badan itu menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa kerajaan akan menimbang untuk menubuhkan majlis hukuman bagi memastikan wujudnya ketekalan dalam hukuman yang putuskan oleh mahkamah.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian, Lim berkata penerimaan dana asing bukan suatu kesalahan selagi ia mematuhi undang-undang negara.

Malah, kata beliau, Badan Peguam Malaysia juga menerima dana asing untuk projek tertentu. BERNAMA/MStar
SELANGOR SEDIA BINCANG ISU AIR DENGAN KERAJAAN PUSAT

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu air di negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu akan dinyatakan melalui surat balas yang akan dihantar kepada Muhyiddin.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menjemput Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersama-sama membincangkan isu air dan jemputan itu akan dinyatakan melalui surat saya kepada beliau yang akan dihantar selewat-lewatnya dalam tempoh dua hari ini," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Beliau berkata kerajaan negeri percaya perbincangan itu akan membawa keputusan positif kepada industri air serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Saya kira Timbalan Perdana Menteri perlu tahu beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum kerajaan negeri boleh membuat tawaran kepada syarikat-syarikat konsesi yang sekarang ini diberi tempoh lanjutan untuk beroperasi dari bulan ke bulan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya.

Kerajaan persekutuan telah menghantar surat kepada kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu air yang dibangkitkan termasuk mengenai soal pengambilalihan syarikat konsesi.

Muhyiddin yang dilantik kabinet untuk menyelesaikan isu berkenaan, sebelum ini berkata surat itu dihantar pada 19 September lepas.

Surat itu sebagai respons kepada perkara yang dibangkitkan Menteri Besar Selangor berhubung isu tersebut untuk penstrukturan semula bekalan air.