Tuesday, June 19, 2012

AKAUN RM3BILION: MURAD KHALID SEDIA BERI KERJASAMA


KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid, bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, jika dikehendaki, berhubung dengan pengendalian akaun-akaun sejumlah RM3 bilion yang beliau percaya melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Murad dalam satu kenyataan pada Isnin yang diperolehi Bernama mengesahkan bahawa beliau pernah membuat akuan bersumpah pada tahun 1999 berhubung dengan pengendalian akaun-akaun itu.

Bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan dari akhbar baru-baru ini, Abdul Murad berkata: "Saya telah memberi keterangan-keterangan yang diminta oleh pihak berkuasa.

"Dan saya juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, jika dikehendaki."

Dalam pendedahannya pada kira-kira 13 tahun lepas itu, Abdul Murad dilaporkan mendakwa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.

Pelbagai pihak terutamanya di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan mendesak Anwar memberi penjelasan berhubung dakwaan Abdul Murad itu. –Mstar Online


KD: Pernah dengar lagu ini?: 
"Tanya sama pokok, apa sebab goyang? nanti jawab pokok, angin yang goncang.
  Tanya sama angin apa sebab hujan, nanti jawab angin, tanyalah awan..
  Awan nanti kata aku kandung air, sampai tempat sejuk aku pun cair..
  Lihat dalam air nampak bayang2, campak satu batu bayang pun hilang.." 
Jadi, dalam kes ini, siapakah pokok, angin dan awan??

BN PULAU PINANG GESA SEMAK SEMULA ISU PENSWASTAAN PELABUHAN


 


GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menggesa kerajaan Persekutuan membawa semula isu penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada perhatian Majlis Ekonomi Negara (NEC) untuk semakan semula dan perbincangan.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata keputusan itu dibuat selepas BN Pulau Pinang mengadakan dialog dengan pemain industri mengenai penswastaan pelabuhan itu dan menurutnya maklum balas itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Teng berkata NEC patut melihat penswastaan itu daripada aspek kepentingan pelabuhan itu, seperti kecekapan, keperluan industri perkapalan, sentimen penduduk Pulau Pinang dan peranan pelabuhan itu dalam menawarkan perkhidmatan kepada golongan perniagaan di Pulau Pinang.

Teng turut meminta kerajaan negeri supaya tidak mengelirukan rakyat dengan mencampur-adukkan isu status pelabuhan bebas dengan penswastaan pelabuhan itu kerana ia sebenarnya membabitkan antara struktur cukai dan operasi pelabuhan. -MStar Online


KD: Pelabuhan Pulau Pinang adalah aset penting negeri itu. Segala keputusan sama ada untuk mengswastakan atau tidak pelabuhan itu, memerlukan kajian dan perbincangan yang telus serta menyeluruh. Janganlah aset penting ini dipolitikkan, kerana kesilapan membuat keputusan akan hanya mendatangkan kerugian dan pertelingkahan yang tiada penamatnya.
PAS KELANTAN NAFI SKANDAL DINAR EMAS


KOTA BARU: Kerajaan PAS Kelantan menafikan sebarang dakwaan salah laku pengurusan kewangan membabitkan seorang pegawai kanan Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT) iaitu sebuah syarikat pengeluar mata wang dinar dan dirham.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata dakwaan terhadap kerajaan negeri berhubung isu berkenaan adalah tidak berasas dan menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada agenda politik kotor pihak tertentu.

"Hasrat mereka ialah untuk wujudkan perspektif negatif terhadap kami dan semua dakwaan dalam media itu adalah tipu," katanya kepada pemberita di Konvensyen Halal di sini, Isnin.

Husam berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media berhubung KGT iaitu sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang didakwa terlibat dalam skandal salah laku dan penipuan membabit seorang pegawai kanannya.

Dalam pada itu Husam berkata beliau sedia disiasat pihak polis berhubung dakwaan itu bagi membersihkan namanya dan syarikat terbabit.

"Sehingga kini tidak ada mana-mana pegawai yang dipanggil pihak polis. Kami akan memberi kerjasama yang sebaiknya kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mahu menjalankan siasatan," katanya.

Sementara itu Husam yang juga Naib Presiden PAS turut mencabar pihak berkenaan agar mendedahkan nama pegawai yang didakwa terlibat dalam skandal berkenaan.

"Saya menafikan terlibat atau mempunyai jaringan dengan individu berkenaan dan mereka seharusnya menyiasat semua fakta sebelum menyerang kami," katanya.


KD: Kerajaan Negeri Kelantan tidak boleh mendiamkan diri. Tindakan perlu diambil dengan kadar segera. Buat sementara waktu, wajarlah penjualan Dinar Dirham Kelantan perlu digantung sementara. Dengan penglibatan bersama para ulama, audit perlu dilakukan terhadap matawang syariah yang dijual oleh Kelantan Gold Trade.

NAMA 900 PESALAH RASUAH DIPAPARKAN DALAM LAMAN WEB SPRM

PUTRAJAYA: Lebih 900 individu yang didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah termasuk personaliti berprofil tinggi disenaraikan dalam laman web yang lengkap dengan gambar, data peribadi dan sejarah kes.

Pangkalan data pesalah dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang dipaparkan dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau memberi rasuah.
  • Profil berkenaan yang diwujudkan pada 1 Januari 2010 sentiasa dikemas kini tetapi nama setiap pesalah akan dikeluarkan selepas tiga tahun. 
  • Pesalah rasuah terdiri daripada ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri.
  • Sejarah kes di kalangan setiap pesalah membabitkan tuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam pembela.
  • Carian boleh dilakukan berdasarkan nama atau nombor kad pengenalan pesalah.
  • Status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata, "Ada segelintir individu mengadu bahawa pangkalan data tersebut berniat untuk memalukan mereka. Namun, pendirian kami adalah untuk mendidik orang ramai bahawa kesalahan rasuah adalah begitu serius. Kami mahu memberi kesedaran mengenai hukuman yang akan diterima jika mereka menerima atau memberi rasuah." -MStar Online


KD: Satu tindakan yang baik oleh SPRM. Bukanlah berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak, tetapi tindakan sebegini mungkin boleh menjadi pengajaran atau iktibar khususnya kepada individu yang terbabit dan pihak-pihak yang lain dari terjebak dalam aktiviti rasuah. Semoga gejala rasuah di negara ini berkurangan, sekaligus dapat dihapuskan.