Tuesday, June 19, 2012

NAMA 900 PESALAH RASUAH DIPAPARKAN DALAM LAMAN WEB SPRM

PUTRAJAYA: Lebih 900 individu yang didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah termasuk personaliti berprofil tinggi disenaraikan dalam laman web yang lengkap dengan gambar, data peribadi dan sejarah kes.

Pangkalan data pesalah dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang dipaparkan dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau memberi rasuah.
  • Profil berkenaan yang diwujudkan pada 1 Januari 2010 sentiasa dikemas kini tetapi nama setiap pesalah akan dikeluarkan selepas tiga tahun. 
  • Pesalah rasuah terdiri daripada ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri.
  • Sejarah kes di kalangan setiap pesalah membabitkan tuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam pembela.
  • Carian boleh dilakukan berdasarkan nama atau nombor kad pengenalan pesalah.
  • Status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata, "Ada segelintir individu mengadu bahawa pangkalan data tersebut berniat untuk memalukan mereka. Namun, pendirian kami adalah untuk mendidik orang ramai bahawa kesalahan rasuah adalah begitu serius. Kami mahu memberi kesedaran mengenai hukuman yang akan diterima jika mereka menerima atau memberi rasuah." -MStar Online


KD: Satu tindakan yang baik oleh SPRM. Bukanlah berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak, tetapi tindakan sebegini mungkin boleh menjadi pengajaran atau iktibar khususnya kepada individu yang terbabit dan pihak-pihak yang lain dari terjebak dalam aktiviti rasuah. Semoga gejala rasuah di negara ini berkurangan, sekaligus dapat dihapuskan.



No comments:

Post a Comment