Friday, August 3, 2012

AES KESAN KESALAHAN PEMANDU MULAI SEPTEMBER INI
AES dipasang di Putrajaya untuk proses percubaan.

PUTRAJAYA: Bermula September ini, lebih 1,000 kamera akan memantau keadaan trafik di seluruh negara di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ia merangkumi 566 kamera had laju, 265 kamera lampu isyarat dan 250 kamera bergerak.

Kementerian Pengangkutan adalah pemilik AES manakala agensinya akan bertanggungjawab melaksanakan sistem tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata sistem tersebut telah diuji di lebih 10 lokasi dengan setiap kamera berupaya mengesan kira-kira 600 pesalah setiap hari.

"AES akan mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat. Terdapat imej 12mb untuk menunjukkan masa, tarikh dan lokasi pesalah.

"Sistem tersebut telah mengurangkan kadar kemalangan di negara lain. Kajian menunjukkan bahawa pengguna jalan raya dipengaruhi oleh Persepsi Akan Ditangkap (POBC) iaitu kira-kira 20% di Malaysia manakala yang ideal ialah melebihi 80%," katanya dalam temu bual.

Beliau berkata, adalah mustahil untuk menempatkan setiap pegawai bagi melakukan pemeriksaan di semua lokasi strategik.

"Sistem tersebut boleh mengimbangi halangan ini," katanya.

Sebaik saja AES digunakan sepenuhnya, pengguna jalan yang ingkar akan menerima saman dalam tempoh dua minggu dari tarikh kesalahan.

AES diserahkan kepada dua syarikat.

"Kami tidak perlu membayar kepada mereka kerana mereka akan menerima potongan saman yang dikeluarkan. Namun peratusannya masih belum ditentukan.

"Syarikat tersebut bertanggungjawab untuk membangun dan menyelenggara sistem itu untuk tempoh lima tahun. Selepas itu, kami akan menentukan sama ada mahu membiarkan mereka meneruskan tanggungjawab itu atau membiarkan mereka membeli sistem itu pada harga RM800 juta," katanya.

Solah berkata, sistem itu akan digunakan untuk mengesan semua kesalahan trafik, bukan hanya membabitkan pemanduan melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

20 HARGA BARANGAN DIKAWAL SEMPENA AIDILFITRI
 
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan 20 jenis barang runcit yang diletakkan di bawah Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh kuatkuasa skim kawalan harga itu ialah selama 15 hari, mulai 12 hingga 26 Ogos.

"Semua peniaga perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal untuk mudah membezakan dengan barang-barang lain," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata, peniaga yang gagal berbuat demikian dan tidak mematuhi peraturan harga di bawah skim itu akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.

Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna untuk memastikan semua peraturan dipatuhi, katanya.

Harga maksimum bagi barang terkawal itu ialah untuk ayam hidup (RM5.70); ayam standard yang disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal (RM6.80); ayam super yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal (RM7.60).

Daging lembu tempatan (RM22.00); daging lembu import-harga maksimum di Sarawak sahaja (RM24.00); daging kerbau tempatan (RM21.00); dan daging kerbau import India (RM13.50).

Selain itu telur ayam gred A (RM0.35 sen), gred B (RM0.34 sen) dan gred C (RM0.33 sen); kubis bulat import-Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing (RM3.20); cili merah (RM10.00); dan tomato (RM4.50).

Kelapa parut-harga maksimum di peringkat runcit sahaja (RM6.00); kacang tanah import (RM6.50), bawang merah kecil India (RM5.00); bawang besar import (RM2.50), bawang putih China (RM7.50), ubi kentang import China (RM3.00); dan ikan kembung (RM12.00).

Ismail Sabri berkata, senarai harga berkenaan adalah berdasarkan di WilayahPersekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana untuk beberapa negeri tertentutermasuk di Sabah dan Sarawak terdapat sedikit perbezaan harga.

Aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim itu boleh dibuat menerusi emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my, atau talian bebas tol 1-800-886-800, SMS ke 15888 dengan menaip "KPDNKK ADUAN " atau lapor terus di pejabat KPDNKK di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan menyiasat berhubung aduan kenaikan harga simen sebelum sebarang tindakan diambil kerana simen tidak tertakluk di bawah barang kawalan.

"Jika siasatan mendapati kenaikan harga barang itu melampau dan sengaja dinaikkan tanpa alasan munasabah, tindakan boleh dikenakan," katanya. – BERNAMA

KD: Berikut merupakan jadual harga bagi 20 barangan tersebut:

PARTI KOMPONEN BN DISARAN LETAK LEBIH RAMAI CALON MUDA PADA PRU-13

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin mencadangkan presiden parti-parti komponen BN memberi ruang kepada calon pergerakan Pemuda masing-masing untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Langkah itu dapat memantapkan serta memberi kesegaran kepada imej parti kerana orang muda mungkin mempunyai kelebihan tersendiri, katanya.

"Saya hanya dapat suarakan bagi pihak Umno dan sampaikan senarai kepada presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak), tapi rakan komponen lain saya harap presiden mereka akan senaraikan kepada pengerusi BN iaitu Perdana Menteri," kata Ketua Pemuda Umno itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Anggota Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Turut hadir Pengerusi Pemuda MIC, T.Mohan dan timbalannya V.Mugil.

Mengenai pertemuan itu, Khairy berkata, ia antara lain bertujuan membincangkan mengenai persiapan PRU-13 terutamanya dalam mendapatkan sokongan masyarakat India khususnya pengundi atas pagar. - BERNAMA