Tuesday, November 26, 2013

PR NAFI GST ELAK NEGARA BANGKRAP

KUALA LUMPUR - PR menafikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mampu menjadi instrumen ekonomi bagi mengelakkan negara daripada menjadi muflis.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa GST bukanlah 'cukai ajaib' yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi negara sebaliknya kegagalan kerajaan mengatasi kelemahan pengurusan kewangan akan menyebabkan negara bangkrap.

Sumber: Sinar Harian
PKR GESA MANSUH AP GULA

KUALA LUMPUR - PKR mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga lebih rendah dibuka sekali gus dapat menurunkan harga gula tapis di pasaran.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli mendakwa, apabila monopoli AP membeli gula mentah dimansuhkan, ia akan memberi peluang kepada banyak syarikat untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis pada harga yang lebih murah.

"Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

"Keengganan BN melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengesahkan dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu bahawa kerajaan telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran.

Dalam pada itu, Rafizi turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak swasta sedangkan keuntungan adalah milik swasta.

"Kenapa dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan.

"Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia," katanya.

Sumber: Sinar Harian

JAWATAN PRESIDEN PKR: ANWAR MAKIN TERJERAT

SHAH ALAM - Cadangan untuk meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti itu akan "menjerat" diri.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, cadangan itu akan membuat Anwar tersepit di antara  kepentingan peribadi dan parti.

Menurutnya, walaupun cadangan itu dilihat untuk menyelesaikan masalah dalaman parti yang berlaku namun ia tidak mudah untuk selesaikannya.

"Pindaan perlembagaan parti itu untuk meletakkan Anwar sebagai Presiden akan menjeratkan diri Anwar.

"Ini kerana Anwar ada anak dan isteri serta sahabat paling setia iaitu (Mohamamed) Azmin Ali.

"Memang cadangan itu untuk menyelesaikan isu dalaman dalam parti yang semakin teruk tetapi, Anwar sendiri akan terjerat antara parti dan kepentingan peribadi," katanya kepada Sinar Harian Online,  hari ini.

Semalam, media melaporkan, seorang anggota perwakilan PKR mencadangkan Anwar mengambil alih jawatan presiden berdasarkan sumbangan dan pengorbanannya kepada parti.

Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara itu juga sah mengikut perlembagaan parti itu.

"Inilah saat terbaik untuk Anwar mengambil alih dan menerajui kepimpinan PKR sebagai pemimpin utama parti," katanya.

Susulan itu, Anwar telah menyatakan akan menunggu perlembagaan yang dipinda diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum membuat keputusan.

"Kita tunggu ROS luluskan pindaan dahulu.

"Saya 'enjoy' dengan diri saya sekarang, kenapa saya... (dipilih)," katanya.

Sehubungan itu, Azizuddin juga berkata, pelantikan Anwar menjadi presiden adalah masa yang sesuai untuk menguatkan perpaduan di dalam parti.

"Mungkin relevan Anwar nak jadi presiden sekarang untuk selesaikan dan kukuhkan kembali PKR.

"PRU14 pun lambat lagi, dia masih ada masa yang cukup untuk berbuat demikian.

"Tapi Anwar tetap juga kena bertanding untuk jawatan tersebut," katanya.


Sumber: Sinar Harian
JANGAN TANGGUH MUZAKARAH PAS-UMNO

IPOH - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap muzakarah antara Pas dan Umno tidak ditangguhkan dan meminta semua pihak menerima baik kesediaan dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, apa yang diperkatakan Abdul Hadi adalah satu langkah yang telah didendangkan sekian lama namun masih belum terlaksana.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Secara peribadi katanya, bermuzakarah adalah langkah baik dan harus dilihat dengan roh atau semangat ikhlas yang dibuat Abdul Hadi dan kepimpinan Pas.

“Perkara itu bukan satu tawaran hanya kepada Umno atau BN umumnya, tetapi juga kepada kumpulan ulama, cendekiawan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tanpa mengetepikan agama lain.

“Apabila kita mahu fokus dalam memperjuangkan Islam, kita harus tahu bahawa agama lain harus dihormati,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
BEKAS GURU PERCAYA ADIKNYA JADI HAMBA DI LONDON
SHAH ALAM - Sebuah keluarga di Negeri Sembilan mengesahkan wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.

Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab dari Jelebu berkata, beliau yakin adiknya yang berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu.

Kehilangan Aishah katanya menyebabkan keluarganya berasa cukup sedih. Malah ujar Kamar, ibunya telah meninggalkan wasiat supaya Aishah  dijejaki.

"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.

"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya dipetik The Daily Telegraph.

Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwel untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London.

Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.

Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London.


Sumber: Sinar Harian
MUZAKARAH: BINCANG BERKAITAN ISLAM, BUKAN IDEOLOGI 

MuzakarahKUALA LUMPUR - Kesediaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno hanya berhubung kait dengan Islam dan tidak menyentuh ideologi parti, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Bekas Naib Presiden Pas itu berkata, Umno perlu menyatakan pendiriannya jika benar-benar mahu bekerjasama dengan Pas dalam memastikan syariat Islam dapat dilaksanakan dengan baik di negara ini.

"Sekarang terpulang pada Umno atas apa isu sekalipun. Perkara ini bukan sebab nak sertai Umno.

"Kita setuju nak bekerjasama untuk muzakarah. Isu ini berkaitan dengan pelaksanaan syariat Islam di Malaysia," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, jika Umno serius untuk Malaysia melaksanakan hukum Islam secara sepenuhnya, Umno perlu bersetuju sebagai tanda kesungguhan mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli pula menyifatkan muzakarah itu sangat penting dalam memastikan syariat Islam dipatuhi.

"Cuma terpulang pada keputusan dan kemudian perlaksanaannya. Teorinya sangat baik, tetapi perlaksanaan satu hal yang lain.

"Pelaksanaan berdasarkan kerjasama dari muzakarah itu dan perlu mengikut kesesuaian semasa," katanya.

Sumber: Sinar Harian
TAK BOLEH PRASANGKA BAGI JAYAKAN MUZAKARAH

KUALA LUMPUR - Prasangka buruk tidak boleh wujud dalam kalangan anggota Pas dan Umno sekiranya mahu menjayakan muzakarah antara Pas dengan Umno.

MuzakarahAhli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sudah tiba masanya Pas dan Umno bermuzakarah demi menjaga kepentingan Islam dan hak istimewa orang Melayu di negara ini daripada terus dipertikaikan pihak tertentu.

"Kita hendaklah mempunyai prasangka yang baik supaya muzakarah ini berjaya dan umat Islam serta orang Melayu dapat bersatu. Saya sebagai ahli umno sangat mengalu-alukan muzakarah di antara Pas dengan Umno," katanya anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyatakan kesediaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno dalam usaha melaksanakan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Zahidi berkata dalam senario politik hari ini DAP sentiasa mempertikaikan hak istimewa orang Melayu termasuk kepentingan Islam iaitu DAP dilihat tidak mempedulikan pandangan Pas sebagai pakatan pembangkang.

"Mereka (DAP) sentiasa mempertikaikan Pas dan tidak ada gunanya mereka (Pas) bersama DAP lagi. Oleh itu maka eloklah diadakan muzakarah kerana sampai masanya umat Islam dan orang Melayu bersatu dan ini merupakan satu tuntutan dalam agama," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, orang Melayu dan orang Islam perlu duduk berbincang untuk masa depan anak cucu memandangkan sudah ada golongan tertentu yang begitu berani mencabar kedudukan agama Islam dan Raja-raja Melayu.

"Ini semuanya berlaku kerana mereka (golongan tertentu) melihat orang Melayu dan Islam begitu lemah sehingga mereka merasakan bahawa mereka yang lebih berkuasa untuk menentukan politik negara kita," katanya.   

Sehubungan itu, katanya sudah sampai masanya muzakarah antara Pas dengan Umno diadakan dan diharapkan dapat menjadi kenyataan.

"Saya menyambut baik dan harap dapat jadi kenyataan. Kita kena duduk berbincang bagaimana hendak pastikan hak kita, kedudukan Melayu dan agama Islam tidak terus dicabar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dari Pas  berkata bermuzakarah adalah satu perkara baik kerana keputusan yang diperoleh menerusi sesuatu muzakarah sangat penting untuk menentukan pentadbiran negara.

"Cuma bagaimana kita lihat kepada keputusan itu...pelaksanaan satu perkara yang lain, itu yang perlu ada muzakarah tetapi pelaksanaan itu adalah berdasarkan kepada keputusan muzakarah, jadi kadang-kadang sesuai atau tidaksesuai, itu yang perlu dilihat dari semasa ke semasa," katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian


MUZAKARAH: KERAJAAN PERLU BERSUNGGUH - TUAN IBRAHIM

MuzakarahSHAH ALAM - Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhannya untuk menyambut baik cadangan Pas yang mahu bermuzakarah.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak boleh sekadar bercakap tetapi perlu memastikan muzakarah yang dicadangkan benar-benar dapat direalisasikan.

Tuan Ibrahim Tuan Man“Sebelum ini, sudah banyak perkara yang kerajaan cakap mahu laksana tetapi ianya tidak berlaku. Jadi, kita harap muzakarah kali ini akan jadi satu kenyataan.

“Tidak boleh hanya bercakap tetapi kena tunjuk kesungguhan. Ini kerana, banyak isu yang dibangkitkan oleh pembangkang perlu diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahad lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan parti itu melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Kenyataan itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan Umno bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, cadangan muzakarah tersebut timbul susulan usul mendesak kerajaan melaksanakan sistem perundangan Islam yang diluluskan dalam muktamar lalu.

Katanya, usul tersebut memerlukan komitmen dan sokongan bersama kerajaan persekutuan.

“Kita akan bawa usul ke Parlimen dan harap disambut baik oleh semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik sebab ini kewajipan. Selain itu, kita akan hantar surat rasmi kepada perdana menteri.

“Di pihak Pas, saya fikir kita sudah menunjukkan kesungguhan untuk bermuzakarah bagi memastikan pelaksanaan pentadbiran Islam dapat dilaksanakan. Selebihnya, kita akan tengok bagaimana respons perdana menteri sebagai ketua pemerintah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
WARGA BANGLADESH PADA PRU13: ANWAR TERDESAK SALAHKAN PIHAK LAIN

IPOH - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat umpama terdesak dan cuba menyalahkan pihak lain berhubung dakwaannya sebelum ini yang mengatakan seramai 40,000 warga Bangladesh diimport untuk mengundi bagi menyokong BN pada PRU13 lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Anwar cuba mengalihkan pandangan kepada pihak lain selepas masyarakat telah menyedari perkara tersebut adalah satu pembohongan yang telah direka oleh pembangkang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah mendapat serta memuat turun segala rakaman, bahan ucapan dan pelbagai maklumat yang diperoleh daripada media siber serta elektronik berhubung perkara tersebut.

“Janganlah apabila terdesak di dinding beliau (Anwar) menyalahkan perkara itu dibangkitkan oleh pihak lain. Sebaliknya, itu yang diulang di setiap negeri ketika jelajah selepas PRU13 malah sewaktu kempen juga mereka mengatakan benda yang sama,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu turut memalukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berita tersebut telah mendapat liputan di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap masyarakat dapat menilai siapa yang bercakap benar dan berbohong dalam memanipulasikan serta menipu rakyat dalam hal berkenaan,” katanya.

Penafian Anwar dibuat selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menidakkan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan kononnya 40,000 rakyat negara itu rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Sumber: Sinar Harian

MUZAKARAH PAS-UMNO: PAS PERLU TULIS SURAT DAHULU

SENAI - Pas perlu membuktikan kesungguhannya untuk mengadakan muzakarah dengan menyatakan tawaran bertulis kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Shahrir SamadAhli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidak guna jika hanya bercakap tetapi tidak ada sebarang tindakan susulan yang positif.

"Jangan hanya cakap di dalam muktamar mereka sahaja, tulis surat kepada Presiden Umno secara rasmi,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno sentiasa terbuka dalam mengadakan muzakarah namun sejauh mana ahli parti itu bersedia mengadakan perbincangan seperti yang dikemukakan pemimpin tertinggi mereka.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat beberapa pemimpin Pas yang menyatakan pandangan agar kedua-dua parti ini mengadakan muzakarah namun sehingga kini tiada sebarang perbincangan diadakan.

Menurutnya, tawaran mengadakan muzakarah ini adalah cadangan yang baik dan patut disambut pemimpin Umno.

“Tetapi, dalam Pas kita dapat lihat beberapa pemimpin yang menyatakan pandangan mengadakan muzakarah dengan Umno tetapi akhirnya tersingkir seperti bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa.

“Akhirnya, cadangan ini tidak ke mana dan tiada sebarang muzakarah pernah diadakan antara kedua-dua pihak sehingga kini,” katanya.

Walaupun muzakarah berkenaan berjaya diadakan, katanya, namun beliau yakin kesepakatan antara kedua pihak dalam membentuk negara Islam di Malaysia sukar dicapai.

“Jika muzakarah ini berjaya diadakan, saya berpendapat kedua-dua pihak masih sukar untuk mencapai kata sepakat.

“Ia kerana, Umno mengamalkan pemerintahan Islam secara prakmatik sementara Pas berpegang kepada prinsip Islam yang ortodok, terdapat jurang yang terlalu besar di sini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian