Showing posts with label Siti. Show all posts
Showing posts with label Siti. Show all posts

Thursday, December 5, 2013

SIASATAN KES SITI AISHAH MUNGKIN AMBIL MASA SETAHUN

PETALING JAYA: Siasatan kes Siti Aishah Abd Wahab, 69, warga Malaysia yang didakwa dijadikan hamba selama 30 tahun oleh pemimpin fahaman Maoist di London, mungkin mengambil masa selama setahun.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi daripada kedutaan dan pihak polis, siasatan sedang dijalankan dan ia mungkin memakan masa selama setahun kerana terdapat 50,000 dokumen untuk dikaji semula.

"Sama ada dia (Siti Aishah) mahu pulang, persoalannya masih terbuka. Dia adalah warganegara yang bebas.

"Saya difahamkan dia merupakan penduduk tetap Britain, jadi dia bebas untuk masuk dan keluar dari negara ini," kata Hishamuddin Rais.

Kamar menunjukkan nota yang ditulis Siti Aishah kepada keluarganya di Malaysia.

Hishamuddin berkata dia tidak bertemu secara peribadi dengan Siti Aishah ketika berada di London tetapi kakak sulungnya, Kamar Mautum telah bertemu dengan Aishah di satu lokasi rahsia.

"Laporan sebelum ini menyebut mereka bertemu selama 40 minit, tetapi sebenarnya mereka menghabiskan masa bersama selama satu jam 40 minit," katanya sambil memberitahu Siti Aishah kini sedang dipantau rapi selepas diserang strok baru-baru ini.

Keluarga Siti Aishah di Malaysia dikatakan kini berasa lega dan bersyukur kerana dia selamat.

"Mereka lega selepas dia dikenalpasti dan dibebaskan. Tiada lagi tanda tanya dan kami tahu dia selamat," kata editor majalah Astro Awani, Zan Azlee.

Sumber: mStar Online

Sunday, December 1, 2013

SITI AISHAH JANJI PULANG DALAM 9 BULAN - KAKAK

SEPANG -  Siti Aishah Abdul Wahab yang dikatakan dijadikan hamba selama 30 tahun di London berjanji akan pulang ke Malaysia selepas sembilan bulan, kata kakaknya, Kamar Mahtum.
  
Kamar Mahtum, 79, yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari London berkata semasa pertemuan beliau dengan Siti Aishah di satu lokasi rahsia di sana Khamis lepas, adik bongsunya itu berjanji akan balik secepat mungkin selepas kerjanya di sana selesai.
  
"Dia banyak aktiviti di sana, di sana dia buat kerja-kerja sukarelawan membantu orang tapi saya sudah pujuk dia supaya pulang ," katanya yang tiba di KLIA bersama-sama aktivis politik Hishamuddin Rais kira-kira 7.40 pagi ini.
  
Katanya beliau lega apabila melihat adiknya sihat dan gembira berada di sana kerana menurut laporan akhbar seolah-olah Siti Aishah tidak sihat.
  
"Dia sihat fizikal dan lebih gemuk dari saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia namun katanya keringatnya untuk membantu orang susah di sana masih diperlukan," katanya.
 
Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di selatan London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain.
  
Siti Aishah berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School Economics di United Kingdom.
  
Namun ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pelajarannya.
  
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai status agama Siti Aishah, Kamar Mahtum berkata: "Dengan saya dia sudah bagi tahu tapi antara dia dengan Allah hanya dia sahaja yang tahu".  - Bernama


Sumber: Sinar Harian

Thursday, November 28, 2013

UK SAHKAN HAMBA 30 TAHUN WARGA MALAYSIA

Bekas guru percaya kakaknya jadi hamba di London
Siti Aishah Abdul Wahab 
- Foto Ihsan The Telegraph oleh Dean Nelson
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa United Kingdom hari ini mengesahkan status wanita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah warganegara Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab dan bertarikh lahir 27 Mei 1944.

Menurut Kementerian Luar, memandangkan kes itu masih di peringkat siasatan, akses bagi mendapatkan maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-undang tempatan United Kingdom.

Pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan akses terus kepada mangsa setakat ini.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) akan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak terlibat dalam membantu urusan penyiasatan," kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini.

Kementerian Luar melalui STM di London memantau rapi status wanita itu yang sebelum ini dijadikan hamba selama 30 tahun di Selatan London.

Kenyataan itu menyebut STM juga akan mengambil langkah susulan bagi menentukan status mangsa tersebut dari segi undang-undang.

"Sekiranya beliau secara tidak disedari telah kehilangan kewarganegaraan Malaysia serta tidak mempunyai sebarang kerakyatan dalam tempoh 30 tahun yang lalu di bawah keadaan daif, STM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi mengembalikan semula kerakyatan beliau.

"Bantuan konsular selanjutnya akan dihulurkan kepada mangsa dan ahli keluarga, sebagaimana sesuai dan perlu," kata Kementerian Luar.

Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan.

Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain. Aishah yang sebelum ini dikenali dengan nama Siti Aisyah, berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) di United Kingdom.

Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan identiti wanita itu sebagai Siti Aishah Abdul Wahab dan merupakan individu yang dikehendaki pada 1970-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

Tuesday, November 26, 2013

BEKAS GURU PERCAYA ADIKNYA JADI HAMBA DI LONDON
SHAH ALAM - Sebuah keluarga di Negeri Sembilan mengesahkan wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.

Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab dari Jelebu berkata, beliau yakin adiknya yang berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu.

Kehilangan Aishah katanya menyebabkan keluarganya berasa cukup sedih. Malah ujar Kamar, ibunya telah meninggalkan wasiat supaya Aishah  dijejaki.

"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.

"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya dipetik The Daily Telegraph.

Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwel untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London.

Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.

Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London.


Sumber: Sinar Harian