Tuesday, October 23, 2012

SELANGOR MAHU GUNA TEKNOLOGI PENAPISAN AIR MEMBRAN UNTUK RAWAT BEKALAN AIR

MB : Teknologi Membran Lagi Murah dan Praktikal

SHAH ALAM, 23 OKT : Penggunaan teknologi penapisan air membran untuk merawat bekalan air di Selangor dianggarkan 1 / 3 lebih murah daripada kos pembinaan loji rawatan mega Langat 2.

Teknologi daripada Kanada itu kata Menteri Besar Selangor lebih praktikal dan menjimatkan daripada Langat 2 yang dianggarkan menelan kos RM 3 bilion.

Abdul Khalid berkata, kos penggunaan teknologi membran adalah kurang daripada RM1 bilion untuk dipasang di 10 buah loji strategik kerana tidak semua 27 loji memerlukannya.

Ini menyangkal dakwaan daripada Kerajaan Pusat bahawa teknologi tersebut tidak praktikal bagi Selangor, sekaligus menjustifikasikan Langat 2.

Menurut Abdul Khalid teknologi membrane telah mengalami perkembangan pesat yang menawarkan kos pembinaan yang lebih rendah.

“Teknologi ini sangat kompetitif dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah,” katanya.

“Kini telah terdapat lapan buah negara yang sudah memasarkan teknologi itu sedia ada,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu-Lembu Korban di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Tambah beliau, Singapura juga turut bercadang menggunakan teknologi membran dalam tempoh 30 tahun akan datang supaya ia tidak perlu mengimport air daripada Johor.

Ujar beliau, teknologi itu juga lebih mesra alam berbanding Langat 2 yang memerlukan kerajaan negeri menebuk Banjaran Titiwangsa bagi membina terowong untuk mensalurkan air daripada Pahang.

Abdul Khalid berkata, teknologi itu juga mampu menambahkan satu juta meter padu sehari air terawat pada kadar 1/3 daripada kos Langat 2.

“Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ‘hilang’ atau Non Revenue Water (NRW),” kata Abdul Khalid.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata teknologi membran tidak praktikal untuk Selangor.

Menjawab dakwaan Muhyiddin, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor boleh memanggil perunding daripada Kanada untuk memberi taklimat kepada Muhyiddin dan pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Kerajaan negeri tidak menentang Loji Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

“Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisien pada harga munasabah,” katanya. –selangorku.com
IKLAN KELIRU, PALSU DIAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG MULAI 1 JAN DEPAN

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Januari tahun hadapan sebarang iklan mengelirukan atau palsu disiarkan dalam media cetak atau elektronik, pengiklannya boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu mengeluarkan iklan mengelirukan dan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan produk dan kebolehdapatan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

"Bagi pertubuhan pula, boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan di sini, Isnin.

Ismail Sabri berkata, butiran mengenai tindakan ke atas pengiklan terkandung dalam garis panduan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengiklanan berikutan pindaan terhadap Bahagian XIA, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini.

"Pindaan itu adalah bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan palsu atau mengelirukan bertujuan melindungi pengguna daripada tertipu dengan iklan-iklan tersebut.

Sebanyak 38 kes aduan mengenai iklan telah kami terima setakat hari ini," katanya.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa pengiklanan tersebut mendapat kerjasama daripada beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya serta dianggotai beberapa ahli akademik dengandipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Sumber Maklumat, Dr Zuraidi Ishak.

"Jika iklan berkaitan dengan produk kesihatan, kami akan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan. Kami hanya menguruskan iklan produk atau perkhidmatan yang mengelirukan dan bertujuan menipu pengguna," katanya.

Beliau berkata Garis Panduan iklan tersebut akan mengawal selia pengiklan terdiri daripada pemilik barang atau perkhidmatan, agensi pengiklan atau mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha penyiaran iklan melalui media cetak atau elektronik.

"Garis panduan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pengguna dalam mengenal pasti kandungan iklan palsu atau mengelirukan, selain sebagai rujukan kepada pengiklan agar bertanggungawab sepenuhnya terhadap iklan mereka.

"Iklan yang akan disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata perkara yang dilarang seperti dakwaan penyembuhan terhadap penyakit-penyakit kronik dan tatacara penggunaan logo halal juga diterangkan dalam garis panduan itu.

"Beliau berkata kriteria-kriteria turut diambil kira apabila menyatakan terma-terma dan syarat dalam iklan seperti penggunaan bahasa yang ringkas, saiz dan font yang jelas serta kedudukannya yang mudah dilihat oleh pengguna dalam iklan bilboard," katanya.
Menurut Ismail Sabri, buku garis panduan itu akan diedarkan kepada orang ramai mulai hari ini. - BERNAMA