Tuesday, February 26, 2013

65% RAKYAT SELANGOR KECEWA DENGAN PKR


KUALA LUMPUR  - Sebanyak 65 peratus rakyat Selangor tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri yang gagal menunaikan janji-janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 termasuk dalam isu rumah mampu milik.

Pensyarah Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Ismail Sualman berkata, kaji selidik pihaknya turut mendapati ramai rakyat Selangor merasakan kerajaan pakatan pembangkang tidak membawa sebarang perubahan sepanjang lima tahun mentadbir negeri itu.

Menurut beliau, kajian bertajuk Kesan Sosioekonomi dan Politik Rakyat Selangor di Bawah Pakatan Rakyat yang dijalankan antara 2011 hingga 2012 itu turut menunjukkan rakyat masih menantikan elaun kepada ibu tunggal, kanak-kanak tadika dan penuntut universiti serta air percuma seperti dijanjikan dalam manifesto pembangkang. - Utusan Online
HADI DI CABAR KELUAR FATWA HARAMKAN BR1M - TPM

PAGOH - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan 'fatwa' pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah haram.

Timbalan Perdana Menteri turut mencabar pemimpin Pas tersebut supaya membuat satu lagi 'fatwa' bahawa menerima BR1M juga adalah haram dan menyuruh penerima termasuk dalam kalangan ahli Pas memulangkannya semula.

"Apa yang saya tahu, saya ada sedikit ilmu agama, ia (BR1M) tidak menyalahi hukum atau bertentangan dengan akidah, syariat, bercanggah dengan agama atau sebagainya," katanya.

Beliau mengulas kenyataan terbaharu Abdul Hadi yang menyamakan pemberian BR1M seperti zaman Firaun yang menggalakkan rakyatnya bergantung kepada kerajaan dan membuatkan rakyat hidup seperti pengemis.

Timbalan Perdana Menteri turut hairan dengan tindakan Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kerap mengeluarkan kenyataan atau 'fatwa' yang amat memesongkan sedangkan mereka mendakwa memperjuangkan agama Islam.

Beliau berkata, pemberian BR1M bukan satu amalan bertentangan dengan ajaran Islam dan ramai tokoh agama tidak terpengaruh dengan kenyataan itu kerana berfikiran rasional bersandarkan hukum dan syariat.

Menurutnya, bantuan tersebut adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana serta pemberian seperti itu dipraktikkan di beberapa negara maju bagi meringankan beban terutama kos hidup.

Katanya, kenyataan Menteri Besar Kelantan yang menyamakan penerima BR1M sebagai haiwan dibuat kerana beliau merasa kedudukan pembangkang tercabar dengan bantuan itu.

"Itulah sebabnya mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang tok guru. Itu bertentangan dengan ajaran agama Islam. Saya hairan kenapa kenyataan itu dibuat," katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, walaupun tokoh agama Pas itu menyatakan kata-kata tersebut sebagai satu kiasan, tetapi adalah tidak wajar disamakan dengan haiwan, sekali gus akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan prasangka tidak baik.

Beliau berkata, pemimpin Pas itu melihat perkara tersebut dari sudut politik kepartian berbanding kebajikan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membela nasib rakyat.-Utusan Online 
PRU13: PAKATAN KITAR SEMULA MANIFESTO

SHAH ALAM - Pakatan pembangkang yang melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hari ini sekali lagi menawarkan pelbagai janji untuk rakyat, namun belum menjamin pelaksanaannya secara berkesan.

Keadaan itu dapat dilihat daripada janji-janji terdahulu yang gagal dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun pakatan pembangkang memerintah di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor.

Menggelarkannya sebagai manifesto rakyat dengan tema Pakatan Harapan Rakyat, ketiga-tiga parti pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas menggariskan empat tonggak - Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Di bawah tonggak Kesejahteraan Rakyat, pakatan pembangkang berjanji menurunkan harga minyak selain menawarkan caj elektrik dan bekalan air lebih rendah, menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dan mengeluarkan kereta pada harga serendah RM25,000. - Utusan Online
ANWAR TIDAK SEMESTINYA JADI PM

KUALA LUMPUR - Persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya semakin panas selepas Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, jawatan itu tidak semestinya menjadi milik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan pemimpin kanan Pas itu dilihat bakal menghangatkan lagi hubungan parti tersebut dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana sebelum ini tersebar khabar angin yang mendakwa Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar daripada menduduki jawatan berkenaan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga tokoh dengan latar belakang ulama dalam Pas, terdapat dua faktor untuk melayakkan seseorang itu menjadi Perdana Menteri pembangkang iaitu jumlah kerusi yang dimenangi parti dan persetujuan semua parti komponen dalam pakatan pembangkang.

Beliau menegaskan, walaupun semua pihak sebelum ini secara dasarnya bersetuju Anwar bakal menjadi Perdana Menteri pembangkang namun dalam keadaan sekarang, parti komponen harus mengikut status quo iaitu parti yang memenangi paling banyak kerusi.

"Saya percaya kita perlu mengambil kira keputusan pilihan raya serta melihat parti mana yang lebih dominan dari segi memenangi kerusi selain persetujuan semua parti komponen kerana ia boleh menentukan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri (mewakili pembangkang).

"Itulah sebabnya mengapa saya terus menggesa seluruh ahli dan jentera pilihan raya kami untuk bekerja keras dalam memenangi pilihan raya umum nanti," katanya sebagaimana dipetik menerusi blog di http://www.mole.my hari ini.

Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu, Kelantan, wakil Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri dan kenyataan beliau kemudian disokong beberapa lagi pemimpin Pas.

Malah, ketika masih di dalam Pas, bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Hasan Ali pernah menyatakan secara terbuka Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri iaitu antara faktor yang dikatakan menyebabkan beliau 'ditendang' keluar daripada Pas.

Tuan Ibrahim berkata, spekulasi kononnya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bakal menjadi calon pilihan utama pakatan pembangkang sebagai Perdana Menteri cuma khabar angin. – Utusan Online
BR1M: NIK AZIZ KATA HAIWAN, HADI PULA UMPAMAKAN FIRAUN

KUALA LUMPUR - Laman portal berita Free Malaysia Today hari ini melaporkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti zaman Firaun.

Abdul Hadi ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Keempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini menyatakan, bantuan itu telah menyebabkan rakyat menjadi pengemis.

Dua hari lalu, Abdul Hadi dalam ucapannya pada Karnival Tahun Baharu Cina di Jalan Putra, Alor Setar, Kedah menyifatkan BR1M sebagai satu tindakan untuk membodohkan rakyat.

Sebelum itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak apabila beliau menyamakan kira-kira empat juta rakyat pemberian BR1M sebagai 'memberi hampas kelapa, padi dan kelapa kepada ayam dan lembu'. - Utusan Online

Laporan penuh boleh dibaca dengan klik link ini:
PR BELUM SEPAKAT LANTIK PM

SHAH ALAM - Pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas masih belum mempunyai kata sepakat dan ketetapan bagi melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan parti politik tersebut berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Meskipun dengan semangat berkobar-kobar menyatakan mereka sudah bersedia untuk melangkahkan kaki ke Putrajaya dengan manifesto bertema 'Pakatan Harapan Rakyat' dilancarkan hari ini, Anwar sendiri tidak berani untuk menegaskan beliau telah disepakati oleh sekutunya untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Anwar hari ini enggan memberikan sebarang komen berhubung kedudukannya sebagai calon Perdana Menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Umum PKR itu menjawab secara ringkas bahawa beliau tidak membangkitkan isu sebagai calon jawatan Perdana Menteri dalam kerajaan yang bakal ditadbir oleh pakatan pembangkang nanti.

''You (wartawan) ada cadangan lain ke (calon Perdana Menteri pakatan pembangkang)? Saya tak bangkit isu ini, tidak ada masalah apa pun... orang rumour (khabar angin) memang patut ada usul (mengenai calon Perdana Menteri).

''Namun, usul kita hari ini ialah konvensyen pakatan hanya untuk manifesto," katanya ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Pada 12 Februari lalu, media melaporkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi menegaskan Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Penegasan itu dibuat oleh Karpal susulan wujudnya dakwaan kononnya Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan selain menganggapnya sebagai satu spekulasi.

Bagaimanapun, pada Muktamar Pas pada November tahun lalu, seorang perwakilan daripada Dewan Ulama Pas, Hairun Nizam mencadangkan agar jawatan Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang diwakili oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Hairun, ahli Pas tidak sepatutnya melobi pemimpin luar daripada Pas untuk mengisi jawatan tersebut selain menganggap Abdul Hadi merupakan calon yang sesuai. - Utusan Online