Tuesday, October 2, 2012

UBAT TRADISIONAL JIN FEI CAO SAN EXTRACT POWDER  'SHENG CHANG' DIHARAMKAN  

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan mengharamkan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk tradisional Jin Fei Cao San Extract Powder 'Sheng Chang' selepas dikesan mempunyai mengandungi racun berjadual 'epherine' dan 'pseudoephedrine'.

Ubat tradisional itu digunakan untuk melegakan selesema, batuk, kahak dan sakit kepala dan dikilangkan oleh syarikat Taiwan, Sheng Chang Pharmaceutical Co Ltd.

Dalam kenyataan Isnin, kementerian itu berkata Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, telah membatalkan lesen pendaftaran produk yang dipegang oleh Lifecare Essential Sdn Bhd., Kuala Lumpur, pada 27 Sept lepas.

Mana-mana pihak yang memiliki stok produk berkenaan dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk itu serta-merta, katanya. -(Bernama)/MStar
BAJET 2013 BUKAN LANGKAH POPULIS : FIRMA SINGAPURA

Ganjaran tunai dalam Bajet 2013 jelas menunjukkan hasrat kerajaan meningkatkan status sosio ekonomi masyarakat Malaysia dan ia tidak boleh dianggap sebagai satu langkah populis, menurut  Spire Research and Consulting Pte Ltd, sebuah firma kaji selidik Singapura.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya Leon Perera berkata, ganjaran tunai sekali beri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membantu  menghadapi bebanan kos hidup sebahagian besar kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan.
  
Beliau berkata tidak ada sebarang petunjuk pertumbuhan ekonomi melalui pengumuman belanjawan populis tetapi sebaliknya Belanjawan 2013 telah dengan jelas digariskan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia.
  
"Ini jelas menunjukkan kerajaan berbelanja mengikut kemampuan. Kami bersetuju bahawa belanjawan tersebut menyaksikan pemindahan tunai secara besar-besaran tetapi ia masih belanjawan yang amat bertanggungjawab.
  
"Perdana Menteri mengumumkan insentif tunai bayar sekali sahaja. Jika ia adalah dasar atau pemindahan tunai berstruktur, maka ia adalah tidak bertanggungjawab," kata Leon pada taklimat media di sini hari ini.
  
Beliau berkata, semua ganjaran tunai tidak diberikan dengan mengorbankan kestabilan fiskal perbelanjaan tetapi terutamanya disebabkan hasil yang tinggi, perbelanjaan berhemah dan tadbir urus yang prihatin.
  
Ketika membentangkan Belanjawan 2013, Jumaat lepas, Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan pelbagai ganjaran termasuk pusingan kedua pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk tahun depan.
  
Selain memperluaskan bantuan berjumlah RM250 bagi mereka yang belum berkahwin dan berumur 21 tahun ke atas dengan berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
  
Perdana Menteri turut mengumumkan bayaran RM1,000 sekali beri kepada anggota tentera yang memilih bersara awal or berkhidmat kurang 21 tahun, rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar 3G kepada belia berusia 21 hingga 30 tahun serta bonus tambahan sebulan kepada penjawat awam. – Bernama/SinarHarian

KAWAL PENGGUNAAN ANTIBIOTIK

Penggunaan antibiotik perlu diperkemas berikutan peningkatan kes bakteria mangli antibiotik yang semakin membimbangkan, kata Ketua Jabatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Christopher Lee.

Pakar perunding kanan penyakit berjangkit itu berkata, peningkatan bakteria seperti 'enterobacteriaceae' yang berupaya melawan antibiotik 'carbapenem' serta 'acinetobacter' yang turut dikenali 'superbug', mengancam kesihatan manusia secara global dan mewujudkan 'antimicrobial resistance' (AMR).

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Malaysia(MMA) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia(MPA) akan menganjurkan kempen AMR selama sebulan bermula 16 Oktober ini bagi menangani isu tersebut.

Lee berkata, fasa pertama kempen akan membabitkan syarahan di hospital kerajaan bagi mendidik pengamal perubatan mengenai pentingnya mempreskripsikan antibiotik secara berhemat.

"Fasa kedua ialah mendidik masyarakat dan menimbulkan kesedaran mengenai AMR. Kami akan menaikkan poster dan mengedarkan risalah kepada umum," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lee berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia turut menekankan mangli antibiotik sebagai ancaman besar kepada kesihatan awam pada abad ke-21.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan. Dr. Suraya Amir Husin berkata, orang ramai memainkan peranan penting dalam mengawal AMR.

"Adalah amat penting orang ramai menyedari betapa pentingnya mengawal pengambilan antibiotik. Saya berharap masyarakat akan memberi perhatian khusus kepada isu ini dan berkongsi maklumat dengan yang lain," katanya.

Maklumat lanjut mengenai AMR boleh didapati menerusi laman sesawang www.infosihat.gov.my atau orang ramai boleh menghubungi talian 1-800-88-6722. – BERNAMA/UtusanOnline