Tuesday, October 2, 2012

KAWAL PENGGUNAAN ANTIBIOTIK

Penggunaan antibiotik perlu diperkemas berikutan peningkatan kes bakteria mangli antibiotik yang semakin membimbangkan, kata Ketua Jabatan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Christopher Lee.

Pakar perunding kanan penyakit berjangkit itu berkata, peningkatan bakteria seperti 'enterobacteriaceae' yang berupaya melawan antibiotik 'carbapenem' serta 'acinetobacter' yang turut dikenali 'superbug', mengancam kesihatan manusia secara global dan mewujudkan 'antimicrobial resistance' (AMR).

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Malaysia(MMA) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia(MPA) akan menganjurkan kempen AMR selama sebulan bermula 16 Oktober ini bagi menangani isu tersebut.

Lee berkata, fasa pertama kempen akan membabitkan syarahan di hospital kerajaan bagi mendidik pengamal perubatan mengenai pentingnya mempreskripsikan antibiotik secara berhemat.

"Fasa kedua ialah mendidik masyarakat dan menimbulkan kesedaran mengenai AMR. Kami akan menaikkan poster dan mengedarkan risalah kepada umum," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lee berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia turut menekankan mangli antibiotik sebagai ancaman besar kepada kesihatan awam pada abad ke-21.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan. Dr. Suraya Amir Husin berkata, orang ramai memainkan peranan penting dalam mengawal AMR.

"Adalah amat penting orang ramai menyedari betapa pentingnya mengawal pengambilan antibiotik. Saya berharap masyarakat akan memberi perhatian khusus kepada isu ini dan berkongsi maklumat dengan yang lain," katanya.

Maklumat lanjut mengenai AMR boleh didapati menerusi laman sesawang www.infosihat.gov.my atau orang ramai boleh menghubungi talian 1-800-88-6722. – BERNAMA/UtusanOnline

No comments:

Post a Comment