Thursday, June 27, 2013

PARLIMEN: MP PR TERKESAN TITAH AGONG
MP PR terkesan titah Agong

KUALA LUMPUR – Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah supaya semua ahli Parlimen menerima keputusan pada PRU13 lalu ketika pembukaan Sidang Mesyuarat Pertama penggal pertama Parlimen ke-13 semalam turut diakui terkesan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan, titah Tuanku itu cukup berkesan dan berharap wakil rakyat lain dapat bekerjasama untuk membangunkan negara pada masa akan datang.

"Ya, kita boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan negara, itu peranan kita sebagai pembangkang.

"Kita sekarang ini bekerja di Parlimen dan di luar untuk sama-sama membangunkan negara dan kita mengharapkan kerajaan selain daripada menyebut mengenai pembangunan negara perlu juga melihat ketirisan dan masalah lain yang berlaku.

"Peranan kami sebagai pembangkang untuk menegur pihak kerajaan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pula berkata, titah Agong  itu disambut baik dan positif kerana sebaik sahaja  mengangkat sumpah, bermulalah tugas sebagai wakil rakyat.

"Titah Tuanku itu saya ambil positif dan ia langsung tidak bertentangan dengan usaha kita memastikan ada usaha penambahbaikan sistem pilihan raya.

"Kami perlu berada dan menjalankan tugas di Parlimen selepas wakil rakyat PR ini mendapat mandat yang besar,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pemimpin PR akan memastikan 'kecurangan' dan penipuan pilihan raya lalu akan terus dibawa ke muka pengadilan supaya pilihan raya akan datang lebih bersih dan telus.

"Soal menuntut reformasi pilihan raya dan juga memastikan bahawa semua penipuan perlu diselesaikan baik, bukan kerana soal siapa yang menang pilihan raya yang lalu.

"...tetapi ia soal memastikan pilihan raya kita pada masa akan datang lebih baik supaya tidak timbul kecurigaan dan ketidakyakinan terhadap sistem pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi pula menegaskan, pihaknya menerima keputusan PRU13 lalu meskipun mendakwanya berlaku banyak penipuan dan penyelewengan hingga menjejaskan kemenangan PR.

"Kami daripada pihak pembangkang tidak menolak keputusan pilihan raya, sebab itu kita datang angkat sumpah.

"Apa yang kami tolak ialah kepincangan, penyelewengan dan penipuan yang akan dibuktikan melalui petisyen yang telah difailkan ke mahkamah.

"Perkara itu juga diakui pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri apabila mengakui kelemahan  dakwat kekal, itu yang kita tolak dan tentang,” dakwanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong, Datuk Dr Mansor Othman pula menafikan pemimpin PR menolak keputusan pilihan raya lalu sambil menyifatkan sistem pilihan raya di negara memerlukan penambahbaikan yang berterusan bagi menjamin proses itu berjalan dengan bersih dan adil pada masa akan datang.

"Keputusan PRU13 itu termasuk dalam sistem itu, bukan tidak terima tapi banyak benda yang boleh dilakukan,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan pula, Tony Pua, mana-mana pihak perlu menghormati keputusan pilihan raya lepas dan perlu akur terhadap kemenangan BN yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan meskipun PR memperolehi undi popular yang lebih tinggi iaitu 51 peratus pada PRU13 lalu.

"Saya rasa keputusan pilihan raya memang dihormati, buat masa ini BN sudah menjadi kerajaan, sudah tubuhkan kabinet, ahli Parlimen PR juga telah mengangkat sumpah untuk mengambil tempat dalam Parlimen sebagai pembangkang.

"Ini tidak bermaksud kita tidak boleh membuat cadangan atau kenakan tekanan kepada pihak kerajaan untuk membuat perubahan ke atas dasar pilihan raya yang akan datang lebih adil dan bebas kepada semua pihak.

"Ini merupakan perkara yang penting bagi rakyat Malaysia sebab sistem demokrasi memang mengutamakan siapa yang menjadi majoriti,” katanya.

Pendapat itu senada dengan wakil rakyat penggal pertama dari DAP, iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang menegaskan titah Tuanku itu perlu disahut dengan melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara dan menjalankan tugas sebaik mungkin kepada rakyat.

Namun beliau agak teruja apabila Tuanku turut menyelitkan kepentingan golongan muda kepada masa depan negara dalam titah baginda.

"Saya rasa yang menarik dalam titah Tuanku itu ialah saya rasa jarang dalam titah DiRaja akan bercakap tentang orang muda.

"Mungkin ini adalah satu pengiktirafan kepada golongan ini dan ini juga kekurangan di negara ini di mana kita banyak dikatakan "Brain Drain".

"Saya rasa inilah cabaran Malaysia yang perlu diberi tumpuan dan saranan Tuanku itu memang betul dan tepat,”katanya. –Sinar Harian
HENTI BANTAH KEPUTUSAN PRU-13, ASAS PERDAMAIAN NASIONAL - PM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan asas utama dalam usaha mencapai matlamat perdamaian nasional.

Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat Pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.

Menurut beliau, penerimaan pembangkang terhadap keputusan pilihan raya itu membolehkan kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

"Saya suka menegaskan premis utama dan asas perdamaian nasional ialah keputusan pilihan raya umum perlu kita terima sebagai keputusan yang muktamad. Kalau berterusan berhimpun di jalanan, matlamat perdamaian nasional tidak akan dicapai.

"Kalau tidak berpuas hati ada saluran tertentu dan selanjutnya keputusan dibuat melalui mahkamah. Kita kena terima kerana ini mengikut Perlembagaan negara," katanya ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksana usaha penyatuan nasional untuk mengerat semula hubungan antara rakyat di negara ini yang berpecah sehingga membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut mengenai MKPN, Najib berkata, tiga agenda utama menjadi objektif penubuhannya iaitu mencari jalan menangani masalah polarisasi kaum, memupuk keharmonian antara agama serta membentuk dasar-dasar kerajaan supaya bersifat inklusif sosial.

Tambahnya, melalui penubuhan MKPN satu pelan pendamai semula akan dirangka bertujuan merapat kembali hubungan antara pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu supaya tumpuan utama iaitu membangunkan negara dapat diberi perhatian sepenuhnya.

Sementara itu, menjawab isu serupa yang dibangkitkan Azmin Ali (PKR-Gombak) dalam soalan tambahan, Najib berkata, pembangkang hanya tahu membuat tuduhan melulu kononnya berlaku penyelewengan semasa pilihan raya tanpa sebarang bukti.

"Kita ada proses bagi membuat bantahan, jangan buat tuduhan melulu seperti dakwaan sebanyak 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi kerana setakat ini belum ada bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan berhubung kecurangan seperti yang didakwa.

"Kalau tidak berpuas hati, kita perlu berpandukan kepada Perlembagaan negara dan inilah yang akan dibawa dalam perdamaian nasional," katanya. – Utusan Online

KD: Apabila PRU-13 selesai, ia bermaksud rakyat telah membuat pilihan kepimpinan yang sewajarnya menerajui negara. Jadi, pemimpin janganlah bertelagah, sebaliknya perlu sama-sama berkhidmat dengan rakyat memakmurkan serta memajukan negara.

KERAJAAN TIDAK TAKUT SLOGAN ‘MALAYSIAN SPRING’

Kerajaan tidak gentar dengan slogan ‘Malaysian Spring’ yang digambarkan sebagai usaha pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan perkataan ‘rakyat’ bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Kerajaan tidak takut kepada perkataan ‘Malaysian Spring’. Asas yang saya tekankan ialah apa-apa tindakan yang dilakukan mestilah berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah perkara pokok,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Namun tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melangkaui batas Perlembagaan Persekutuan. – mStar

KD: Kebebasan bersuara bukan bermaksud boleh menyuarakan pendapat secara sambil lewa atau sesuka hati, sebaliknya ia perlu diiringi tanggungjawab tertentu, dan ia sepatutnya tidak disalah guna..

DUN KUALA BESUT SUKAR TAPI PAKATAN ADA HARAPAN - ANWAR

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu sebagai kawasan yang mencabar untuk dirampas pembangkang, sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

Keputusan PRU-12 dan PRU-13
Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata, ini kerana DUN tersebut telah dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang besar iaitu 2,434 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), pada 5 Mei lepas.

"(DUN Kuala Besut) benar-benar kawasan yang kritikal dan mencabar bagi satu pilihan raya kecil kerana majoriti yang diperoleh BN agak besar. Bagaimanapun, kawasan itu juga besar bagi PAS, jadi kita akan sokong calon PAS.

"PAS akan bermesyuarat segera untuk menentukan siapa yang akan bertanding (di DUN itu)," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu hari ini, akibat kanser paru-paru.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong dilaporkan akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kuala Besut selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu.– The Malaysian Insider

KD: Tidak salah berfikiran positif, namun biarlah kena tempat dan caranya. Jangan hanya tahu berdemo sahaja.

ANWAR DIBIDAS ANJUR BLACK505 KETIKA JEREBU

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dibidas kerana tidak sensitif dengan masalah kesihatan rakyat apabila menyokong dan menggalakkan penyokong pembangkang menyertai perhimpunan Black 505di Padang Merbok Sabtu lalu.

Perhimpunan di Padang Merbok, Sabtu lalu
Malah Ketua Pembangkang itu diibaratkan mengamalkan pendirian berat berat sebelah apabila menyalahkan kerajaan yang kononnya gagal menangani masalah jerebu yang melanda negara sejak minggu lalu.

"Permatang Pauh tidak langsung prihatin kepada masalah jerebu apabila bersetuju dan mengarahkan orang ramai berhimpun di Padang Merbok.

"Nampaknya Permatang Pauh seperti berat sebelah menyalahkan pihak kerajaan, tetapi di pihak Permatang Pauh sendiri melakukan kesalahan kepada rakyat," kata Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Ahli Parlimen baru itu berkata demikian ketika mencelah sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong oleh Anwar.

Menerusi perbahasannya, Anwar menyalahkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak menasihatkan Seri Paduka supaya menyentuh mengenai keadaan jerebu yang melanda negara menerusi titah baginda.

Pembangkang pada Sabtu lalu menganjurkan perhimpunan yang dikenali sebagai Black 505 di Padang Merbok bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) di ibu negara dilaporkan tidak sihat.

Lebih membimbangkan apabila terdapat sebahagian peserta perhimpunan itu berkhemah selama dua malam di kawasan berkenaan walaupun tanpa kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengulas lanjut Anwar bagaimanapun mempertahankan penganjuran perhimpunan berkenaan walaupun diadakan di tempat terbuka dalam keadaan berjerebu.

"Perhimpunan itu hanya mengambil masa sehingga mungkin hampir lebih dua jam.

"Rakyat yang faham tentang penipuan (dakwaan penipuan pilihan raya) mahu melahirkan sikap dan pendirian mereka," katanya. -mStar

KD: DSAI seperti sudah biasa menegakkan benang yang basah..

ADUN BN TERENGGANU MENINGGAL DUNIA, PILIHAN RAYA KECIL PERTAMA 2013

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Terengganu Dr. Abdul Rahman Moktar yang berusia 55 tahun meninggal dunia pada pukul 10.18 pagi semalam kerana penyakit barah paru-paru.

Jawatan yang disandang Allahyarham semasa hayatnya
Adun Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerajaan negeri Terengganu itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kepada agensi berita nasional Bernama.

Ini bermakna, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan tidak lama lagi buat pertama kalinya selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Abdul Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Azizah Omar dan empat orang anak.

Abdul Rahman mendapatkan ijazah kedoktorannya di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran lagi di Kolej Perubatan Filipina di Manila.

Abdul Rahman merupakan anak kelahiran Pulau Perhentian, Kuala Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan PRK dalam masa 60 hari selepas menerima notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

BN pada ketika ini menguasai 17 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat (PR) mempunyai 15 kerusi.

Kematian Abdul Rahman menyebabkan BN hanya tinggal 16 kerusi dan kemenangan PR pada PRK akan datang akan menyebabkan DUN Terengganu tergantung. – The Malaysian Insider

KD: Walaupun Pilihan Raya Kecil, namun pasti ia akan menjadi PRK pembuka yang paling hangat..