Thursday, June 27, 2013

PARLIMEN: MP PR TERKESAN TITAH AGONG
MP PR terkesan titah Agong

KUALA LUMPUR – Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah supaya semua ahli Parlimen menerima keputusan pada PRU13 lalu ketika pembukaan Sidang Mesyuarat Pertama penggal pertama Parlimen ke-13 semalam turut diakui terkesan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan, titah Tuanku itu cukup berkesan dan berharap wakil rakyat lain dapat bekerjasama untuk membangunkan negara pada masa akan datang.

"Ya, kita boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan negara, itu peranan kita sebagai pembangkang.

"Kita sekarang ini bekerja di Parlimen dan di luar untuk sama-sama membangunkan negara dan kita mengharapkan kerajaan selain daripada menyebut mengenai pembangunan negara perlu juga melihat ketirisan dan masalah lain yang berlaku.

"Peranan kami sebagai pembangkang untuk menegur pihak kerajaan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pula berkata, titah Agong  itu disambut baik dan positif kerana sebaik sahaja  mengangkat sumpah, bermulalah tugas sebagai wakil rakyat.

"Titah Tuanku itu saya ambil positif dan ia langsung tidak bertentangan dengan usaha kita memastikan ada usaha penambahbaikan sistem pilihan raya.

"Kami perlu berada dan menjalankan tugas di Parlimen selepas wakil rakyat PR ini mendapat mandat yang besar,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, pemimpin PR akan memastikan 'kecurangan' dan penipuan pilihan raya lalu akan terus dibawa ke muka pengadilan supaya pilihan raya akan datang lebih bersih dan telus.

"Soal menuntut reformasi pilihan raya dan juga memastikan bahawa semua penipuan perlu diselesaikan baik, bukan kerana soal siapa yang menang pilihan raya yang lalu.

"...tetapi ia soal memastikan pilihan raya kita pada masa akan datang lebih baik supaya tidak timbul kecurigaan dan ketidakyakinan terhadap sistem pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan Tantawi pula menegaskan, pihaknya menerima keputusan PRU13 lalu meskipun mendakwanya berlaku banyak penipuan dan penyelewengan hingga menjejaskan kemenangan PR.

"Kami daripada pihak pembangkang tidak menolak keputusan pilihan raya, sebab itu kita datang angkat sumpah.

"Apa yang kami tolak ialah kepincangan, penyelewengan dan penipuan yang akan dibuktikan melalui petisyen yang telah difailkan ke mahkamah.

"Perkara itu juga diakui pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri apabila mengakui kelemahan  dakwat kekal, itu yang kita tolak dan tentang,” dakwanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong, Datuk Dr Mansor Othman pula menafikan pemimpin PR menolak keputusan pilihan raya lalu sambil menyifatkan sistem pilihan raya di negara memerlukan penambahbaikan yang berterusan bagi menjamin proses itu berjalan dengan bersih dan adil pada masa akan datang.

"Keputusan PRU13 itu termasuk dalam sistem itu, bukan tidak terima tapi banyak benda yang boleh dilakukan,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan pula, Tony Pua, mana-mana pihak perlu menghormati keputusan pilihan raya lepas dan perlu akur terhadap kemenangan BN yang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan meskipun PR memperolehi undi popular yang lebih tinggi iaitu 51 peratus pada PRU13 lalu.

"Saya rasa keputusan pilihan raya memang dihormati, buat masa ini BN sudah menjadi kerajaan, sudah tubuhkan kabinet, ahli Parlimen PR juga telah mengangkat sumpah untuk mengambil tempat dalam Parlimen sebagai pembangkang.

"Ini tidak bermaksud kita tidak boleh membuat cadangan atau kenakan tekanan kepada pihak kerajaan untuk membuat perubahan ke atas dasar pilihan raya yang akan datang lebih adil dan bebas kepada semua pihak.

"Ini merupakan perkara yang penting bagi rakyat Malaysia sebab sistem demokrasi memang mengutamakan siapa yang menjadi majoriti,” katanya.

Pendapat itu senada dengan wakil rakyat penggal pertama dari DAP, iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang menegaskan titah Tuanku itu perlu disahut dengan melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara dan menjalankan tugas sebaik mungkin kepada rakyat.

Namun beliau agak teruja apabila Tuanku turut menyelitkan kepentingan golongan muda kepada masa depan negara dalam titah baginda.

"Saya rasa yang menarik dalam titah Tuanku itu ialah saya rasa jarang dalam titah DiRaja akan bercakap tentang orang muda.

"Mungkin ini adalah satu pengiktirafan kepada golongan ini dan ini juga kekurangan di negara ini di mana kita banyak dikatakan "Brain Drain".

"Saya rasa inilah cabaran Malaysia yang perlu diberi tumpuan dan saranan Tuanku itu memang betul dan tepat,”katanya. –Sinar Harian

No comments:

Post a Comment