Tuesday, July 16, 2013

TIADA ALASAN KUKUH NAIKKAN HARGA AYAM

KUALA LUMPUR - Penternak, pemborong dan peniaga ayam tidak mempunyai alasan kukuh menaikkan harga ayam kerana bekalan di seluruh negara mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Bahagian Penternakan Ayam, Persatuan Penternak Ayam Itik Johor, Kwei Yew Thong, mereka mengambil kesempatan sempena Ramadan dan Aidilfitri untuk menaikkan harga kerana permintaan yang tinggi.

"Kita tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan ayam, malah mampu menampung permintaan pengguna sehingga tahun depan.

"Harga ladang bagi ayam hanya RM5.50 sekilogram manakala harga perlu dibayar oleh pengguna ditentukan oleh peniaga mengikut kos dan permintaan pasaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai harga ayam yang dilaporkan tinggi sejak seminggu lalu melebihi paras siling sehingga menimbulkan keresahan para pengguna.

Sementara itu, bekas Penasihat Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Lee Chong Meng berkata, peniaga dan penternak menaikkan harga kerana permintaan tinggi terhadap ayam pada bulan Ramadan.

"Permintaan pasti akan bertambah apabila menjelang musim perayaan terutama Ramadan dan ini memberi ruang kepada penternak dan pemborong mengaut keuntungan lebih berbanding pada hari-hari biasa.

"Mereka juga menggunakan peluang ini untuk menampung kerugian yang dialami sebelum ini ketika permintaan kurang," katanya.

Beliau turut berpendapat, kenaikan harga ayam adalah bersifat sementara dan keadaan kembali ke paras biasa selepas Aidilfitri berakhir. –Utusan Online

HARGA AYAM DIJANGKA STABIL

KUALA LUMPUR - Pengguna dan peniaga dijangka tidak lagi berdepan masalah harga ayam naik mendadak selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membenarkan semula pengimportan ayam dari China.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaludin berkata, ayam tanpa tulang dari China itu berupaya mengurangkan persaingan antara orang ramai dengan pusat pemprosesan ayam.

Menurut beliau, kelulusan membawa masuk daging ayam yang siap diproses dalam bentuk ketul membolehkan industri pemprosesan mendapat bekalan ayam pada harga murah bagi mengeluarkan produk makanan segera seperti bebola ayam dan daging burger.

"Sehubungan itu, apabila pihak pemprosesan boleh menggunakan ayam import sebagai alternatif, pengguna tidak mempunyai masalah mendapatkan ayam bulat dengan harga berpatutan di pasaran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah yang khuatir jika aktiviti mengaut keuntungan oleh orang tengah akan terus berlaku sehingga berkemungkinan harga ayam bertambah tinggi selepas kebenaran import berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, bekalan bahan mentah terutama ayam masih boleh didapati dengan harga berpatutan di sebanyak 467 pasar tani khas di seluruh negara.

Katanya, program anjuran FAMA dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu menawarkan pengurangan harga ayam sebanyak 70 sen seekor.

"Program ini bertujuan menangani masalah kos hidup rakyat yang semakin meningkat di samping mendidik pengguna supaya berbelanja secara berhemat.

"Antara pasar tani khas terlibat adalah pasar tani harian, pasar tani kekal dan pasar tani borong yang akan dibuka setiap hari seawal pukul 7 pagi hingga 10 malam bergantung kepada lokasi pasar berkenaan," katanya. –Utusan Online

KERAJAAN PERLU CARI PUNCA HARGA AYAM NAIK 

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mencari mekanisme berkesan dalam menangani masalah kenaikan harga ayam yang saban tahun berlaku sehingga membebankan pengguna terutamanya menjelang musim perayaan.
 
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kementerian perlu bertindak tegas dan serius bagi mengenal pasti punca sebenar kenaikan harga ayam, adakah disebabkan dominasi harga keterlaluan oleh pihak tertentu atau faktor lain.

Menurutnya, jika itu berlaku, kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjalankan satu siasatan untuk memantau jika terdapat suatu pakatan monopoli di kalangan penternak dan pengeluar yang menentukan harga ayam meningkat.

“Dengan ini, tindakan boleh diambil terhadap pihak yang memonopoli dan menstabilkan kembali harga ayam, memastikan harga ayam bebas daripada ditentukan golongan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nadzim berkata, setelah melalui pelbagai perayaan setiap tahun, kementerian seharusnya arif dengan apa yang berlaku dan sudah ada jalan penyelesaian sama ada penyelesaian jangka panjang atau pendek untuk mengatasinya.

Pada masa sama katanya, rakyat ingin tahu dengan jelas mengapa harga ayam naik.

“Dari mana punca kenaikan itu bermula. Jika pembekal apa rasionalnya? Maka perkembangan ini sudah pasti perlu diambil serius dan ditangani secara bijak kementerian dan agensi terlibat.

“Ini kerana isu kenaikan harga barangan isu paling sensitif dan boleh menyebabkan kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, yang menjadi tanda tanya setiap kali tiba musim perayaan, paling ketara apabila umat Islam mahu menyambut Aidilfitri, kenaikan harga barangan termasuk ayam berlaku.

“Adakah benar-benar ini faktor permintaan terlalu tinggi menyebabkan bekalan berkurangan dan kesukaran untuk mendapatkannya. Atau mereka ini hanya sekadar mahu main tarik tali untuk mengaut keuntungan lebih,” katanya.

Beliau berkata, isu kenaikan harga ayam bukan diatasi dengan sekadar menerima saranan beberapa pihak supaya orang ramai memboikot barangan yang naik itu.

“Bila harga ayam naik, boikot jangan beli ayam, bila harga gula naik, jangan makan gula. Tetapi perlu ada mekanisme atau jalan penyelesaian oleh pihak terbabit agar masalah ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya. –Sinar Harian